Jumaat, 18 Januari 2008

Saya Tegaskan, Memang Politik Kelantan Dalam Bahaya...

diipetik dari blog Ibnu Hashim (http://ibnuhasyim.blogspot.com)

Ibnu Hasyim
CATATAN SANTAI:

EKORAN dari ucapan dan analisis saya dipertemuan ringkas penubuhan ‘Grop Universiti Hulu Klang’ di sebuah restoran Danau Kota pada 15 Januari lepas serta penyiaran berita tersebut di beberapa laman web tempatan, seorang bekas aktivis dan pimpinan PAS Tanjung Karang bertanya saya, “Betul ke mu berpendapat PAS dan Kerajaan Kelantan dalam bahaya sekarang?”

“Ya!” Saya tegaskan. Pandangan saya itu berasaskan kepada beberapa perkara.

Pertama. Pada pilihan raya umum ke 11, 21 Mac 2004 dulu, setelah berlaku petisyen, rundingan kerusi atau ‘silap mata’, realitinya PAS kekal berkuasa semula di Kelantan. Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak 4 petisyen BN dan 5 petisyen PAS yang pertikaikan keputusan pilihanraya umum itu. PAS kekal dengan 24 kerusi DUN manakala BN 21, di mana PAS lebih 3 kerusi DUN.

BN bagaimanapun mendapat satu lagi kerusi parlimen di Kelantan apabila mahkamah itu menerima petisyen calon parti itu Che Min Che Ahmad yang membantah kemenangan wakil PAS Kalthom Othman bagi kerusi parlimen Pasir Puteh. Tiba-tiba berlaku pula pilihan raya kecil Pengkalan Pasir kerana kematian ADUN PAS Wan Abdul Aziz Wan Jaafar pada 31 Oktober 2006, menyebabkan satu lagi kerusi PAS hanyut ke tangan BN dengan kelebihan 129 undi.

Itulah DUN Pengkalan Pasir yang telah dikuasai PAS sejak 15 tahun lalu. Jadi, PAS cuma lebih 1 kerusi DUN saja. Sehingga kini di 45 kerusi DUN Kelantan, iaitu BN 22 kerusi dan PAS 23 kerusi. Lebih menarik lagi, antara DUN-DUN yang PAS menang itu, salah satu darinya PAS cuma menang dengan 2 undi! Jadi, PAS perintah Kelantan dengn kelebihan 2 undi sahaja. Hingga ada yang menyindir mana ada negeri dalam dunia yang dapat memerintah dengan kelebihan 2 undi!? Itulah realiti bahayanya.

Kedua. Walaupun ADUN-ADUN PAS nampaknya tidak dapat dibeli, tetapi cubaan ‘membeli’ pertubuhan dan individu-individu penting di Kelantan mulai berjalan sekarang. Contohnya, pada awal Desember lepas, pengerusi BN Kelantan menyumbangkan RM155,000 kepada 31 pertubuhan Cina negeri itu yang bernaung di bawah Gabungan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan (GPTHK).

Begitu juga dikatakan ada cubaan ‘membeli’ individu-individu pemegang permit media massa di Kelantan. Jadi, tidak heran bila muncul laman-laman web yang memberi ruang untuk kempen-kempen burukkan pimpinan PAS Kelantan. Mereka ini sedang dalam proses me’mahal’kan diri mereka. Apalagi kalau hal ini berlaku di saat-saat akhir menjelang pilihan raya umum ke 12 ini, lebih parah dan bahaya lagi.

Ketiga: Sepatutnya media massa seperti ini perlu memainkan peranan masing-masing menyampaikan maklumat aktiviti-aktiviti kerajaan Kelantan kepada rakyat hingga ke akar umbi secara keseluruhan. Bukan kerajaan Kelantan tiada aktiviti kebajikan untuk rakyatnya. Jangan biarkan isu-isu itu diputarbelitkan oleh gergasi media kerajaan pusat, membuatkan kerajaan Kelantan hanya mampu bertahan tetapi tidak mampu menyerang balas.Sejauh mana peranan dan keberkesanan akhbar percuma kerajaan Kelantan untuk rakyatnya perlu dinilai semula. Mana lagi suara-suara nak wujudkan radio dan tv Kelantan, apakah tiada jalan keluar? Sejauh mana keberkesanan yang telah ada, contohnya web tv PAS dan lain-lain?

Keempat: Setakat ini masih belum tertonjol siapa pengganti Tok Guru Menteri Besar Kelantan. Persiapan perlu disegerakan. Komen-komen rakyat perlu dikira, kerana di tangan mereka ada kuasa mengundi.

Kelima: Masalah pengundi hantu dan undi pos. Perlu ada jalan selesai.Itulah secara ringkas jawapan saya.

“Apakah bahayanya itu pada PAS atau rakyat Kelantan?” Dia bertanya. Beliau adalah cikgu Rashdi. Telah 13 tahun menjadi pendidik. Di zaman Mahathir beliau diberi katadua antara letak jawatan guru atau aktif dalam pembangkang. Beliau pilih aktif sepenuh masa dalam PAS di Selangor. Kini beliau pulang, lanjutkan perjuangannya di Kelantan. Walaupun begitu, beliau sentiasa berulang-alik Tanjung Karang – KL – Kelantan.

“Kerana PAS perjuangkan negara Islam dan Kelantan satu-satunya negeri yang diberi mandat memerintah walaupun kuasa penuhnya masih di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, maka tidak ada sebab rakyat perlu menukarnya. Kalau berlaku juga, bukan saja bahayanya pada rakyat dan kerajaan Kelantan, bahkan pada agama Islam itu sendiri!” Jelas saya lagi.

“Macam ni.. Kita kena buat sesuatu sebelum pilihan raya sebulan dua ini..” Katanya serius.“Saya bercadang nak terbitkan buku. Kalau ada masa kita sama-sama kongsi pengalaman tulis buku mengenai hal ini! OK?”

“OK.. Beres! Tapi, apa tajuknya?”

“ ‘Pertahan Kelantan Dengan Darah’. Oleh Dr Hj Mohd Hasyim & Mohd Rashdi Ab Rahman. Coming soon… Tunggu!”

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com
(e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com) 17-01-08.
KL.Ibnu Hasyim

Khamis, 17 Januari 2008

Wanita, Iklan dan Papantanda







Tesco dan Lembah Sireh












Kerajaan Islam PAS Menerajui Perubahan -1

Perubahan yang pernah dan berterusan dibuat di bawah pentadbiran PAS Kelantan
(10 tahun pertama)


A]. Pendidikan Islam; peningkatan Sekolah YIK.
1. Bangunan dan pertambahan kelas - memberi peluang belajar lebih ramai
2. Maahad Tahfiz Al-Quran di Pulai Chondong
3 Maahad Dakwah Wal-Imamah - Pengiktirafan Universiti Al Azhar.
4 Menambah bilangan guru terlatih (kursus KDC), tetap dan berelaun.
5 Ko-kurikulum berpandukan Kementerian Pendidikan (akademik)
6 Sukatan pendidikan (agama) dari Universiti Al-Azhar Mesir.
7 Memperbanyakkan jawatan guru tetap dan berpencen(zaman BN hanya 54 orang, di zaman PAS sekarang berjumlah 332 orang )
8 Menaikan elaun guru sekolah bantuan YIK.
9 Mengembang Pusat Pengajian Pondok YIK dan mendapat kebenaran untuk melanjut pengajian di Universiti Al Azhar memasuki tahun dua.
10 Menambahkan peruntukan untuk pengurusan dan pembangunan YIK, dari RM18 juta (masa BN) kepada RM30 juta sekarang.
11 Membuka kelas kemahiran dan sains - sains tulen, teknik, vokasional dan perdagangan.
12 Menubuh Kolej Islam Kelantan dengan nama Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Akan berperasi sepenuhnya pada tahun 2000.

B]. Pembangunan Masjid.
1. Menambahkan peruntukan untuk kemajuan masjid melalui MAIK daripada RM 1 juta kepada RM 2 juta.
2. Memperuntukan pembangunan agama/masjid kepada Pejabat Tanah & Jajahan sebanyak RM 100 ribu
3. Menyalurkan peruntukan untuk tahfiz al-Quran: Elaun Guru Tahfiz dan Pusat Pengajian Tahfiz; RM 60 ribu.
4. Menambah elaun imam-imam mukim daripada RM 100 kepada RM 250 sebulan
5. Melaksanakan tabung al-Qardhul Hasan di masjid: Sebuah masjid satu jajahan, peruntukan tahunan RM 140 ribu, purata RM 10,000 sebuah masjid.

C]. Perkembangan Dakwah.
1. Memperkenalkan Unit Dakwah Halaqat
2. Memperuntukkan RM 20 ribu untuk kursus mubaligh, imam dan guru pondok
3. Menambah bilangan guru-guru Al-Quran: 50 orang satu DUN
4. Memperkemaskan penglibatan dan hubungan Kerajaan Negeri dengan badan-badan dakwah dan pertubuhan Islam.
5. Mempertingkatkan kegiatan dakwah melalui jabatan / agensi kerajaan
6. Mewujudkan program dakwah menerusi Jawatankuasa Penerangan pihak berkuasa tempatan (Majlis Daerah/Unit Pembangunan Islam MPKB).
7. Mempertingkatkan fungsi Bahagian Dakwah di Jabatan Agama Islam.
8. Menggalakan orang belum Islam menghadiri program kebesaran Islam
9. Kempen kesedaran menutup aurat
10. Menganjur hari kebesaran Islam dan menjemput orang bukan Islam hadir sama
11. Menganjur sambutan bulan Sembahyang.
12. Menganjur sambutan Hari Hudud.
13. Memasukkan program Ihya’ Ramadhan dalam kalendar pelancongan
14. Memasukkan acara seni dan budaya Islam dalam karnival kebudayaan Kelantan.
15. Menetapkan Dasar Islam dalam Dasar Kebudayaan Negeri 1998
16. Memperincinkan prinsip keIslaman di dalam Dasar Kawalan Hiburan Negeri 1998 dan mengutamakan nilai-nilai Islam di dalam peraturan kawalan hiburan 1999.
17. Merekacipta seni rehal sebagai mercu tanda Kota Bharu berprinsipkan simbolik al-Quran sebagai perlembagaan hidup umat Islam/rakyat Kelantan.

D]. Pembangunan Insan.
1. Menyalurkan peruntukan melalui wakil rakyat.
2. Kegiatan tadarus tahunan di masjid Kawasan /jajahan.
3. Menyampai tazkirah berkala di jabatan / agensi kerajaan.
4. Menganjurkan kursus kefahaman Islam.
5. Memperkemaskan lagi Enakmen Keluarga Keluarga Islam Kelantan 1993 (pindaan 1999), memudahkan penggunaan borang-borang.

E]. Mempertingkatkan Pelaksanaan Syariat Islam.
1. Pengharaman judi dikuatkuasa pada 1hb. Januari 1992.
2. Menutup kelab-kelab malam.
3. Menghapus kegiatan pelacuran.4
. Menggalakkan dan menguatkuasa etika pakaian Islam (menutup aurat) dan menjadi syarat pengeluaran lesen premis oleh pihak berkuasa tempatan.
5. Pengawalan kedai gunting - elak wanita bergunting lelaki.
6. Menyusun penjualan arak mulai 1hb. Julai 1993 semua jenis arak tidak dibenarkan lagi diminum di tempat awam, termasuk hotel-hotel, restoran-restoran ataupun kedai-kedai makan. Orang bukan Islam boleh minum di rumah-rumah kediaman mereka ataupun tempat-tempat yang bukan tempat awam.
7. Pengasingan Kaunter bayaran untuk lelaki dan wanita di semua pusat membeli belah.
8. Menutup pusat hiburan, permainan snooker dan biliard.
9. Membanyakkan papan tanda berunsur dakwah, berpandukan ayat al-Quran dan doa.
10. Melarang papan tanda (iklan) yang memperagakan wanita dan yang bercanggah dengan Islam.
11. Meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993)
12. Meluluskan Dasar Kebudayaan Negeri berteraskan prinsip Islam 1998.
13. Meluluskan Enakmen Kawalan Hiburan Negeri.1998 yang mengutamakan nilai-nilai keIslaman.
14. Meluluskan Dasar Pelancongan Negeri 1998 yang berprinsipkan Islam

2.0 PROGRAM PENTADBIRAN.
A]. Pentadbiran Secara Islam.
1. Mengamalkan Pentadbiran berteraskan al-ubudiah, al-masuliah dan al-itqaan
2. Memperkenal dan membudayakan adab membuka dan menutu majlis cara Islam dimulakan surah Al Fatihah dan penutup Al-Asr
3. Dasar jimat cermat dalam berbelanja.
4. At-taawun dalam pelaksanaan projek-projek kecil. (konsep gotong-royong)
5. Menubuh Jawatankuasa Pembangunan Islam.
6. Menubuh Jawatankuasa Pembangunan Ummah Mukim (JPUM)
7. Melantik wakil kaum (hak bukan Islam) dan wanita (memberi hak mereka) dalam Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran Kota Bharu
8. Meluluskan Pekeliling Pentadbiran Islam Bilangan 1 (1994) Negeri Kelantan.
9. Masa pulang diperawalkan dan tiada waktu rehat tengahari dalam bulan Ramadhan bagi membolehkan ibadat digandakan dan membolehkan suri rumah/kakitangan wanita menyiap untuk berbuka.
10. Menamatkan majlis rasmi sebelum waktu sembahyang atau memulakannya selepas sembahyang.

B]. Pengurusan Kewangan Secara Islam.
1. Mengasingkan akaun halal dan haram
2. Memindahkan simpanan tetap dari bank riba ke Bank Islam/Bank Muamalat.
3. Dasar Tender Terbuka dalam pembalakan.
4. Menubuhkan Tabung Serambi Mekah.
5. Melaksanakan Sistem Gadaian Islam (Ar-Rahn) mulai 1992 dan mengarahkan semua pajak gadai riba ditukar kepada sistem islam mulai tahun 1993.
6. Mengarahkan PKINK dan anak-anak syarikatnya yang untung supaya membayar zakat..
7. Pinjaman secara Islam kepada kakitangan kerajaan. (Pinjaman Perumahan, kenderaan & komputer)

C]. Menjaga Harta Kerajaan.
1. Penggunaan kenderaan sedia ada untuk MB dan Exco.Pembelian kenderaan baru untuk MB adalah di atas dasar kenderaan lama yang melibatkan kos penyelenggaraan yang tinggi dan tidak ekonomik.
2. Tidak menyalah guna harta kerajaan seperti kenderaan.
3. Memotong bonus / elaun ; YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar dipotong elaunnya sebanyak 45 peratus ( 40 peratus kepada Parti dan 5 Peratus kepada Perbendaharaan Negeri) manakala wakil rakyat PAS sebanyak RM 500.00 kepada PAS.
4. Menghapus amalan pemberian cenderamata semasa lawatan.
5. Memanjangkan cuti bersalin dari 40 kepada 60 hari.
6. Kerja lima (5) hari seminggu
7. Tidak menghubahsuai/memperbaharui perabot rumah dan hiasan dalaman kediaman rasmi MB di JKR 10
8. Tidak menggunakan kemudahan kerajaan dalam pilihanraya.
9. Menghapuskan peruntukan YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar untuk Juadah Hari Raya sebanyak RM 30,000
10. Menghapuskan peruntukan YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar untuk Juadah Berbuka puasa sebanyak RM 15,000
11. Memotong elaun sewa rumah YAB Tuan Guru Dato’ Menteri Besar sebanyak RM 3,000 sebulan
12. Menghapuskan elaun keraian TMB sebanyak RM 18,000 setahun

D]. Pentadbiran Tanah
1. Dasar penyelesaian tanah-tanah haram sebelum 1990
2. Memberikan hak milik tanah yang telah dibayar deposit.
3. Memudahkan beberapa urusan tanah (bayaran ansuran untuk premium bagi membantu golongan miskin memiliki tanah).
4. Menurun kadar bayaran premium tanah.
5. Mempertingkatkan kutipan tunggakan hasil tanah.
6. Memperturunkan kuasa kelulusan tanah (kurang 10 Ekar) kepada Pegawai Daerah (DO).
7. Menjalankan bancian pemilikan tanah

3.0 PROGRAM PEMBANGUNAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT
A]. Pembangunan Insaniah (Kemanusiaan).
1. Mendedahkan program Bina Insan kepada pegawai, kakitangan kerajaan.
2. Menganjur tamrin kepada guru-guru dan pelajar YIK.
3. Memberi kursus kesedaran Islam kepada wanita, belia dan kepimpinan masyarakat
4. Pemimpin bertadarus bersama rakyat dalam bulan Ramadhan.
5. Pegawai memberi tazkirah.
6. Melaksanakan projek Desa Takwa.
7. Menjemput orang bukan Islam kedalam majlis-majlis rasmi.
8. Menganjur kuliah agama di Masjid Baraah Pasar Buluh Kubu.
9. Menganjur forum, seminar dan muzakarah mengenai pelaksanaan Islam.
10. Menambah bilangan guru-guru Al-Quran dan fardu ain.
11. Memperkemaskan penglibatan dan kerjasama dengan badan-badan dakwah lain.
12. Mempertingkatkan kegiatan dakwah melalui jabatan / agensi kerajaan
13. Mewujudkan program dakwah menerusi Jawatankuasa Penerangan pihak berkuasa tempatan (Majlis Daerah / MPKB).
14. Mempertingkatkan fungsi Bahagian Dakwah di Jabatan Agama Islam.
15. Menggalakan orang belum Islam menghadiri program kebesaran Islam dan ceramah PAS
16. Kempen kesedaran menutup aurat di peringkat parti dan kerajaan. Kakitangan wanita diwajibkan pakaian menutup aurat.

B]. Pembangunan Ekonomi.
1. Memajukan bidang Pertanian sebagai “economic base”.
2. Menjadikan PKINK sebagai pemaju sektor pertanian komersial/perniagaan tani.
3. Mempelbagai kegiatan komersial.
4. Terus memajukan bidang penanaman padi.
5. Mempelbagaikan kegiatan PKINK dalam bidang Perlombongan, Pembalakan, Petro-kimia, Gas dan Petroleum, Ladang & Hartanah serta Pelancongan
6. Menyedia skim subsidi baja padi kerajaan negeri dengan peruntukan tahunan sebanyakRM 3 juta bagi menampung subsidi baja oleh Kerajaan Pusat.
7. Memajukan Kawasan Lojing sebagai pusat pertumbuhan baru.
8. Mempertingkat usaha penanaman semula hutan menerusi Projek Tanaman Ladang Hutan oleh PKINK, Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN) dan Yayasan Islam Kelantan (YIK)
9. Menyekat pembalakan haram dan menambahkan penguatkuasaan ke atas kegiatan tersebut.
10. Menggubal Dasar Pertanian Negeri disamping Dasar Pertanian Negara
11. Mewujud skim galakan pelaburan sebanyak RM 250,000.00 setahun.
12. Menubuh Pusat Serenti Perindustrian.
13. Membuat promosi pelaburan di luar negeri.
14. Memaju dan memberi kerjasama kepada pihak yang menjayakan pelbagai projek untuk kemudahan dan kemajuan ekonomi negeri seperti Projek Kemasin-Semerak, Empangan Pergau dan penyediaan tapak perindustrian.

C]. Projek Kesejahteraan Rakyat.
1. Mempertingkat fungsi Pejabat Pembangunan Negeri dalam menyelaraskan projek-projek di kampung-kampung.
2. Mempertingkat peranan Pejabat Tanah & Jajahan dengan memberi kuasa kepada Pegawai Daerah untuk melaksanakan projek jajahan.
3. Menyalur peruntukan melalui wakil rakyat.
4. Mempertingkat peranan Majlis Daerah dan MPKB dalam menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan untuk semua rakyat.
5. Meneruskan semua pelaksanaan pelbagai projek kecil dan kesejahteraan rakyat - mengetar, menaik taraf dan membatu jalan, membina parit dan saliran, menyedia input pertanian, membina dan membaiki jambatan, kalbot (saluran air), wakaf dan seupamannya.
6. Menghapuskan lesen beca roda tiga
7. Mempertingkatkan skim bantuan pemulihan rakyat termiskin melalui Jabatan Pertanian, Pejabat Pembangunan Negeri dan Jabatan Perkhidmatan Haiwan seperti bantuan bekalan eletrik, input pertanian, ternakan lembu, kerbau, kambing, biri-biri, ayam itik dan input nelayan.

4.0 ISU-ISU POSITIF DALAM KERAJAAN PAS
1. Ketokohan ,Tok Guru, Sifat sederhana , tiada penyelewangan, mengutamakan kehendak rakyat, teladan Tuan Guru Menteri Besar memberi keyakinan kepada rakyat.
2. Wujud suasana aman, sejahtera dan selesa. Kadar jenayah menurun, keputusan peperiksaan meningkat,gejala keruntuhan sosial remaja rendah dan kes-kes maksiat tidak merebak.
3. Pelaksanaan syariat dan syiar Islam. Usaha secara praktikal pemerintahan Islam di Kelantan di sempurna dengan menguatkuasa pelbagai peraturan Islam mengikut kemampuan (kuasa yang ada) bagi kerajaan negeri. Usaha seperti menguatkuasakan pakaian menutup aurat, pengharaman judi dan melulus kanun Jenayah Syariah II merupakan langkah serius yang tidak pernah dilaksanakan oleh kerajaan BN sebelum ini meskipun mereka mendakwa mendaulatkan Islam.
4. Pembangunan yang selari dan seimbang. Meliputi aspek pembangunan kebendaan dan pembangunan kemanusiaan. Berbeza dengan kerajaan BN yang menekankan pembangunan kebendaan semata-mata. Mereka banyak mengejar kebaikan dunia dan meninggalkan kebahagiaan akhirat. Oleh itu aspek pembangunan insaniah dipertingkatkan kepada setiap lapisan rakyat.
5. Boleh mentadbir dan tiada masalah kewangan. Berkat jimat cermat.
6. Pendekatan Islam dalam belanjawan Negeri
7. Perakuan polis, jenayah menurun.
8. Langkah Kelantan ditiru oleh negeri lain/kerajaan Pusat. Pajak Gadai Islam, perumahan konsep Islam dan cuti bersalin
9. Kerajaan BN menolak keputusan Dewan Undangan undangan Negeri Kelantan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (HUDUD) pada 25 November 1993
10. Pendana Menteri melalui surat rasmi mengugut akan mengambil tindakan sekiranya kerajaan Negeri meneruskan cadangan melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993.
11. Peminpin UMNO rata-rata memiftnah dan memburuk imej kerajaan Negeri untuk melaksanakan hudud dengan mengatakan apa yang diusahakan oleh kerajaan Negeri sebagai “hudud zalim”, “tidak adil” dan “hudud PAS”
12. Menyelesaikan masalah Air dengan membeli saham Thames Water 70%

Tasawuf Dalam Mengislah Massa

Tasawuf dalam mengislah massa
Mohamad Ridhwan Bin Alias

Bayangkan 10 tahun akan datang, apakah nasib manusia yang semakin diselimuti trajedi kemanusiaan yang paling dahsyat iaitu keruntuhan sosial masyarakat. Kes rogol, pecah amanah, ragut dan penganutan budaya hiburan oleh anak muda secara melampau antara drama tragik yang semakin menjadi-jadi. Pembangunan yang diingini telah membawa bunga-bunga gejala sosial yang mematikan roh insani. Oleh sebab itu, pembangunan fizikal harus diseimbangi dengan pembangunan insani agar kita memperolehi pembangunan fizikal tetapi mengekali akal-budi masyarakat Timur dan Islam yang hakiki dan asali. Persoalan yang timbul, bagaimana kita boleh menggapai keseimbangan pembangunan fizikal dan insani yang kita ingini?.
Kelakuan manusia adalah cerminan hatinya.

Kita boleh mengetahui jenis air di dalam teko setelah kita menuangkannya. Bagi mengatasi permasalahan sosial, kita seharusnya mendidik jiwa seseorang agar tunduk kepada Tuhan melalui nilai-nilai murni terutamanya penghayatan ilmu tasawuf. Pembersihan hati hanya dapat dilakukan dengan suntikan ilmu tasawuf. Definisi ilmu tasawuf ialah satu ilmu yang membincangkan dan mempelajari tentang cara-cara seseorang untuk memdekatkan dan menghampirkan diri kepada Allah dengan menekan perkara berkaitan dengan akhlak terpuji, beramal soleh dengan istiqamah, mendidik hati dan menundukkan nafsu sehingga tujuan hidup yang sebenar yakni memperolehi keredhaan Allah dalam seluruh aspek kehidupannya.

Hubungan baik dalam urusan agama dengan urusan keduniaan perlu diketemukan bagi melahirkan generasi yang sihat akhlaknya. Kebanyakan ahli masyarakat kita tidak memahami tasawuf sehingga menganggap amalan bersufi ini sebagai bidaah, antipembangunan dan ajaran sesat. Anggapan ini boleh dijernihkan jika masyarakat memahami dengan lumat ajaran tasawuf.

Menurut Abbas al Akkad, kaum sufi ialah kumpulan benar-benar mencintai Allah selepas membersihkan diri dan hidup dalam masyarakat yang berhubungan serta tidak jemu-jemu berbakti kepada agama. Bukanlah ahli sufi jika hanya bertakwa dan memutuskan hubungan dengan ahli masyarakat. Ahli tasawuf tetap mengauli masyarakat dengan uzlah hati dimana pengaulan dengan masyarakat awam hanya berbentuk zahir sahaja tetapi hati mereka terus mengingati Allah.

Menurut Syed Naquib al Attas, ketidakfahaman masyarakat terhadap tasawuf kerana kuman kemunduran terkandung dalam akal-pengertian yang jahil, menyalah-fahami serta menyalah-kenakan dan menyalah-amalkannya sehingga membawa kepada pelbagai penyelewengan dan kekeliruan. Kekarutan akal-pengertian dan amalan si jahil menyebabkan berlakunya ajaran sesat dalam tasawuf bertareqat. Pembawaan syeikh tareqat banyak menyeleweng dan tidak menepati disiplin kerohanian. Tasawuf tidak semestinya bertareqat, bukannya pada zikir, suluk, mujahadah, salasilah dan ibadah yang banyak tetapi kefahaman terhadap hakikat tasawuf sangat penting. Hakikat tasawuf ialah hidupnya jarum hati memandang hakikat ketuhanan dalam setiap masa. Pandanglah segalanya daripada Allah, dengan Allah dan kepada Allah, berpegang teguh dengan syariat dan hakikat serta memelihara diri daripada yang haram, syubhat dan makruh.

Tasawuf tidak membawa masyarakat ke arah kemunduran seperti momokkan pihak orientalis dan ulama modenis bahkan tasawuf boleh membangun masyarakat yang maju dalam bidang ilmu dan teknologi tetapi mengekali akhlak mulia-bestari mereka. Sayyed Hossein Nasr menyatakan sufisme tidak pernah menidurkan jiwa umat Islam. Mereka yang mengamalkan sufi tidak sahaja tunduk kepada Allah tetapi mestilah bersedia untuk bekerja dengan mentauladani sunnah para rasul. Kehidupan para rasul meliputi dalam pemerintahan, perniagaan, pertukangan dan pertanian. Tasawuf memainkan peranan penting bagi menggerakkan jiwa untuk bekerja memenuhi tuntutan pengisian sesebuah tamadun.

Tamadun selalu sahaja difahami daripada kacamata Barat yang lebih menumpukan kepada pembangunan kebendaan berasaskan sains, teknologi dan ekonomi. Islam pula melihat ketamadunan berasaskan pembangunan insani yang berakal-budi akidah Islam. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW berjaya melahirkan masyarakat Quranik di Madinah dengan tahap ketamadunan insani paling mantap berbanding ketinggian tamadun ciptaan Firaun yang maju dalam aspek kebendaan tetapi ‘tohor’ dalam akal-budi berasaskan akidah dan buruk akhlak. Maka lahirlah penyalahgunaan elemen-elemen ketamadunan. Teknologi yang dihasilkan oleh manusia tidak mempunyai jiwa agama yang mantap akan menyebabkan teknologi yang disangka baik akan disalahgunakan. Contoh, penggunaan internet sebagai jaringan untuk mencari ilmu pengetahuan dan komunikasi telah disalahgunakan dengan pembiakan amalan pornografi.

Menurut Seyyed Hossein Nasr, tasawuf ialah sains jiwa menjadi punca terciptanya revolusi sains dan teknologi. Sains jiwa adalah hasil latihan-latihan jiwa untuk meningkatkan nilai akhlak supaya dapat melahirkan tenaga daya kreatif yang tinggi. Sains jiwa akan mencipta sains material. Oleh sebab itu, sains jiwa perlu dicapai terlebih dahulu sebelum penciptaan sesuatu objek berbentuk material. Jika tidak, sains dan teknologi akan membawa kemusnahan kepada dunia. Keseimbangan sains jiwa dengan sains material amat penting bagi menyelaras proses ketamadunan. Tasawuflah yang mengajar agar kedua-duanya harus berjalan sejajar untuk menjadi tamadun yang dipenuhi nilai kemanusiaan.

Ketiadaan hakikat tasawuf dalam kehidupan moden menyebabkan manusia tertarik dengan graviti nafsu. Kejadian rasuah dan pecah amanah menunjukkan kepada kita perlunya hati kita dididik dengan amalan tasawuf. Rasuah dan pecah amanah bukan hanya dilakukan oleh golongan bawahan tetapi paling malang dilakukan oleh golongan terpelajar. Walaupun mereka berakal dan memahami tentang kemungkaran tetapi mereka tidak dikawal oleh kejernihan hati-nurani sehingga sanggup melakukan perbuatan terkutuk. Jika kita mengamalkan ajaran tasawuf, kebarangkalian untuk melakukan rasuah dan pecah amanah adalah tiada kerana jarum hati kita selalu mengingatkan kita berada di bawah pemerhatian Allah yang Maha Melihat dan kepercayaan pembalasan syurga dan neraka sudah cukup menjadi wadah kawalan jiwa daripada melakukan kemungkaran.

Secara umumnya, masyarakat muslim menganggap ahli sufi sangat dangkal dan pasif terhadap politik. Kebanyakan ahli sufi tidak mencampuri amalan politik kepartaian dan perebutan kuasa bukan bererti mereka antipolitik dan antipemerintahan. Tasawuf bukannya pengamalan budaya Gautama Buddha yang hidup bermeditasi dan bertapa untuk melarikan diri daripada perihal keduniaan. Dale F. Eickelman dalam Muslim Politic menyatakan jaringan sufi sebagai gerakan politik yang penting pada zaman kolonialisme. Di kawasan pengaruh tasawuf yang kuat seperti di Tenggara Eropah, Afrika Utara dan Asia Tengah, kepimpinan politik tasawuf cukup berpengaruh. Di Sudan, tareqat Mahdiyyah telah bangkit menentang penjajah dan membentuk kekuatan politik dalam pemerintahan Sudan. Di Terengganu, Tokku Paloh telah mendidik jiwa tasawuf Sultan Zainal Abidin III telah bersama baginda menentang penjajah British dan memerintah Terengganu. Inilah adalah contoh kemampuan tasawuf memotori kuasa pemerintahan negara.

Kesenian dan kesusasteraan juga pernah menerima suntikan tasawuf. Tasawuf tidak menghalangi kegiatan kesenian dan sastera. Dunia Islam sendiri telah melahirkan ahli tasawuf yang berjiwa seni dan sastera seperti Hamzah Fansuri, Jamaluddin al rumi dan Muhammad Iqbal. Hamzah Fansuri sebagai contoh telah memajukan puisi kesufian dan falsafah Islam berasaskan faham wujudiah. Kesenian dan sastera hasil suntikan tasawuf mengarahkan jiwa menghayati keindahan ciptaan Allah dan mengikat-kuatkan lagi akidah umat Islam sama ada di kalangan sasterawan, seniman atau audien yang menghayatinya. Nasyid sebagai contoh adalah wasilah paling mudah menarik anak muda agar kembali menghayati ajaran Allah dan menjentik jiwa pendengar agar menginsafi diri seperti yang pernah digemilangkan oleh kumpulan The Zikr dan Nada Murni.

Tasawuf adalah jatidiri manusia muslim untuk mendepani cabaran dunia yang dipenuhi dengan fahaman keduniaan yang mengarahkan kepada kehancuran kerohanian ummat Islam. John R. Mott, mengakui mukmin yang kuat ialah mereka yang memiliki sifat-sifat tasawuf, kebal dan tidak dapat ditembusi oleh sebarang kekufuran. Mereka yang mengamal tasawuf sukar digugat keimanan mereka. Pengamalan ilmu tasawuf boleh dirujuk melalui kitab seperti Minhajul Abidin, Matan al Hikam dan Ihya’ ‘Ulumiddin dengan kaedah pengajian kitab. Kaedah pengajian kitab melalui guru musyid dan mengamal wirid selepas solat sudah memadai daripada mengikuti tareqat yang banyak diseleweng oleh ulama berhati duniawi.

Mutiara tasawuf perlu dicari dengan menggunakan akal. Menurut Hamka, barang siapa yang memilih hidup bersufi, mestilah menggunakan akal. Tanpa akal tidak ada sufi. Pengunaan akal adalah satu tanda berusaha untuk hidup. Ahli sufi yang berakal dapat menghadapi dugaan dalam bermasyarakat dan bersabar lebih baik daripada muslim yang mengurungi diri untuk menggelak diri daripada bergaul dengan masyarakat. Oleh sebab itu, muslim yang bersufi dan mendepani permasalahan masyarakat adalah muslim superman yang dapat menyesuaikan dirinya untuk dunia dan akhirat dengan memiliki sahsiah yang mulia-bestari.

Kemampuan tasawuf dalam masyarakat moden tidak boleh dipersoalkan lagi. Tasawuf telah membuktikan kebolehannya serasi dalam kehidupan moden. Pengamalan tasawuf dengan kefahaman sahih akan dapat mengislah masyarakat ke arah lebih maju dalam pembangunan material dan insani. Ketamadunan yang terhasil bukan sahaja berwawasan di dunia sahaja tetapi meliputi wawasan akhirat yang tidak mampu difikirkan oleh imiginasi minda manusia. Tanpa tasawuf, manusia muslim hanya rangka yang bergerak tanpa roh. Kalau manusia dianggap sebagai buah-buahan, bagai ‘kulit tanpa isi’. Apa gunanya buah berkulit tanpa isi. Fikir-fikirkanlah.

Wahai pemimpin! Kemewahan diri bukan kehebatanmu

Sekadar perkongsian, tanpa perlu melihat siapa yang menyampainya, mahupun berpransangka, siapa yang dimaksudkannya.. -admin-

Wahai pemimpin! Kemewahan diri bukan kehebatanmu

oleh Dr Mohd Asri Zainal Abidin

Saya terbaca dialog yang menarik antara khalifah yang sangat adil, Umar bin Abdul Aziz dan penasihatnya yang jujur Rajak bin Haiwah. Kata Rajak: Ketika Umar bin Abdul Aziz menjadi Gabenor Madinah, beliau pernah berkata kepadaku: “Wahai Rajak! pergi belikan untukku sehelai baju.

”Aku pun belikan untuknya sehelai baju yang bagus, harganya 500 dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: “Bagus, cuma ia murah.” Selepas beberapa tahun beliau menjadi khalifah, suatu hari beliau berkata kepadaku: “Belikan untukku sehelai baju.” Maka aku membeli untuknya baju yang murah lagi amat sederhana, harganya hanya 5 dirham. Apabila aku membawanya kepada beliau, maka beliau memegangnya dan berkata: “Bagus, cuma ia mahal.” Aku kehairanan, bagaimana mungkin baju yang aku beli untuknya di Madinah beberapa tahun lalu dengan harga 500 dirham dianggap murah dan baju yang aku beli sekarang dengan harga 5 dirham dianggap mahal. Perasaanku tersentuh dengan perkataan beliau dan aku pun menangis. Umar bertanya: “Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Rajak? Kataku: “Perkataanmu wahai Amirulmukminin, bagaimana mungkin engkau menganggap baju lepas yang berharga lima ratus dirham murah, dan baju sekarang yang berharga lima dirham mahal?

Kata Umar: “Wahai Rajak, sesungguhnya aku memiliki jiwa yang sentiasa berkeinginan. Setiap kali aku mencapai sesuatu, jiwaku inginkan sesuatu yang lebih dari itu. Wahai Rajak! Jiwaku inginkan sepupuku Fatimah binti Abdul Malik, lalu aku mengahwininya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan gabenor, lalu aku dilantik memegangnya. Kemudian jiwaku inginkan jawatan khalifah, lalu aku mencapainya. Sekarang jiwaku inginkan syurga, aku harap aku dapat menjadi penghuninya.” (lihat: Salah al-Khalidi, Al-Khittah al-Barraqah lizi al-Nafs al-Tauwaqah, 93-94, Damsyik: Dar al-Qalam).

Demikianlah jiwa seorang pemimpin yang mencatatkan sejarah keadilan kepimpinannya dengan tinta emas. Dia hanya memerintah dua tahun, tetapi mengukir namanya dengan penuh keindahan di persada sejarah. Hubungan jiwanya dengan habuan kekal yang diharapkan di sisi Allah pada hari akhirat menjadikan kepimpinannya penuh keadilan dan rahmat Allah sekalipun pakaiannya hanya dari kain murahan, tetapi keadilannya tidak dapat dibeli dengan apa-apa harga. Sejarah tidak pernah mengenangkan kemewahan harga baju atau kediaman seorang pemerintah dengan kenangan indah. Bahkan dalam sejarah, sikap suka bermewah-mewah pemerintah menggunakan harta rakyat banyak menghasilkan mimpi ngeri dan babak hitam bagi kehidupan rakyat. Namun sejarah indah hanya akan mengingati keadilan dan amanahnya seorang penguasa, sekalipun bajunya buruk. Lihatlah tampungan pada baju Khalifah Umar bin al-Khattab r.a., namun jiwa rakyatnya tidak pernah berlubang seperti bajunya. Amanah dan keadilan meliputi pemerintahannya.

Entah berapa ramai pemimpin yang baju mereka megah dan mewah, namun jiwa dan perasaan rakyat mereka sentiasa terkoyak dan carik. Kesilapan besarlah seorang pemimpin jika merasakan dia dihormati kerana gaya mewahnya yang menjulingkan mata rakyat. Dia lupa pemimpin dihormati kerana jasa, prihatin, amanah dan keadilan pemerintahannya. Bukan kerana kenderaan mewah, rumah yang megah, paip yang panjang, isteri yang berhias permata berlian atau cermin mata yang pekat hitam sehingga dia buta penderitaan rakyatnya. Tidak! Sesungguhnya tidak. Itu semua menimbulkan curiga, prasangka dan kedengkian perasaan yang memburukkan kasih sayang antara orang bawahan dan atasan.

Saya tidak pernah menyeru pemimpin dunia Islam hidup kemiskinan, kelaparan, memakai pakaian buruk dan tinggal di rumah yang nak roboh atau berkenderaan cabuk. Tidak! Mungkin gaya yang hebat juga diperlukan untuk politik zaman kini yang terpaksa menghadapi persaingan musuh-musuh yang pelbagai. Mereka boleh bermewahan jika itu adalah harta mereka yang halal. Mereka boleh memakai dan memiliki apa yang mereka mahu, jika itu datang dari sumber yang Allah reda. Saya tahu, ada pemimpin yang berharta hasil usahanya sendiri. Bahkan kekayaan sesetengah pemimpin melimpah untuk rakyatnya dengan keikhlasan dan kasih sayang. Perlis barangkali antara contoh yang baik dalam hal ini.

Namun di sesetengah negara dan negeri, keranggian pemimpin yang bergaya dengan hartanya menimbulkan kejengkelan dalam jiwa rakyat. Sehingga seakan perlambangan seorang pemimpin itu, bukan kerana kewibawaannya atau adab dan karismanya, keadilannya, sebaliknya adalah harta dan kekayaannya yang ditunjuk- tunjukkan. Rumah pemimpin dikenali bukan kerana dipenuhi rakyat yang mengadu hal derita mereka tetapi kerana pagarnya yang besar, dan kemewahan luar dan dalamnya. Kereta pemimpin dikenali bukan kerana kerap sampai ke tempat rakyat tetapi kerana luar biasa harganya. Isteri pemimpin dikenali bukan kerana adab dan sopannya terhadap rakyat, tetapi kerana gaya ranggi dan hiasan diri yang mahal- mahal. Maka sesetengah pemimpin merasakan dirinya berada pada kasta yang tinggi dan rakyat pada kasta bawahan. Maka wakil rakyat ada yang bertukar menjadi ‘tokeh rakyat’. Jika hal ini berlaku, politik kedengkian akan subur dan terus merebak lalu umat ini terus bergolak.

Saya terbaca dalam Musannaf Abi Syaibah riwayat yang menceritakan apabila dibawa kepada Sayidina Umar harta rampasan Maharaja Kisra Parsi yang begitu banyak dan menakjubkan, maka beliau pun menangis. Lalu ditanya kepadanya: “Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Amirulmukminin, padahal hari ini adalah hari kesyukuran, kegembiraan dan keseronokan.” Jawab Umar: “Tidak ada kaum yang banyak pada mereka benda ini (harta) melainkan Allah campakkan di antara mereka permusuhan dan kebencian” (8/147). Islam bukanlah anti harta, tetapi Islam memusuhi penyalahgunaan harta dan kemewahan yang mengheret kemusnahan. Masyarakat Islam perlu kaya, tetapi kekayaan yang membawa kekuatan kepada umat, bukan hanya untuk keborosan individu. Jika ramai yang kaya tetapi tidak berbakti kepada umat, untuk apa kita berbangga dengan kekayaan mereka?

Jika pemimpin menjadikan harta dan gaya mewah teras kekuatannya, bukan keadilan dan kewibawaannya, maka insan-insan munafik dan pelahap harta akan mengelilinginya. Dia dipuji kerana harta yang boleh diberi. Dia akan sukar menemui insan jujur yang sudi menegur tanpa minta dibalas dan menasihati kerana ikhlas. Maka kesilapannya tidak dibetulkan, kesalahannya tidak diingatkan. Lalu dia tenggelam dalam pujian dusta dan khianat, kerana setiap yang ada di kelilingnya tidak pernah berfikir tentang nasib pemimpin mereka di akhirat sebaliknya hanya berfikir tentang untung mereka di dunia. Jika ada tokoh berlabel agama di sekitarnya pun, tidak akan berfungsi jika harta yang dicarinya. Akhirnya, ulama hanya mainan orang politik, bukan orang politik dipandu oleh ulama.

Allah berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 66-68: (maksudnya) Pada masa muka mereka dibalik-balikkan dalam neraka, mereka berkata (dengan sesalnya): “Alangkah baiknya kalau kami dahulu (semasa di dunia) taat kepada Allah serta taat kepada Rasul Allah. Dan mereka berkata lagi: “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak ketua-ketua dan orang-orang besar kami, lalu mereka menyesatkan kami dari jalan yang benar. Wahai Tuhan kami, berilah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatkanlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!” Justeru itu dalam hadis baginda menyebut: “Sesungguhnya Allah meredai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu tiga perkara. Dia meredai kamu jika (pertama) kamu beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya sedikit pun, (kedua) kamu berpegang teguh dengan tali Allah kesemuanya. (ketiga) Kamu menasihati sesiapa yang Allah jadikan dia memerintah urusan kamu. Dia memurkai kamu banyak bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan harta dan banyak bertanya (maksudnya pertanyaan yang tidak berfaedah) (Riwayat Malik dalam al-Muwatta).

Hari ini, banyak sukatan dan ukuran berubah. Ramai yang tidak memiliki idealisme atau karisma kepimpinan menjadi pemimpin hanya kerana harta atau kem politiknya yang berjaya, lalu dia pun dibakulkan sekali. Apabila seseorang naik dalam politik kerana hasil umpan hartanya semata, tentu dia inginkan pulangan modalnya. Maka rasuah dan politik wang akan berleluasa. Jika dia naik dalam politik kerana ketajaman idealisme dan karismanya, maka sudah pasti dia ingin membuktikan kemampuan pemikiran yang bernas itu untuk dimanfaatkan masyarakat. Maka rakyat mendapat pulangan faedah yang besar daripada pemimpin yang berwibawa dan berkarisma, tetapi akan terpaksa membayar harga yang tinggi terhadap pemimpin yang diangkat kerana umpan hartanya. Maka akhirnya, golongan Ruwaibidoh akan menguasai masyarakat. Al-Ruwaibidoh adalah satu istilah yang diguna pakai oleh Nabi s.a.w. untuk menggambarkan golongan yang akan muncul menjelang kiamat. Mereka adalah kelompok yang tidak berkualiti tetapi ingin berbicara persoalan besar. Sabda baginda: “Sesungguhnya sebelum kedatangan dajjal-dalam riwayat yang lain: sebelum kiamat – adanya tahun-tahun yang penuh tipu daya. Ketika itu didustakan orang yang benar, dianggap benar orang yang dusta, dianggap khianat orang yang amanah, dianggap amanah orang yang khianat, dan bercakap ketika itu al- Ruwaibidoh. Para sahabat bertanya: “Siapakah al-Ruwaibidoh?” Sabda Nabi s.a.w.: Orang lekeh yang berbicara mengenai urusan awam (orang ramai).” Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad, Abu Ya‘la, al-Bazzar, Ibnu Majah, al-Kharaiti, dan al- Hakim. Al-Hakim menyatakan isnadnya sahih dan ini disetujui oleh Al-Zahabi.

Maka menjadi tanggungjawab rakyat dan kepimpinan memastikan setiap tokoh yang akan dilantik adalah kerana kewibawaannya. Karisma atau kewibawaan dirujuk kepada dua persoalan asas; pertama; pegangannya kepada agama secara menepati al- Quran dan sunah. Ini kerana kemuliaan umat ini mempunyai kaitan yang tidak boleh dipisah dengan penghayatan seseorang terhadap ajaran Allah dan Rasul-Nya. Kedua; kemampuannya memegang amanah kepimpinan dalam erti kata mampu memimpin umat ke arah kecemerlangan hidup di dunia dan akhirat. Bukan semestinya lebai atau ustaz, tetapi iltizam dan keupayaan. Bukan kemewahan harta atau lebar serbannya tetapi kewibawaannya. Firman Allah: (maksudnya) “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (an-Nisa’ ayat 58).

Amatlah dukacita bagi sebuah masyarakat yang apabila disebut pemimpin politik lalu terus terbayang dalam pemikiran tentang limpahan harta dan gaya mewahnya, bukan ketajaman minda atau keprihatinannya kepada rakyat. Kita suka pemimpin yang berharta, jika itu membolehkannya membantu rakyat khususnya muslimin. Namun hendaklah kekayaan hasil titik peluhnya atau usahanya yang tidak mencemarkan kepentingan harta rakyat. Jika itu dapat dilakukan, dia bukan sahaja memimpin idea yang baik, juga penderma yang membawa kebaikan untuk rakyat. Kekayaan pemimpin mesti untuk manfaat rakyat. Maka dengan itu dia dipilih di samping kewibawaannya juga kerana kesudiannya menghulurkan bantuan, bukan membisneskan harta rakyat.

Dalam Musannaf Abi Syaibah juga meriwayatkan surat Amirulmukminin Umar bin al-Khattab r.a. kepada gabenornya Abu Musa al-Asy‘ari r.a., antara isinya: “Sesungguhnya pemimpin yang paling bahagia ialah mereka yang menyebabkan rakyatnya bahagia, dan pemimpin yang paling celaka ialah yang menyebabkan rakyatnya celaka. Jaga-jaga engkau jangan bermewah-mewahan, nanti pegawai-pegawaimu juga akan bermewah-mewahan.” (8/147).
Maka seorang pemimpin itu mestilah mempunyai penasihat-penasihat yang baik. Mereka menasihatinya dengan jujur, dan hendaklah selalu dia berkata “berikan pendapat yang ikhlas lagi diredai Allah kepada saya.

Sabda Nabi s.a.w.: “Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan serta menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan serta menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan Allah (Riwayat al- Bukhari dan al-Nasai). Semua pemimpin hendaklah memastikan perdampingan dengan penasihatan yang baik itu benar-benar dihayati dalam kepimpinannya. Inilah jalan selamat setiap kepimpinan. Umara jujur hendaklah selalu bersama para ulama yang ikhlas. Keikhlasan para ulama menyuburkan keadilan pemerintah. Maka haram dan khianatlah ulama jika mereka mengampu sehingga pemimpin terbuai nyenyak dalam kesalahan.

Isnin, 14 Januari 2008

Cubaan membersihkan UMNO menajiskan PAS

Pertarungan PRU ke 12 rata ratanya dianggap sengit oleh pemerhati politik terutamanya dengan lawatan demi lawatan pimpinan tertinggi UMNO ke Kelantan. Presiden dan Timbalannya datang silih berganti. Berhajat benar nampaknya UMNO kepada Kelantan. Itulah uniknya Kelantan ini. Mungkin bukan setakat minyak yang menjadi idaman, malahan menyelamatkan maruah yang tercalar.

Dengan Kelantan dianggap kubu terkuat PAS, menafikan kemenangan PAS dengan apa cara sekalipun di sini boleh meranapkan impian untuk melihat penguasaan PAS melebarkan jaringannya sekurang kurangnya ke negeri negeri jiran.

Oleh itu ada yang berpendapat, kepimpinan UMNO Kelantan yang tidak dapat diterima oleh majoriti rakyat, samada atas tuduhan penyalahgunaan kuasa, menggelapkan duit dan mempunyai tabiat dan keperibadian yang kurang baik akan dibuang dari senarai calon calon yang bertanding pada pilihanraya akan datang.

Ini mungkin termasuk orang kuatnya yang diwar warkan akan dibawa keluar terus dari Malaysia, menerima nasib seperti Tan Sri Wan Mokhtar yang dihantar menjadi duta selepas tidak lagi menjadi Menteri Besar. Dikhabarkan orang kuat ini akan dibawa menjadi duta ke Indonesia. Malaysia adalah negara serba boleh. Begitu banyak perkara yang kelihatan mustahil boleh berlaku.

Disebaban Kelantan dilihat begitu serasi dengan imej ulama dan bersih, maka pendekatan yang sama juga akan digunakan untuk meyakinkan majoriti rakyat Kelantan betapa UMNO di bawah kepimpinan Pak Lah ini amatlah berbeza. Segalanya diinginkan bersih. Yang mengotorkan UMNO adalah kepimpinan terdahulu.

Hatta seorang bertaraf Menteri yang mengaku di dalam dewan bahawa beliaulah antara orang yang banyak menyekat pelaburan dan pelbagai kemudahan yang sepatutnya sampai ke Kelantan, mengaitkan perangai buruk itu dengan kepimpinan terdahulu. Nah, beliau sekarang bersih kerana berada di bawah kepimpinan Pak Lah. Apakah bersih itu bermakna rakyat Kelatan telah memaafkan penginayaan yang telah dibuat? Kiranya tidak, beliau tetap kotor dengan noda dan dosa.

Di saatkan UMNO dibersihkan, kepimpinan PAS Kelantan khususnya dan Malaysia amnya, cuba dilumur dengan najis di dalam tong yang disediakan. Tong yang disediakan ini cuba mengaibkan seluruh kepimpinan PAS termasuklah Tuan Guru Menteri Mursyidul Am PAS. Betapa permainan ini mengundang pelbagai reaksi dan respon daripada semua pihak termasuk orang PAS sendiri.

Matlamatnya tetap satu, untuk menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Tuan Guru. Tong najis yang dipenuhi pelbagai sampah sarap ini merupakan tempat cari makan orang yang tiada pendirian, tempat mempelagakan tokoh politik dan tempat melacurkan penulis upahan.

Yakinlah usaha itu tidak ke mana. Perancangan itu bakal menemui jalan buntu. Kebathilan itu pasti akan terhapus dan menyerlahlah sinar untuk membenarkan kalimah Allah. Tilik tiliklah diri kita, andai najis itu telah berjaya menemui sasarannya, kerana walau dengan setitik najis, kesempurnaan ibadah itu bakal terjejas. Moga iman kita tidak goyah dengan sedikit untung dunia.

Jumaat, 11 Januari 2008

Halatuju Politik Kelantan-2 (faktor dan penyelesaian)

Persoalan utama yang menjadikan tikam menikan dan kata mengata melibatkan kepimipinan tertinggi PAS, samada di peringkat Pusat dan negeri khususnya dari Kelantan, adalah berkenaan dengan pengganti YAB Tuan Guru. Inilah punca sebenarnya kepada sedikit krisis yang dikatakan krisis dalaman, namun diapi-apikan oleh mereka yang berkepentingan dan musuh Islam yang ingin melihat kejatuhan PAS.

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama kerajaan pimpinan YAB Tuan Guru diuji dan berhadapan dengan perkara semacam krisis.

Kerajaan Islam Kelantan pernah berhadapan dengan pergolakan politik dalaman semasa berada dalam kerajaan pakatan Angkatan Perpaduan Ummah. Namun pergolakan politik yang berlaku tidak menjejaskan perjalanan Kerajaan dan sokongan rakyat Kelantan. Peristiwa itu sudah tentu menjadi sejarah istimewa yang diingati oleh pendokong harakah. Ianya juga petanda paling nyata bahawa rakyat tetap menginginkan kepimpinan Tuan Guru dan kerajaan pimpinannya serta menyokong penuh dasar Membangun Bersama Islam di bawah kepimpinan ulama. Ini dibuktikan denan keputusan pilihanraya ke 10 tahun 1999.

Walaupun ada yang menjustifikasikannya dengan gelombang reformasi selepas pemecatan Bekas TPM, Dato Seri Anuar Ibrahim, namun kekuatan kerajaan pimpinan YAB Tuan Guru juga merupakan satu kekuatan tersendiri. Terdapat kecenderungan rakyat untuk terus bernaung di bawah pentadbiran Islam, selepas unsur kezaliman dilihat merosakkan kepercayaan dan keyakinan rakyat, maka semua pihak menuju ke arah menggunakan Islam sebagai tongkat dan untuk dilihat ukuran kepada pentadbiran.

Selepas itu mulalah bertiup angin baru bagi menyusun arus perubahan: ke arah pentadbiran kerajaan yang lebih bersih. Dasar Membangun Bersama Islam yang diperkenalkan sejak tahun 1990 ialah dasar yang disokong rakyat untuk mengubah kehidupan rakyat Kelantan daripada cara dan gaya lama yang sekular dan kebendaan kepada cara dan gaya Islam yang mengharapkan keredhaan Allah SWT. Inilah hasrat Kelantan untuk mendirikan negeri yang disebut sebagai ‘baldatun taiyibatun wa rabbun ghafur’.

Hasrat ini menuntut sikap yang sebersih-bersihnya dalam iman dan amal para pemimpin sama ada dalam parti yang berkuasa mahupun dalam Kerajaan. Tuntutan ini juga berlaku terhadap para pegawai tadbir dan seluruh rakyat di negeri ini.

Kesemuanya harus memahami dan mengikuti perubahan-perubahan bagi melaksanakan Islam yang syumul yang dilancarkan oleh Kerajaan Kelantan sekarang. Insya’ Allah perpaduan akan menjadi lebih erat dan lebih bererti dalam keredhaan Allah SWT.

Sejaun mana pekerja dan penjawat jawatan awam di semua peringkat memahami dasar kerajaan negeri? Dengan pemerintahan dan pentadbiran memasuki tahun ke-18 seharusnya satu ukuran boleh dibuat, untuk memastikan bukan pihak kerajaan yang terdiri daripada berapa kerat sahaja, yang berusaha untuk meniupkan roh Islam di dalam pentadbiran dan penghayatannya di tengah tengah masyarakat, malahan setiap individu yang berada dalam kerajaan. Seterusnya setiap ahli masyarakat.

Tidak dinafikan jawatan jawatan dalam kerajaan negeri juga diduduki oleh pelbagai pihak termasuk mereka yang berbeza fahaman politik dengan PAS. Ini keterbukaan PAS. Namun selaku mereka yang mempunyai kuasa mentadbir, walau sebanyak mana pun had dan keterbatasan untuk menjalankan dasar kerajaan negeri, ruang itu tetap ada. Maka banyak pendekatan yang boleh diambil termasuklah baru baru ini, Seminar Pengukuhan Integriti yang diadakan kepada ahli politik dan wakil rakyat pada 25 Dzulkaedah 1428 / 5 Disember 2007 bolehlah menjadi sebahagian dari usaha untuk menghayati konsep pentadbiran yang dibawa.

Namun, seminar sebegini perlu diturunkan ke bawah , kepada semua yang terlibat dengan pentadbran keraajan negeri.

Manakala pihak yang menjalankan penguatkuasaaan contohnya, perlu banyak menggunakan budi bicara daripada menunjukkan otot otot pejal mereka, dengan kuasa yang ada pada mereka. Peranan perlu dimainkan oleh ahli ahli Majlis MPKB dan semua majlis daerah untuk menjadi 'check and balance', telinga dan mata kepada masyarakat.

Pemimpin perlulah mendekati rakyat dan peka dengan masalah setempat. Yang rapat terus dirapatkan. Laksanakan tugas dengan berkesan dan kurangkan berpolitik sesama sendiri. Rakyat inginkan pembelaan kerana mereka terus dizalimi dan ditindas melalui pelbagai kaedah. Kenaikan harga barang nyata amat membebankan. Mereka mengharapkan ada pihak yang sanggup mendengar keluhan dan cuba membantu.

Manipulasi media tetap akan berlaku. Kepimpinan pastinya sudah masak dengan taktik mereka, namun perlu terus berhati hati.

Bersamalah tidak menghampakan harapan jentera dan pertugas parti, dengan meninggalkan permusuhan. Pilihannya tetap ada. Hanya ego dan ketamakan menjadi tabir yang melitupi kebaikan.

Selasa, 8 Januari 2008

Islam penentu politik Malaysia di masa hadapan

Kebangkitan Islam adalah faktor penting sebagai kuasa baru politik Malaysia di masa hadapan. Rumusan ini dinyatakan oleh Naib Presiden PAS, Dato’ Hj Husam Musa semasa menyampaikan syarahan kertas kerja beliau, ‘Mengerakkan Pertubuhan Islam ke arah Kemantapan Politik dan Kepimpinan Islam’.

Menurut beliau dengan segala muslihat dan kekangan yang dilakukan oleh pemerintah yang ada sekarang telah banyak menyebabkan kaum Bumiputra terutamanya Melayu telah kehilangan sedikit demi sedikit cengkaman kuasa politik mereka secara halus tanpa disedari.

Dalam keadaan sekarang, Melayu tidak lagi pasti untuk menjadi kuasa majoriti dalam politik Malaysia. Seperti apa yang berlaku di Pulau Pinang (sebagai contoh), di mana orang Melayu bukan sahaja terhakis kuasa politik mereka tetapi juga telah banyak kehilangan hak pemilikan tanah mereka tanpa dapat dipertahankan oleh pemerintah. Sehingga sekarang ini orang Melayu Pulau Pinang sudah mula terpinggir di negeri mereka sendiri.

Manakala dalam konteks Malaysia sendiri, untuk masa hadapan sudah banyak halangan dan kekangan yang diwujudkan oleh pemerintah dengan secara tidak sedar terhadap Melayu itu sendiri, dimana halangan ini akan menyebabkan kuasa mereka terhakis secara sendiri mengikut masa. Sebagai contoh, jangkakan 2.8 juta penagih dadah dari bangsa Melayu oleh agensi berkaitan akan wujud pada tahun 2020 jelas menunjukkan betapa Melayu akan berdepan dengan kemusnahan yang diwujudkan sendiri oleh mereka.

Ini kerana pengisian modal insan yang dilaung-laungkan tidak mempunyai pengisian jiwa tetapi hanya mempunyai pengisian fizikal sahaja yang hanya untuk kebahagiaan dunia semata-mata. Apa yang titikberatkan oleh kerajaan sekarang hanya kepada pembangunan fizikal serta kebahagian di dunia yang bersifat sementara sahaja.

Tetapi perkara ini akan menjadi amat berbeza apabila orang Islam atau mana-mana pertubuhan Islam memainkan peranan mereka dalam membentuk suatu kuasa majoriti yang akan menentukan corak pemerintahan di masa hadapan. Kesepakatan harus ada dalam mana-mana pertubuhan Islam di Malaysia untuk kejayaan ke arah ini. Ini kerana Islamlah yang harus memimpin dan bukanya dipimpin.

Di Malaysia, walaupun majoriti Melayu lemah di sesetengah negeri tetapi Islam tetap mengukuh dengan majoriti, samada kecil ataupun besar. Dan ini dapat dilihat statistik komposisi kaum berbanding agama di Pulau Pinang dan Sabah. Walaupun orang Melayu bukanlah kaum yang majoriti di negeri-negeri tersebut tetapi orang Islam adalah merupakan majoriti dalam skala yang besar.

“Kita mulakan dengan mengambil contoh Pulau Pinang. Bagaimana bilangan pengundi Melayu terbukti lebih kecil bilangannya berbanding jika kita melihat mengikut agama iaitu Islam. Angkanya adalah seperti berikut(Peratus penduduk Melayu di Pulau Pinang ialah 42.1%. Tetapi peratus penganut Islam di Pulau Pinang adalah 44.2%.)

Di Sabah penduduk etnik Melayu hanyalah 15.3% manakala Cina adalah 13.2%. Tetapi 63.7% dari keseluruhan penduduk Sabah adalah berugama Islam.

Berpandukan statistiks daftar pemilih, peluang bagi sebuah parti politik Islam yang bergerak secara serius dan sistematik di Sabah untuk memenangi 16 dari 25 kerusi parlimen adalah cerah.” Dato Hj Husam Musa – ‘MENGGERAKKAN PERTUBUHAN ISLAM KE ARAH KEMANTAPAN POLITIK DAN KEPIMPINAN ISLAM’

Tetapi yang tiada dalam diri umat Islam ini adalah kesepakatan untuk mencari keredhaan Allah dalam apa jua hal. Apa yang wujud hanya suatu perasaan bangga kepada bangsa sendiri yang melebihi kepentingan Islam itu sendiri. Jadi, sepatutnya menjadi salah satu perkara asas bagi gerakan atau pertubuhan Islam untuk membentuk suatu kesedaran kepada kepada seluruh umat Islam di Malaysia tanpa mengira kaum untuk bersatu padu antara satu sama lain untuk mewujudkan satu kuasa politik yang berasaskan Al-Quran dan Hadis. Kita juga boleh mencontohi sistem pemerintahan yang diamalkan oleh kerajaan Islam yang terbaik sebelum kita samada dari zaman Rasulullah atau yang wujud pada zaman moden ini.

Gabungan asas pemerintahan Islam yang terbaik dari pelbagai zaman sepatutnya menjadi asas pemikiran para cendiakawan Islam di Malaysia untuk mencari titik pertemuan sesama pertubuhan Islam yang mahu menjadikan Malaysia sebagai satu negara Islam contoh yang menitikberatkan kebajikan keseluruhan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

Antara model pemerintahan Islam yang boleh dijadikan panduan di antaranya ialah zaman Rasulullah dan empat sahabat itu sendiri, Zaman Umar Abdul Aziz dan corak yang diamalkan oleh Hizbullah yang diamalkan di Lubnan pada zaman ini.

Pergerakan Hizbulllah bukan saja mendapat sokongan umat Islam di negaranya malah mendapat sokongan dan dokongan dari mereka bukan yang beragama Islam. Sebagai tanda menghargai sokongan itu, Hizbullah turut meletakkan mereka yang bukan Islam sebagai pemimpin di kalangan mereka.

Keikhlasan gerak kerja mereka telah menjadi daya tarikan kepada parti berasaskan sekular malah berjaya menarik parti bukan Islam bergabung menyertai perjuangan mereka.

Jika kita ingin mengekalkan Malaysia dalam kepimpinan Islam kita haruslah bertindak dari sekarang. Asasnya ialah kerana kaedah Islam itu sendiri adalah syumul berbanding dengan kaedah kepentingan kaum yang diamalkan sekarang ini.

Manakala asas perjuangan penting dalam melaksanakan kaedah Islam ialah kebajikan. Kebajikan harus menjadi kekuatan dalam menarik dan membuktikan kepada semua rakyat bahawasanya Islam adalah semua orang tanpa mengira rakyatnya menganut agama selain daripada Islam. Selagi mereka boleh mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh Islam selagi itulah segala kebajikan dan hak mereka sebagai rakyat terjamin. Malah kerajaan akan melindungi mereka memerangi musuh mereka selagi mereka berada dipihak yang benar.

Selain itu, pemahaman terhadap ajaran Islam terhadap bukan Islam haruslah diperluaskan lagi seperti yang dilakukan oleh kerajaan Negeri Kelantan dimana dialog diantara pemimpin agama lain dilakukan dari masa ke semasa. Bukan bertujuan menyebarkan Islam tetapi lebih kepada memberikan pemahaman kepada pemimpin-pemimpin berkenaan, tentang apa yang diinginkan oleh Islam apabila menyentuh bab pemerintahan Islam dan hak-hak seseorang bukan Islam yang wajib dilindungi oleh pemerintah.

Jika pemahaman ini boleh dibuat terhadap pemimpin agama lain maka mudahlah kita untuk memberi pemahaman kepada rakyat bukan Islam tentang apa yang diperjuangkan Islam itu sendiri.

Tokoh-tokoh Islam dari bidang seperti keilmuan, perniagaan, kemasyarakatan dan sebagainya yang dari bangsa lain haruslah ditonjolkan lagi untuk untuk menarik minat bukan Islam untuk mengetahui lebih dalam tentang pemerintahan Islam. Supaya mereka lebih faham dan tahu bahawa pemimpin negara yang mengaku Islam sekarang ini hanyalah topeng semata-mata sedangkan sudah banyak penyelewangan dan salah guna kuasa yang dilakukan untuk mengekalkan kuasa mereka, dan sekaligus untuk memenuhi kepentingan peribadi serta kroni-kroni mereka tanpa mempedulikan nasib anak bangsa sendiri.

Di masa hadapan, pengucupan peratusan orang Melayu adalah tidak menjadi masalah jika pertambahan umat Islam dari pelbagai etnik dan kaum dapat mengatasi segala kekurangan dan gejala buruk yang melanda orang Melayu sekarang.

Rahmat Allah untuk sekelian alam amat memungkinkan orang bukan Islam untuk menerima Islam samaada sebagai agama atau sebagai satu tali yang boleh dipegang untuk memastikan hak-hak mereka sebagai warganegara terjamin.

Jadi Islam-lah penentu suasana politik Malaysia di masa hadapan. Dan jalan penyelesaian untuk penentuan ini ialah penyebaran dan pemahaman.

www.husammusa.com

Izinkan aku bermimpi …

Tidak, tidak … bukan mimpi itu,
Bukan Primadona, Bukan porsh,
Bukan Profesor, Bukan Tan Sri,
atau wang berjuta,
Bukan, bukan yang sebegitu,
Aku tidak sekecil itu,

Yang kuimpikan makhraja,
Pada igauan yang menghantuiku tiap malam,
Tentang anak-anak palestin, atau moro atau pattani,
Saudaraku disitu, nenyakkah mereka,
Atau saudaraku disebelah rumah,
Yang saban hari berfikir,
Tentang kondom apa yang bagus dipakai,
Dari getar suara anak di ICU,
Kepada getar tangan sang nelayan pinggir,
Menebar pukat pada saki baki lautan,
Apa ada harapan pada nusa ini?,
Atau terus menjadi mangsa bahaman
Ketidak pedulian, Ketamakan, Kejahilan, Kegelojohan,
Dan arus Zionisma, dan Weternisasi,
Sekuat arus sekularisasi, wahanisasi dan liberalisasi
Yang membaham benam umatku,

Bukan aku mahu bermimpi,
Tentang dunia yang seluruhnya hijau,
Dengan derai tawa anak-anak dari pagi ke malam,
Anak-anak yang berwarna putih, hitam, kuning dan coklat,
Tiada kesakitan, kemiskinan, kelaparan, dan tiada kebodohan,
Aku tidak perlu itu,
Itu syurga sudah menantiku.

Aku mahu bermimpi,
Dalam derik pekik lolongan umat,
Aku mampu menghulur tangan,
Bukan satu, namun seribu tangan-tangan menghulur,
Tangan-tangan anak muda, yang kukuh dan perkasa,

Aku hanya mahu bermimpi,
Seperti bangunan yang tersusun kukuh,
Seperti kuda-kuda kencang di padang qital,
Anak-anak muda itu berdiri,
gagah penuh hidayah,
Pedangnya selautan ilmu,
dari andalusia, baghdad atau ke Aztec, Maya dan Inca,
Perisainya, hanya sanya ketaqwaan,
Disaduri kesederhanaan, ditatah keikhlasan, disulami kezuhudan,
Derap langkahnya jihad,
Nafasnya Hikmah, Pandangannya Keadilan, Lisannya Kebenaran,

Aku hanya ingin bermimpi,
Walau aku sedar mimpi sang pemuda mungkin berlainan,
Mimpi mereka tentang kereta cantik,
Yang mereka katakan padaku ...
Abang, itu kuda segak untuk padang qital,
Mimpi mereka sang bidadari,
Yang mereka gambarkan padaku ...
Abang, itu Mujahidah di medan dakwah,
Mimpi mereka istana kayangan,
Yang mereka ceritakan padaku ...
Abang, itu kubu para mujahid dan sekolah para ilmuan,
Mimpi mereka beralun tangan memekik perjuangan
Bersama Sukarno, Mahathir, Anwar dan Khairy Jamaludin,

Abang bersuara seperti datuk yang nyanyuk ... kata mereka padaku,
Biarkan kami menarikan pedang menggetar musuh,
Biarkan kami setiap seorang menjadi panglima-panglima agung...
Dengan kubu-kubu yang kami bina sendiri dari Masyriq ke Maghrib,

Bagaimana bahasa lagi harus kusampaikan pada adikku ini,
Bermimpilah adikku, jangan berkhayalan,
Umat tidak berubah dengan Profesor kamu atau wang berjuta,
Hati ini tidak kan tertahan di Padang Qital,
Pada perut yang kenyang dan alunan suara gemersik sang bidadari memanggil sang abang,
dan BARAH itu tidakkan tawar hanya dengan kamu berseorangan mengetuk-ngetuk rostrum meretorikkan perjuangan,

Aku bermimpi adikku,
Tangan-tangan pemuda yang kukuh itu,
Sedang menanam dalam, cerucuk tiang seri keimanan umat,
Sambil menyusun batu-batu ketamadunan, satu demi satu,
melalui lisan kesedaran, pena kelimuan,
Menyulam atap rumbia ketaqwaan umat,
Menutupi kejahilan, kegelisahan, ketamakan dan kebobrokan,
Tersusun, penuh berseni dan tidak tampak mereka keletihan,
Yakinlah adikku,
Musuh itu tidak langsung gentar pada bilanganmu,
Atau keras gamat pekikmu,
Atau Angkasawan.com yang kamu miliki,
Yakinlah adikku, teratak yang kita ingin bina ini,
Bukan hanya untuk hari ini,
juga untuk mereka di masa-masa hadapan,

Aku belum termimpi tentang Mahdi, atau Isa anak Maryam a.s.
Bukan juga memimpi tentara, menggempur yakjuz dan makjuz,
Membenamkan sang dajjal dari kedurjanaan,
Tetapi izinkan aku, dan tidak tidak salah ku bermimpi,
Dari redup bayang, keringat islah dan dakwah ini,
yang membasah bening anak-anak muda ini,
Kalau tidak pun lahir dari tangan ini,
Namun biarlah ia bersusur galur dari tangan dan lisan ini,
Sekumpulan pemuda yang muncul entah dari mana,
Memegang bendera-bendera hitam,
Menjulangi ketinggian agama ... setinggi-tingginya,

Aku sekadar mahu bermimpi,
Ya Rabbul Jalla Jallalah,
Menggantikan igauan yang mengganggu,
Saban siang dan malam,
Setidak-tidaknya,
Bisa ku turap lubang-lubang kejahilan,
Bisa ku rawat sakit bisa kemiskinan kemelaratan,
Bisa ku mampu berkubu pada asakan korupsi dan kebinatangan ketamakan,

Sedang aku merindui,
bahawa kekasihMU Muhammad (SAW) hadir dalam mimpi ini,
sehingga aku tidak perlu bermimpi lagi,

Namun Izinkan aku bermimpi Ar Rahman,
Bahawa lahirlah pemuda-pemuda ini,
Menjulang API kebangkitan umat,
Menyambung RisalahMu ya Mustafa,
Selepas berlalu mereka sebelum kami,
Omar al Khattab, Al Syafiee, Al Ghazali, Salahudin Al Ayyubi, Abduh, Muhammad Ibn Wahab, Hassan al Banna, Shariati, Allama Iqbal, Buya Hamka, Syeikh Yassin ...
Dan mereka-mereka, di kalangan yang terpilih di jalanmu,

Ku redupkan mataku ya Rahim,
Agar mimpi itu bisa hadir,
Agar dapat ku tempa,

Amin ya Rabbal A’lamin

zama’shari
Abu Saif Al Mahshari
Bertam
Syawal 1428

Mengenali Husam bin Musa

YB Dato' Haji Husam Musa merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kijang yang telah diamanatkan oleh kepimpinan negeri untuk mempengerusikan Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Pembangunan Masyarakat. Penggal ini merupakan penggal pertama beliau bergelar ADUN dan sebelum ini menduduki kerusi Parlimen Kubang Kerian.

YB DATO’ HAJI HUSAM BIN MUSA
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam,Perancangan Ekonomi, Kewangan Dan Pembangunan Masyarakat

MISI
MENINGKAT HASIL NEGERI MELALUI KECEKAPAN PENGURUSAN DAN PENYUSUNAN SEMULA PENGURUSAN SUMBER-SUMBER DAN KHAZANAH NEGERI

MENGURANGKAN KEMISKINAN RAKYAT MELALUI PENINGKATAN PENDAPATAN DAN PROGRAM KEBAJIKAN YANG MENYELURUH DAN BERKESAN

MENINGKAT KECEKAPAN KERAJAAN NEGERI DALAM MEMBERI PERKHIDMATAN KEPADA RAKYAT

MENJANA PERTUMBUHAN EKONOMI NEGERI MENERUSI PROGRAM DAN RANCANGAN-RANCANGAN BARU

ROLE MODEL PENGURUSAN EKONOMI DAN KEWANGAN ISLAM


VISI
MENINGKATKAN HASIL NEGERI SECARA KETARA

PENDEKATAN BARU

MEMAJUKAN PUNCA BARU

MENINGKATKAN KECEKAPAN KUTIPAN

PENYELESAIAN ISU TERTUNGGAK

PENJIMATAN

MEMAJU PERTUMBUHAN KEGIATAN EKONOMI

MEMPERCEPAT KELULUSAN

Isnin, 7 Januari 2008

Halatuju Politik Kelantan-1

Negeri Kelantan berada di bawah kepimpinan ulama semenjak Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengambil tempat Menteri Besar pada trahun 1990.

Konsep yang diperkenalkan pada awal tahun 80an ini menyaksikan dimensi baru dalam perjuangan PAS. Walaupun krisis yang melanda UMNO berkali kali termasuklah pemecatan Dato Seri Anwar Ibrahim dikatakan menjadi faktor kemenangan PAS dan Barisan Alternatif khususnya di Kelantan, namun kekuatan yang dibina PAS melalui kepimpinan To Guru tidak harus diperkecilkan

Sebab itulah beliau menjadi serangan, setiap perkataan yang terpacu keluar dari mulut Tuan Guru cuba dijadikan modal oleh pihak pembangkang di Kelantan untuk mencalarkan imej beliau. Namun kelihatan hasilnya kurang. Sebagaimana idea kepimpinan ulama ini mencurahi dan memberkati bumi Kelantan, kepimpinan Tuan Guru juga silih berganti dirahmati dengan pelbagai sajian dari langit. Ia sesuatu yang membangkitkan semangat juang tatkala pelbagai onak dan duri, onar dan kegelisahan cuba dibangkitkan oleh musuh musuh.

Tuan Guru menganggap seorang anak muda bernama Husam bin Musa sebagai satu rahmat dan kurniaan Allah kepada kerajaan Kelantan. Ini satu fakta yang tidak dapat dinafikan. Anggapan beliau begitu tepat. Seorang yang berkeperibadian tinggi, anak To Guru dan terdidik sejak awal lagi dalam ruang lingkup tarbiyah dan acuan PAS sehinggalah beliau mewakaflkan diri beliau untuk perjuangan seawal bergelar graduan/ siswazah.

Tanpa menafikan setiap manusia ada kekurangan, setiap pencinta kebenaran khususnya warga Kelantan perlu meyakini bahawa perjuangan dan agenda yang dibawa oleh PAS, khususnya pendekatan yang digunakan oleh Tuan Guru begitu masak dengan seorang yang menjawat jawatan Setiausaha Politik beliau selama 7 tahun. Kecemerlangan yang ditunjukkannya semasa menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian amatlah memberangsangkan. Beliau digeruni kawan dan lawan. Beliau mendapat anugerah Newsmaker Of The Year pada tahun 2003 dari akhbar maya popular, malaysiakini.com

Setelah diberi kepercayaan untuk menjadi Exco kanan kepada Tuan Guru selepas PRU 11, beliau terus cemerlang dalam kerjaya politiknya. Berhadapan dengan pelbagai cabaran akibat kemerosotan populariti PAS dalam PRU 12, Kerajaan Kelantan berjaya menampilkan pelbagai program dan agenda yang berjaya mencuri hati rakyat serta menaikkan semula semangat petugas petugas parti. Tidak dinafikan beliau memainkan peranan yang amat penting dalam menjulang kembali PAS dan memberikan tamparan hebat kepada strategi UMNO/ BN yang berhasrat menawan PAS dalam PRU 12 ini.

Akibat dari prestasi yang membanggakan ini beliau mengundang musuh dan serangan dari pelbagai penjuru terus menerus dilancarkan. Seakan terdapat serangan dari dalam PAS sendiri yang tidak dapat menerima hakikat hasil kejayaan yang dilakarkan oleh beliau untuk menjulang PAS. Walaupun usaha itu berjaya dipatahkan dengan pelbagai hujah dan fakta, namun serangan demi serangan terus dilancarkan.

Mungkinkah halatuju politik Kelantan mencari arah baru untuk kali ke seterusnya? Rata rata penganalisa politik masih meletakkan kelebihan kepada PAS untuk terus bertapak di Kelantan, khususnya dengan kesanggupan Tuan Guru untuk terus bertanding pada PRU akan datang.

Adakah faktor lebih besar yang boleh membawa kepada kekalahan PAS di Kelantan selain daripada serangan dan pertarungan politik sesama sendiri? Diharapkan ianya tidak dijawab dengan keputusan pilihanraya umum ke 12 nanti.

Darikelateuntukkelate

Kelantan di hati,
Khidmat diberi,
Redha dicari.

Assalamualaikum
Selamat datang ke blog baru untuk ore ore kelate.

Caknomu, jeling kelihmu membawa khabar gembira!


_admin_