Ahad, 6 April 2008

Nik Aziz selar kenyataan Karpal Singh perlekeh usaha bangunkan Islam

KOTA BHARU 6 April — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh meminta agar PAS tidak memasang angan-angan untuk menunjangi Pakatan Rakyat kerana khuatir ia akan menegakkan negara Islam, sebagai memperlecehkan usaha membangunkan Islam oleh kerajaan Kelantan.
Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan meminta Karpal Singh memberikan bukti di mana kelemahan PAS yang telah mentadbir Kelantan mengikut acuan Islam selama 18 tahun itu.
"Saya nak tahu apa tak kena Islam dan apa lagi yang dia (Karpal Singh) tak setuju Islam. Semua masyarakat bukan Islam gembira berada di bawah kami (PAS),” katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie di pejabatnya di sini, hari ini.
Minggu lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob berkata PAS wajar menjadi tunjang kepada Pakatan Rakyat yang dibentuk oleh parti- parti pembangkang sekiranya ia mahu merealisasikan impian menubuhkan sebuah negara Islam.
Ahmad berkata impian itu akan hanya tercapai akhirnya jika semua pihak memahami dan menerima konsep Islam yang sebenar, yang merupakan agama untuk semua umat manusia.
Nik Aziz menjemput Karpal Singh melawat Kelantan dan melihat sendiri pembangunan di negeri itu yang dibangunkan mengikut acuan Islam.
“Saya tanggung kos penginapan hotel. Tak payah jumpa saya pun tidak apa, jumpalah masyarakat bukan Islam di Kelantan dan lepas itu beritahu apa yang tidak baik dengan Islam ini,” katanya.
Nik Aziz berkata sistem kewangan Islam yang diterapkan kerajaan Kelantan juga telah diikitraf oleh pakar-pakar ekonomi seluruh dunia dan sejak Kelantan di perintah PAS banyak penambahbaikan telah dilakukan termasuk penghapusan riba dan mewujudkan pajak gadai Islam.
"Bukan itu sahaja, masyarakat bukan Islam juga diberi hak dengan dilantik sebagai penyelia masyarakat dan saya nak tanya dimana tidak baiknya apa yang kami buat ini,” katanya.
Beliau berkata masyarakat bukan Islam juga tidak pernah dipaksa untuk memeluk agama Islam dan sejak penerapan nilai Islam oleh PAS itulah menyebabkan kaum lain merasa selesa di bawah pemerintahan PAS.
Mengulas kunjungan Masahiko itu, Nik Aziz berkata duta itu tertarik dengan kerajinan wanita Kelantan mencari nafkah yang berbeza di tempat lain.
"Saya jemput duta itu untuk melawat Pasar Besar Siti Khadijah dan Pasar Borong Wakaf Che Yeh untuk melawat dari dekat kerajinan wanita Kelantan ini,” katanya.
— BERNAMA

Tiada ulasan: