Kebangkitan Islam adalah faktor penting sebagai kuasa baru politik Malaysia di masa hadapan. Rumusan ini dinyatakan oleh Naib Presiden PAS, Dato’ Hj Husam Musa semasa menyampaikan syarahan kertas kerja beliau, ‘Mengerakkan Pertubuhan Islam ke arah Kemantapan Politik dan Kepimpinan Islam’.
Menurut beliau dengan segala muslihat dan kekangan yang dilakukan oleh pemerintah yang ada sekarang telah banyak menyebabkan kaum Bumiputra terutamanya Melayu telah kehilangan sedikit demi sedikit cengkaman kuasa politik mereka secara halus tanpa disedari.
Dalam keadaan sekarang, Melayu tidak lagi pasti untuk menjadi kuasa majoriti dalam politik Malaysia. Seperti apa yang berlaku di Pulau Pinang (sebagai contoh), di mana orang Melayu bukan sahaja terhakis kuasa politik mereka tetapi juga telah banyak kehilangan hak pemilikan tanah mereka tanpa dapat dipertahankan oleh pemerintah. Sehingga sekarang ini orang Melayu Pulau Pinang sudah mula terpinggir di negeri mereka sendiri.
Manakala dalam konteks Malaysia sendiri, untuk masa hadapan sudah banyak halangan dan kekangan yang diwujudkan oleh pemerintah dengan secara tidak sedar terhadap Melayu itu sendiri, dimana halangan ini akan menyebabkan kuasa mereka terhakis secara sendiri mengikut masa. Sebagai contoh, jangkakan 2.8 juta penagih dadah dari bangsa Melayu oleh agensi berkaitan akan wujud pada tahun 2020 jelas menunjukkan betapa Melayu akan berdepan dengan kemusnahan yang diwujudkan sendiri oleh mereka.
Ini kerana pengisian modal insan yang dilaung-laungkan tidak mempunyai pengisian jiwa tetapi hanya mempunyai pengisian fizikal sahaja yang hanya untuk kebahagiaan dunia semata-mata. Apa yang titikberatkan oleh kerajaan sekarang hanya kepada pembangunan fizikal serta kebahagian di dunia yang bersifat sementara sahaja.
Tetapi perkara ini akan menjadi amat berbeza apabila orang Islam atau mana-mana pertubuhan Islam memainkan peranan mereka dalam membentuk suatu kuasa majoriti yang akan menentukan corak pemerintahan di masa hadapan. Kesepakatan harus ada dalam mana-mana pertubuhan Islam di Malaysia untuk kejayaan ke arah ini. Ini kerana Islamlah yang harus memimpin dan bukanya dipimpin.
Di Malaysia, walaupun majoriti Melayu lemah di sesetengah negeri tetapi Islam tetap mengukuh dengan majoriti, samada kecil ataupun besar. Dan ini dapat dilihat statistik komposisi kaum berbanding agama di Pulau Pinang dan Sabah. Walaupun orang Melayu bukanlah kaum yang majoriti di negeri-negeri tersebut tetapi orang Islam adalah merupakan majoriti dalam skala yang besar.
“Kita mulakan dengan mengambil contoh Pulau Pinang. Bagaimana bilangan pengundi Melayu terbukti lebih kecil bilangannya berbanding jika kita melihat mengikut agama iaitu Islam. Angkanya adalah seperti berikut(Peratus penduduk Melayu di Pulau Pinang ialah 42.1%. Tetapi peratus penganut Islam di Pulau Pinang adalah 44.2%.)
Di Sabah penduduk etnik Melayu hanyalah 15.3% manakala Cina adalah 13.2%. Tetapi 63.7% dari keseluruhan penduduk Sabah adalah berugama Islam.
Berpandukan statistiks daftar pemilih, peluang bagi sebuah parti politik Islam yang bergerak secara serius dan sistematik di Sabah untuk memenangi 16 dari 25 kerusi parlimen adalah cerah.” Dato Hj Husam Musa – ‘MENGGERAKKAN PERTUBUHAN ISLAM KE ARAH KEMANTAPAN POLITIK DAN KEPIMPINAN ISLAM’
Tetapi yang tiada dalam diri umat Islam ini adalah kesepakatan untuk mencari keredhaan Allah dalam apa jua hal. Apa yang wujud hanya suatu perasaan bangga kepada bangsa sendiri yang melebihi kepentingan Islam itu sendiri. Jadi, sepatutnya menjadi salah satu perkara asas bagi gerakan atau pertubuhan Islam untuk membentuk suatu kesedaran kepada kepada seluruh umat Islam di Malaysia tanpa mengira kaum untuk bersatu padu antara satu sama lain untuk mewujudkan satu kuasa politik yang berasaskan Al-Quran dan Hadis. Kita juga boleh mencontohi sistem pemerintahan yang diamalkan oleh kerajaan Islam yang terbaik sebelum kita samada dari zaman Rasulullah atau yang wujud pada zaman moden ini.
