Ahad, 6 April 2008

Sayuti dan Isu “Yap Ah Loy”nya

Tergerak untuk IB beri komen ringkas berhubung tulisan Alex Ong (Kelab Penyokong PAS) “Of Sayuti’s ‘Ketua Dewan Ulama PAS and Yap Ah Loy” yang agak terguris dengan tulisan Sayuti Omar. Dalam hal ini IB bersetuju dengan Alex Ong.Komen dan teguran yang ditulis Alex bahawa MSO ada “his own set of hypothesis and numerous of discriminative provocations which lacks of substance and out of touch of the political reality”, ada benarnya.
Sebenarnya, tulisan-tulisan MSO sudah IB tidak baca untuk sekian lama kerana apa yang disebutkan oleh Alex di atas. Kadang-kadang, kita tidak tahu apa mesej sebenar yang hendak disampaikan oleh MSO dalam tulisannya yang panjang lebar.
Setelah membaca komennya, IB mencari dan baca artikel MSO yang disebut oleh Alex itu. Ternyata kebenaran yang disebut Alex.
Apa perlunya dikaitkan Yap Ah Loy dan dilagakan dengan tokoh Dewan Ulama? Kadang-kadang, apabila kita menulis, kita mengheret sesuatu perkara yang tiada kaitan dan seseorang personaliti dengan tanpa sebab. Yang menambah lagi sedihnya kita tidak teliti dengan bahasa yang diguna.
Terlajak perahu boleh undur…terlajak kata buruk padahnya!
Akhirnya, IB turut bersetuju dengan komen penutup Alex bahawa “Sayuti …(perlu)…professional and responsible journalist and write something which is more constructive and relevant to the era of globalization and the dynamic changes of Malaysia political landscape before his writings become the expired and rejected items.
Sekian, IB...

http://ibrahimbaba.wordpress.com

PBT Disaran Tingkatkan Usaha Tarik Pelancong

PASIR MAS, 6 April (Hrkh) - Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disaran meningkatkan usaha bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini sempena Tahun Melawat Kelantan 2008. -->-->
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Dato? Takiyuddin Hassan berkata, tumpuan turut diberi kepada PBT yang terletak di kawasan pintu masuk ke Kelantan terutamanya Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang.
Selain itu katanya, tempat rekreasi yang menjadi tumpuan sebelum ini akan dinaiktaraf antaranya Gunung Stong di Dabong, Kuala Krai.
?Kerajaan negeri juga akan membina homestay di Kampung La, Machang dan beberapa tempat lagi termasuk di Jeli yang tersohor dengan pusat rekreasi kolam air panas.
?Dalam masa terdekat ini juga kita akan menjemput pengusaha-pengusaha hotel untuk diberi taklimat mempromosikan pakej pelancongan yang akan diperkenalkan,? katanya pada perasmian Pertandingan Seni Suara Burung Ketitir (Merbok) Antarabangsa Kelantan 2008, di Lubok Jong, baru-baru ini.
Acara tahunan itu diadakan sempena ulangtahun keputeraan Sultan Kelantan kali ke-58 bermula 30 Mac lalu.
Takiyuddin juga berkata, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan penggiat seni untuk mewujudkan ?bulan kesenian? yang bakal diisi dengan pelbagai acara kesenian.
Katanya, ia membabitkan pertandingan bermula di peringkat daerah, negeri, negara dan antarabangsa.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Pertandingan Seni Suara Burung Ketitir (Merbok) Antarabangsa Kelantan berkata, acara tersebut merupakan produk pelancongan penting di Kelantan.
?Pertambahan bilangan peserta kepada 2,000 orang tahun ini membuktikan aktiviti pemeliharaan burung masih diminati ramai. Peserta luar negara termasuk dari Thailand, Indonesia dan Singapura,? ujarnya.
Acara dipertandingkan iaitu kategori burung ketitir, tekukur, candik, tiong, ayam serama dan murai batu yang baru diperkenalkan.
Pada majlis itu, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra menganugerahkan hadiah-hadiah kepada setiap pemenang.
Pemenang cabutan bertuah bonanza yang menawarkan Proton Saga Aeroback 1.3L dimenangi Wan Mohamad Yusuff, 46 dari Kota Bharu yang juga peserta pertandingan ketitir.
Hadir sama Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, Timbalan Menteri Besar, Dato? Ahmad Yakob dan anggota-anggota Exco.
Selain itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato? Mohd Aiseri Alias, Pegawai Kewangan Negeri, Dato? Shkori Mohamed dan pegawai kanan kerajaan. - mj

Nik Aziz selar kenyataan Karpal Singh perlekeh usaha bangunkan Islam

KOTA BHARU 6 April — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh meminta agar PAS tidak memasang angan-angan untuk menunjangi Pakatan Rakyat kerana khuatir ia akan menegakkan negara Islam, sebagai memperlecehkan usaha membangunkan Islam oleh kerajaan Kelantan.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan meminta Karpal Singh memberikan bukti di mana kelemahan PAS yang telah mentadbir Kelantan mengikut acuan Islam selama 18 tahun itu.
"Saya nak tahu apa tak kena Islam dan apa lagi yang dia (Karpal Singh) tak setuju Islam. Semua masyarakat bukan Islam gembira berada di bawah kami (PAS),” katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie di pejabatnya di sini, hari ini.
Minggu lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob berkata PAS wajar menjadi tunjang kepada Pakatan Rakyat yang dibentuk oleh parti- parti pembangkang sekiranya ia mahu merealisasikan impian menubuhkan sebuah negara Islam.
Ahmad berkata impian itu akan hanya tercapai akhirnya jika semua pihak memahami dan menerima konsep Islam yang sebenar, yang merupakan agama untuk semua umat manusia.
Nik Aziz menjemput Karpal Singh melawat Kelantan dan melihat sendiri pembangunan di negeri itu yang dibangunkan mengikut acuan Islam.
“Saya tanggung kos penginapan hotel. Tak payah jumpa saya pun tidak apa, jumpalah masyarakat bukan Islam di Kelantan dan lepas itu beritahu apa yang tidak baik dengan Islam ini,” katanya.
Nik Aziz berkata sistem kewangan Islam yang diterapkan kerajaan Kelantan juga telah diikitraf oleh pakar-pakar ekonomi seluruh dunia dan sejak Kelantan di perintah PAS banyak penambahbaikan telah dilakukan termasuk penghapusan riba dan mewujudkan pajak gadai Islam.
"Bukan itu sahaja, masyarakat bukan Islam juga diberi hak dengan dilantik sebagai penyelia masyarakat dan saya nak tanya dimana tidak baiknya apa yang kami buat ini,” katanya.
Beliau berkata masyarakat bukan Islam juga tidak pernah dipaksa untuk memeluk agama Islam dan sejak penerapan nilai Islam oleh PAS itulah menyebabkan kaum lain merasa selesa di bawah pemerintahan PAS.
Mengulas kunjungan Masahiko itu, Nik Aziz berkata duta itu tertarik dengan kerajinan wanita Kelantan mencari nafkah yang berbeza di tempat lain.
"Saya jemput duta itu untuk melawat Pasar Besar Siti Khadijah dan Pasar Borong Wakaf Che Yeh untuk melawat dari dekat kerajinan wanita Kelantan ini,” katanya.
— BERNAMA

UMNO tidak akan berubah walau tukar pemimpin

MACHANG 5 April - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan usaha pemimpin UMNO menukar kepimpinan parti dan negara tidak akan mampu mengubah keadaan politik semasa.
Malah, tegas beliau, usaha berkenaan juga tidak akan membawa kebaikan kepada UMNO sendiri selagi parti berkenaan menolak perjuangan Islam yang berlandaskan kepada al Quran dan Sunah.
Menurut beliau, UMNO akan berkubur selagi parti berkenaan terus menyempitkan asas perjuangan mereka hanya berlandaskan kepada ideologi kebangsaan.
"Politik Islam bukan pandai-pandai Pas yang buat tetapi ia adalah peraturan hidup yang turun dari langit sama seperti kitaran alam semulajadi, hujan, angin dan udara.
"Politik bukan setakat buat jalan dan rumah tetapi bagaimana caranya kita nak tumpangnya untuk jamin kebahagiaan kita kelak di Padang Mahsyar dan Akhirat.
"Syurga, neraka, padang mahsyar dan akhirat adalah benda yang pasti dan tiada fahaman lain di dunia ini (fahaman kebangsaan) kecuali Islam sahaja yang boleh membawa kita kepadanya. Bolehkah kebangsaan membantu semasa dihisab di padang mahsyar," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian ketika ditanya mengenai usaha Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk 'merawat' UMNO dengan mencabar kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden UMNO.
Mengenai kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang meminta Pas jangan memasang angan-angan tinggi untuk menunjangi Pakatan Rakyat bagi merealisasikan impian penubuhan sebuah negara Islam, Nik Abdul Aziz secara ringkas menjawab bahawa beliau tidak boleh mencampurinya.
Katanya, ini kerana ia berkaitan dengan masalah teknikal antara pakatan berkenaan.
"Masalah itu saya tidak boleh campur, ia masalah teknikal saya hanya boleh jawab cakap masalah dasar sahaja. Saya tidak akan campur dan begitu juga orang lain tidak boleh campur," katanya.
"Saya pun tak tahu secara mendalam mengenainya (Pakatan Rakyat) kerana ia masih belum dimuktamadkan lagi.
"Apa yang jadi bising sekarang ialah kerana akhbar dan akhbar juga kita tidak boleh percaya sangat kerana ia adalah akhbar UMNO," katanya.

Khamis, 13 Mac 2008

Punca Kekalahan BN

Sikap, sistem dan dasar yang diamalkan punca kekalahan BN - Agus

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Hrkh) - Sikap, sistem dan dasar yang diamalkan oleh Umno-BN selama ini telah menyebabkan wujudnya 'silent protest' yang terlalu ramai dan merbahaya.
Perkara tersebut disuarakan oleh Ketua Jabatan Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Mohammad Agus Yusof ketika dihubungi Harakah.

"Kemarahan rakyat telah menimbulkan 'tsunami' daripada golongan rakyat bawahan yang sangat merbahaya kerana ia sukar untuk dijangka oleh pemerhati dan penganalisis politik tanah air," katanya.

Ditanya mengenai sejarah politik tanah air, Agus mengatakan bahawa ia merupakan kali pertama berlakunya fenomena atau revolusi seumpama ini.

"Fenomena 1999 adalah satu perkara yang berbeza kerana pada ketika itu, orang telah dapat menjangkakan berlaku suatu gelombang kebangkitan rakyat selepas pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Tetapi kali ini agak berbeza kerana wujud ketidak puasan hati lantaran kelemahan dasar-dasar kerajaan yang gagal meyakinkan rakyat membuktikan kemampuan mereka mentadbir negara ini," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas keputusan pilihan raya ke-12 yang sangat mengejutkan semua pihak.

"Ia menunjukkan bahawa rakyat secara diam di semua peringkat telah menghukum kerajaan sebelum ini yang telah gagal berperanan sebagai sebuah kerajaan," katanya lagi.

Agus menyenaraikan faktor yang menyumbang kepada revolusi pengundi, dengan menjelaskan faktor peningkatan kos hidup selari dengan kenaikan harga barang keperluan menghimpit kehidupan mereka di samping pencabulan media yang ketara dan berat sebelah dalam memberikan laporan, terutamanya ketika suasana pilihan raya baru-baru ini.

Selain itu, beliau menegaskan sikap pemimpin kerajaan Umno-BN yang membodohkan keintelektualan rakyat dalam isu yang mudah juga menyebabkan kemarahan rakyat.

"Denial syndrom' atau sindrom menafikan kepada setiap suara dan luahan rasa rakyat telah menimbulkan kemarahan rakyat. suara rakyat bukan untuk diatasi tetapi untuk dijawab.

"Malangnya, mereka menjawab dengan alasan yang tidak masuk akal," jelasnya.

Tambahnya, jurang pemikiran antara pemimpin dan rakyat juga menjadi faktor rakyat berasa tidak senang dengan sikap kerajaan.

"Rakyat kini telah sedar dan faham erti dan praktikal demokrasi yang sepatutnya dilaksanakan di dalam sesebuah negara, sekali gus mereka mahu menunjukkan kepada kerajaan Umno-BN bahawa mereka lebih arif dan tidak boleh diperbodohkan," tegasnya.

Pada masa sama, ujar Agus kesilapan yang dilakukan oleh Umno-BN yang membuat persempadanan semula pada pilihan raya ke-11, telah mewujudkan kawasan campuran pelbagai kaum yang sukar dan tidak mampu untuk ditangani oleh Umno.

"Umno tidak mampu bertahan, malah keutuhan formula muafakat yang dibina di dalam pakatan BN juga kian rapuh," jelasnya lagi.

Mengulas mengenai pembentukan kabinet kerajaan pusat yang baru, beliau berpendapat bahawa kabinet yang ada perlu mengganti mana-mana ahli yang tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

"Pengalaman sahaja tidak cukup, yang penting tahu dan menjalankan amanah yang diberikan rakyat kepada mereka," ujarnya.

Exco Wanita

Pelantikan Wan Ubaidah sebagai Exco bukti PAS hargai kaum wanita


KUALA LUMPUR, 13 Mac (Hrkh) - Pelantikan exco wanita dalam kabinet Kerajaan PAS Kelantan adalah bukti pengiktirafan dan kepercayaan yang dijanjikan sebelum ini telah dilaksanakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kijang, Wan Ubaidah Omar yang dilantik memegang jawatan exco wanita pertama bagi kabinet baru Kerajaan Negeri Kelantan semalam melahirkan rasa terkejut dan terharu dengan kepercayaan yang diberikan kepadanya yang mewakili wakil rakyat wanita di negeri itu.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Tuan Guru Menteri Besar atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memegang amanah sebagai exco wanita dalam kabinet kerajaan negeri yang baru dibentuk," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau yang merupakan mantan ahli Dewan Negara berhasrat untuk melaksanakan amanah yang diberikan sebaiknya.

"Insha Allah saya akan cuba melaksanakan amanah yang diberikan ini dengan sebaik mungkin untuk membantu kepimpinan Tuan Guru Menteri Besar membangunkan negeri ini untuk menerajui perubahan dan mencapai keberkatan," katanya.

Tiga muka baru dilantik exco

Wan Ubaidah adalah antara tiga muka baru exco kerajaan negeri Kelantan yang mengangkat sumpah malam semalam, 11 Mac selain Adun Wakaf Bharu, Che Abdullah Mat Nawi dan Adun Temangan, Dr Fazli Dato' Hassan.

Wan Ubaidah Omar, 52, dan Che Abdullah Mat Nawi, 48, masing-masing berkelulusan Master dalam Pentadbiran Perniagaan di Universiti Amerika Syarikat, sementara Dr Fazli, 40, pula berkelulusan Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan memperolehi PHD dari Universiti Birmingham.

Ustaz Ahmad Yakob kekal TMB

Pada majlis yang sama, Tuan Guru Dato' Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan di Istana Negeri Kubang Kerian, sementara Adun Pasir Pekan Ustaz Ahmad Yakob kekal sebagai Timbalan Menteri Besar.

Turut mengangkat sumpah bagi jawatan exco Kelantan ialah ADUN Salor, Dato' Hj Husam Musa, ADUN Bunut Payong, Dato' Takiyuddin Hassan, ADUN Kemahang, Mej (B) Md Anizam Abd Rahman, ADUN Panchor, Nik Mohamad Amar Nik Abdullah, ADUN Kota Lama, Dato' Anuar Tan Abdullah, ADUN Bukit Panau Abdul Fatah Mahmood.

Portfolio bagi semua exco yang dilantik akan diumumkan oleh Menteri Besar dalam jangka masa terdekat

Perintis Kemenangan Rakyat

Almarhum Fadzil Noor perintis sebenar kemenangan rakyat 8 Mac
Oleh : Faisal Tehrani Thu Mar 13, 08
UNTUK penggerak dan peneraju gerakan Islam di Malaysia, siri kuliah 'Aqidah dan Perjuangan' oleh Ustaz Fadzil Noor yang kemudian dibukukan oleh Dewan Pemuda Pas Pusat adalah satu monumen; seakan-akan manifesto perjuangan yang mesti dibaca.
Lapan tahun Presiden PAS, dan Ketua Pembangkang yang berkaliber Dato' Fadzil Mohd Noor sudah pergi meninggalkan kita.

Lapan tahun itu sebenarnya masih terlalu muda kerana hanya minggu lalu kita mengecapi 'kejayaan' yang sebetulnya dirintis oleh almarhum. Tanpa menafikan Anwar Ibrahim sebagai pemangkin kejayaan Barisan Rakyat baru-baru ini, ustaz Fadzil Noor adalah insan yang pertama memungkinkannya.

Buat mereka yang masih muda dan tidak pernah mendengar nama beliau, ustaz Fadzil atau Ali bin Mohd Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah. Moyang arwah adalah Tuan Guru Hj Idris yang lebih dikenali sebagai Tuan Syeikh Idris Al-Jarumi yang merupakan seorang ulama’ terkenal di Kedah asal Patani.

Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978). Semasa memimpin ABIM, 'aspirasi rakyat yang baru kita kenal manisnya 8 Mac lalu' telah pun diharung dengan penuh kepahitan oleh Ustaz Fadzil Noor.

Sebelum Tian Chua, Mohamad Sabu, dan pimpinan Hindraf pandai berdemonstrasi ustaz Fadzil telah turut terlibat dalam demonstrasi membela rakyat miskin di Baling, Kedah pada tahun 1974. Ketika Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA di Kamunting dari tahun 1974 hingga 1976, Ustaz Fadzil Noor menjadi Pemangku Presiden ABIM.

Al-marhum telah menjadikan perjuangan membela rakyat sesuatu yang sebati. Dan itu bukan hanya kata-kata kerana Ustaz Fadzil Noor pernah ditahan dua kali oleh pihak polis. Kalau tidak silap saya hujung tahun 1970an, ketika beliau sedang berucap dalam suatu majlis ceramah di Kg Seberang Takir, Terengganu, tiba-tiba pihak polis mengumumkan bahawa ceramah tersebut adalah perhimpunan haram.

Turut hadir dalam ceramah itu adalah Ustaz Abdul Hadi Awang, Mustafa Ali dan Ustaz Fadhullah Shuaib. Tanpa menghiraukan amaran tersebut, Ustaz Fadzil Noor meneruskan ceramahnya. Beliau tidak lain tidak bukan adalah aspirasi dan inspirasi pimpinan Barisan Rakyat hari ini yang beria-ia memperjuangkan perhimpunan aman di bawah satu sistem demokrasi yang adil.

Oleh kerana kedegilan Ustaz itu polis telah menahannya berserta penceramah lain. Mereka bermalam di lokap. Dan penangkapan itu telah meledakkan kemarahan di Kuala Trengganu jauh lebih lama sebelum berlaku peristiwa Batu Buruk tahun lalu.

15,000 orang ahli dan penyokong PAS telah berkumpul di luar kawasan balai polis Kuala Terengganu bagi mendesak pemimpin mereka dibebaskan segera. Hasil perundingan dengan pihak polis Ustaz Fadzil Noor dan pemimpin yang ditahan dalam lokap tersebut dibebaskan tanpa sebarang tindakan.

Beliau juga ditahan oleh pihak polis dalam satu ceramah di Jerlun, Kedah. Seingat saya ia berlaku ketika peristiwa pertelingkahan antara pimpinan PAS dan UMNO mengenai Muassasah Darul Ulum. Ustaz Fadzil Noor telah ditahan semasa berceramah bersama-sama YDP PAS Kawasan Jerlun pada waktu itu, dan dikenakan ikat jamin. Kes tersebut dibawa ke mahkamah tetapi digugurkan setengah jalan berikutan kematian Hj. Shaari.

Mengapa saya katakan Ustaz Fadil sebagai perintis kemenangan rakyat 8 Mac lalu?
1. Barisan Rakyat Mendapat Semangat Beliau

Tatkala Tuan Guru Yusof Rawa uzur dan terpaksa melepaskan jawatan Yang Dipertua PAS, Ustaz Fadzil Noor telah memikul beban paling besar, mara ke hadapan untuk mengambil alih kepimpinan di tengh-tengah tragedi Memali. Dalam sejarah kebangkitan rakyat bagi konteks Malaysia (yang dikecapi manisnya generasi baru 8 Mac lalu), peristiwa Memali adalah suatu peristiwa hitam yang merupakan penindasan kuasa angkuh.

Sebagai antara pembantu Prof Zulkifli Muhammad sebelum itu ustaz sudah pun secara terbuka menerima idea PAS bersekutu dengan kaum-kaum bukan Melayu. Kita semua tahu Prof Zulkifli adalah pemimpin PAS pertama yang mencadangkan agar PAS menerima kaum Cina dan orang bukan Islam sebagai ahli bersekutu PAS.

Dengan idea dan wawasan ustaz Fadzil lah maka beliau menggerakkan pakatan CCC, di mana PAS mulai berjinak-jinak dengan kaum bukan Islam. Barisan Rakyat yang disifatkan oleh Haji Husam sebagai buta warna (kerana rakyat tidak mengira apa ia merah, hitam atau hijau) 8 Mac lalu beroleh manfaatnya dari kerja-kerja awal ustaz inilah.

2. Kebijaksanaan Politik Melampaui Zaman

Idea tahaluf siyasi adalah suatu kebijaksanaan politik yang dikemukakan oleh ustaz Fadzil Noor di mana beliau menunjukkan contoh dengan mewujudkan pakatan bersama Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh dalam Angkatan Perpaduan Ummah.

Kalau tidak kerana tahaluf siyasi ini, hampir sukar untuk PAS memerintah Kelantan pada tahun 1990 dan menguasainya sehingga 8 Mac lalu.

Kebijaksanaan politik beliau jugalah yang membolehkan gejala reformasi ekoran pemecatan Anwar Ibrahim dicetuskan. Jika pemimpin PAS tidak campur tangan serta terlibat 'membantu' Anwar Ibrahim, sukar untuk Anwar mendapat momentum reformasi yang terus ditunggangnya sehingga 2008.

Ini menunjukkan Ustaz Fadzil memilih essence Islam iaitu membantu dan menghulur tangan kepada 'golongan yang tertindas'. Tanpa mengendahkan suara-suara bantahan dalam PAS yang resah, bimbang, dan gerun dengan hubungan akrab Anwar dengan 'Amerika Syarikat', ustaz Fadzil melakukan tindakan nekad, iaitu melihat masa depan dari konteks tempatan.

Ustaz Fadzil adalah orang yang menubuhkan GERAK, dan dengan GERAK itulah beliau merintis penubuhan Barisan Alternatif yang merupakan satu tahaluf siyasi ke arah pembentukan Malaysia Baru. Waktu itu, Anwar sudah berada di dalam penjara.

Wan Azizah 'terkontang-kanting' untuk menjaga momentum reformasi yang makin merosot menjelang turunnya Mahathir. Jika tidak kerana ustaz Fadzil yang merintis kerjasama ini, Parti Keadilan sudah lama hanyut dan berkubur. Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor, GERAK dilancarkan pada 27 September 1998 di Markaz Tarbiah, Taman Melewar. Puluhan ribu rakyat dan ratusan wartawan dari dalam dan luar negara hadir ke majlis pelancaran tersebut.

Dalam Muktamar PAS ke-45 pada Mei 1999, Ustaz Fadzil Noor menegaskan:

"Kejayaan PAS menggabungkan parti politik dan NGO dalam satu gerakan yang disebut Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia atau GERAK, cukup untuk membuktikan keupayaan kepimpinan PAS menerajui kebangkitan rakyat di negara ini"

Kerjasama Parti Keadilan dan PAS, membawa hasil yang begitu besar kepada PAS dan perjuangan Islam pada pilihanraya 1999. Kebijaksanaan tersebut membolehkan PAS mengekalkan kuasa di Kelantan dan berjaya menubuhkan kerajaan di Terengganu.
Juga kebijaksanaan ustaz telah melunakkan imej Islam sehinggakan YB Tian Chua yang ketika itu merupakan Naib Pengerusi Keadilan, yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting pernah berkata pada tahun 2001 bahawa tidak akan adanya ISA dalam sebuah negara Islam – menyarankan bahawa negara Islam adalah serasi sepenuhnya dengan demokrasi, kemajmukan, hak asasi manusia, hak wanita, kepelbagaian budaya, pembangunan dan pemodenan.

3. Pemimpin Tidak Lupa Sejarah

Sebagai pemimpin yang bijak pendekatan tahaluf siyasi yang dikemukakan oleh Ustaz Fadzil Noor itu sebenarnya tidak terbit dari vakum. Ia adalah kerana kepimpinan terbuka dan sederhana Tuan Guru Yusof Rawa, pimpinan sebelumnya.

Tiada siapa dapat menafikan Tuan Guru Yusof Rawa adalah pemimpin yang bertanggungjawab membuka ruang bagi pemimpin pelapis PAS dengan gagasan 'pakatan politik untuk memenangkan dakwah dan politik Islam' ini. Idea persekutuan dengan kaum Cina sehingga tertubuhnya CCC adalah hasil sokongan Tuan Guru Yusof Rawa.

Mengambil kira itu, Ustaz Fadzil Noor seorang pimpinan yang merenung sejarah dengan tekun di mana beliau tahu juga PAS adalah berakarumbi daripada perjuangan Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol. Hizbul Muslimin adalah usaha Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.

Ustaz Fadzil tahu keberanian dan sikap terbuka Ustaz Abu Bakar Al-Baqir yang bertanggungjawab merintis pelbagai tahaluf siyasi menerusi PEPERMAS, MATA, LEPIR dan seumpamanya dijadikan model baru bagi perjuangan PAS yang telah diterajui oleh Ustaz Fadzil Noor.

Ustaz Fadzil juga sedar beliau harus meminjam keberanian Dr. Burhanuddin Al-Helmy yang berjaya menggabungkan lebih 80 buah parti dan persatuan Melayu dalam sebuah gerakan bernama PUTERA. Gerakan PUTERA ini berusaha menuntut kemerdekaan daripada penjajah.

Idea PUTERA inilah yang memberi ilham kepada Ustaz Fadzil Noor untuk mewujudkan gabungan lebih 80 buah parti politik dan NGO melalui GMI untuk mendesak kerajaan memansuhkan undang-undang warisan penjajah, iaitu ISA. Jika tidak kerana apa yang dirintis oleh PAS ini, Bersih, gerakan untuk memberi kuasa kepada rakyat bagi menentang ketidakadilan dan penyewengan demokrasi belum tentu menjadi kenyataan. Bersih kemudiannya menjadi Barisan Rakyat yang menghukum parti tertentu dalam pilihanraya baru-baru ini.

4. Menjadikan Poros Islam Political Force

Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam Umno satu masa dahulu menjadi luka buat penyokong gerakan Islam. Peranan mengenengahkan Islam itu terpaksa diambil alih oleh Ustaz Fadzil Noor.
Menyedari itu, PAS dibawah ustaz Fadzil juga menyedari bahawa untuk menjadikan Islam relevan di dalam masyarakat majmuk, inti pati Islam lah yang perlu diketengahkan. Falsafah dan bumbu Islam yang universal dan sentiasa munasabah sepanjang zaman perlu dijunjung.

Ustaz Fadzil adalah insan yang bertanggungjawab meminggirkan suara-suara Islam legalitas yang berwajah wahabi dengan penuh bijak untuk menjuarai Islam aktual berteraskan waqi atau keadaan setempat. Beliau telah bertanggungjawab untuk bersetuju Manifesto Bersama Barisan Alternatif dalam pilihanraya tahun 1999.

Untuk itu PAS bersetuju menggugurkan idealisme penubuhan negara Islam dalam konteks pakatan Barisan Alternatif kerana: a. Tidak berbangkit soal negara Islam dalam Manifesto; b. Tidak boleh memaksa ideologi PAS ke atas rakan dalam pakatan; c. Dalam komposisi rakyat negara ini, tidak ada parti boleh memerintah secara bersendirian; dan e. PAS perlu berkerjasama dengan rakan pakatan BA atas perkara- perkara yang sudah dipersetujui.
PAS telah bersetuju untuk memberi tumpuan kepada isu-isu yang membabitkan soal keadilan, demokrasi, kebebasan, penyelewengan kuasa, rasuah dan sebagainya sebagai agenda utama untuk perjuangan pakatan Barisan Alternatif.

Tidak ada kebijaksanaan dan keberanian Datuk Fadzil Noor yang dapat ditandingi oleh pemimpin Barisan Rakyat hari ini. Beliau telah melihat dengan bijak bahawa retorik dan cogan kata tidak penting tetapi 'isi'lah yang menjadi keutamaan.

Dengan persefahaman untuk memperjuangkan keadilan, demokrasi, kebebasan, penyelewengan kuasa, rasuah dan sebagainya bersama DAP; parti kiri berteras kaum itu secara tiada sedar telah menerima essence Islam. DAP 'diasuh' memahami yang negara Islam secara praktiknya adalah negara berkebajikan yang berteras agama, yang agama itu pula membela hak asasi dan menyebelahi golongan tertindas.

Penutup

Perjuangan PAS dan Ustaz Fadzil Noor dalam menggerakkan pemurnian semula penyelewengan demokrasi termasuk pelbagai akta yang menyekat dan mencabul hak asasi rakyat di negara ini adalah tunggak kejayaan rakyat baru-baru ini.

Rakyat yang melakukan perubahan 8 Mac lalu mesti kenal bapa kebangkitan ini: Ustaz Fadzil Noor. Pemimpin yang ada sekarang, baik sebesar manapun beliau hanyalah penerus sahaja. Tanpa usaha al-marhum ustaz, hampir tidak terfikir Barisan Rakyat berada di kedudukan ini.

Untuk jasa dan sumbangan ustaz Fadzil Noor kerana menggerakkan barisan rakyat, yang hasilnya dituai oleh sebahagian besar rakyat pada 8 Mac lalu, moleklah jika pembaca beragama Islam menghadiahkan al-fatihah untuk al-marhum.