Gabungan asas pemerintahan Islam yang terbaik dari pelbagai zaman sepatutnya menjadi asas pemikiran para cendiakawan Islam di Malaysia untuk mencari titik pertemuan sesama pertubuhan Islam yang mahu menjadikan Malaysia sebagai satu negara Islam contoh yang menitikberatkan kebajikan keseluruhan rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Antara model pemerintahan Islam yang boleh dijadikan panduan di antaranya ialah zaman Rasulullah dan empat sahabat itu sendiri, Zaman Umar Abdul Aziz dan corak yang diamalkan oleh Hizbullah yang diamalkan di Lubnan pada zaman ini.
Pergerakan Hizbulllah bukan saja mendapat sokongan umat Islam di negaranya malah mendapat sokongan dan dokongan dari mereka bukan yang beragama Islam. Sebagai tanda menghargai sokongan itu, Hizbullah turut meletakkan mereka yang bukan Islam sebagai pemimpin di kalangan mereka.
Keikhlasan gerak kerja mereka telah menjadi daya tarikan kepada parti berasaskan sekular malah berjaya menarik parti bukan Islam bergabung menyertai perjuangan mereka.
Jika kita ingin mengekalkan Malaysia dalam kepimpinan Islam kita haruslah bertindak dari sekarang. Asasnya ialah kerana kaedah Islam itu sendiri adalah syumul berbanding dengan kaedah kepentingan kaum yang diamalkan sekarang ini.
Manakala asas perjuangan penting dalam melaksanakan kaedah Islam ialah kebajikan. Kebajikan harus menjadi kekuatan dalam menarik dan membuktikan kepada semua rakyat bahawasanya Islam adalah semua orang tanpa mengira rakyatnya menganut agama selain daripada Islam. Selagi mereka boleh mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh Islam selagi itulah segala kebajikan dan hak mereka sebagai rakyat terjamin. Malah kerajaan akan melindungi mereka memerangi musuh mereka selagi mereka berada dipihak yang benar.
Selain itu, pemahaman terhadap ajaran Islam terhadap bukan Islam haruslah diperluaskan lagi seperti yang dilakukan oleh kerajaan Negeri Kelantan dimana dialog diantara pemimpin agama lain dilakukan dari masa ke semasa. Bukan bertujuan menyebarkan Islam tetapi lebih kepada memberikan pemahaman kepada pemimpin-pemimpin berkenaan, tentang apa yang diinginkan oleh Islam apabila menyentuh bab pemerintahan Islam dan hak-hak seseorang bukan Islam yang wajib dilindungi oleh pemerintah.
Jika pemahaman ini boleh dibuat terhadap pemimpin agama lain maka mudahlah kita untuk memberi pemahaman kepada rakyat bukan Islam tentang apa yang diperjuangkan Islam itu sendiri.
Tokoh-tokoh Islam dari bidang seperti keilmuan, perniagaan, kemasyarakatan dan sebagainya yang dari bangsa lain haruslah ditonjolkan lagi untuk untuk menarik minat bukan Islam untuk mengetahui lebih dalam tentang pemerintahan Islam. Supaya mereka lebih faham dan tahu bahawa pemimpin negara yang mengaku Islam sekarang ini hanyalah topeng semata-mata sedangkan sudah banyak penyelewangan dan salah guna kuasa yang dilakukan untuk mengekalkan kuasa mereka, dan sekaligus untuk memenuhi kepentingan peribadi serta kroni-kroni mereka tanpa mempedulikan nasib anak bangsa sendiri.
Di masa hadapan, pengucupan peratusan orang Melayu adalah tidak menjadi masalah jika pertambahan umat Islam dari pelbagai etnik dan kaum dapat mengatasi segala kekurangan dan gejala buruk yang melanda orang Melayu sekarang.
Rahmat Allah untuk sekelian alam amat memungkinkan orang bukan Islam untuk menerima Islam samaada sebagai agama atau sebagai satu tali yang boleh dipegang untuk memastikan hak-hak mereka sebagai warganegara terjamin.
Jadi Islam-lah penentu suasana politik Malaysia di masa hadapan. Dan jalan penyelesaian untuk penentuan ini ialah penyebaran dan pemahaman.
www.husammusa.com
Selasa, 8 Januari 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan