Isnin, 7 Januari 2008

Halatuju Politik Kelantan-1

Negeri Kelantan berada di bawah kepimpinan ulama semenjak Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mengambil tempat Menteri Besar pada trahun 1990.

Konsep yang diperkenalkan pada awal tahun 80an ini menyaksikan dimensi baru dalam perjuangan PAS. Walaupun krisis yang melanda UMNO berkali kali termasuklah pemecatan Dato Seri Anwar Ibrahim dikatakan menjadi faktor kemenangan PAS dan Barisan Alternatif khususnya di Kelantan, namun kekuatan yang dibina PAS melalui kepimpinan To Guru tidak harus diperkecilkan

Sebab itulah beliau menjadi serangan, setiap perkataan yang terpacu keluar dari mulut Tuan Guru cuba dijadikan modal oleh pihak pembangkang di Kelantan untuk mencalarkan imej beliau. Namun kelihatan hasilnya kurang. Sebagaimana idea kepimpinan ulama ini mencurahi dan memberkati bumi Kelantan, kepimpinan Tuan Guru juga silih berganti dirahmati dengan pelbagai sajian dari langit. Ia sesuatu yang membangkitkan semangat juang tatkala pelbagai onak dan duri, onar dan kegelisahan cuba dibangkitkan oleh musuh musuh.

Tuan Guru menganggap seorang anak muda bernama Husam bin Musa sebagai satu rahmat dan kurniaan Allah kepada kerajaan Kelantan. Ini satu fakta yang tidak dapat dinafikan. Anggapan beliau begitu tepat. Seorang yang berkeperibadian tinggi, anak To Guru dan terdidik sejak awal lagi dalam ruang lingkup tarbiyah dan acuan PAS sehinggalah beliau mewakaflkan diri beliau untuk perjuangan seawal bergelar graduan/ siswazah.

Tanpa menafikan setiap manusia ada kekurangan, setiap pencinta kebenaran khususnya warga Kelantan perlu meyakini bahawa perjuangan dan agenda yang dibawa oleh PAS, khususnya pendekatan yang digunakan oleh Tuan Guru begitu masak dengan seorang yang menjawat jawatan Setiausaha Politik beliau selama 7 tahun. Kecemerlangan yang ditunjukkannya semasa menjadi Ahli Parlimen Kubang Kerian amatlah memberangsangkan. Beliau digeruni kawan dan lawan. Beliau mendapat anugerah Newsmaker Of The Year pada tahun 2003 dari akhbar maya popular, malaysiakini.com

Setelah diberi kepercayaan untuk menjadi Exco kanan kepada Tuan Guru selepas PRU 11, beliau terus cemerlang dalam kerjaya politiknya. Berhadapan dengan pelbagai cabaran akibat kemerosotan populariti PAS dalam PRU 12, Kerajaan Kelantan berjaya menampilkan pelbagai program dan agenda yang berjaya mencuri hati rakyat serta menaikkan semula semangat petugas petugas parti. Tidak dinafikan beliau memainkan peranan yang amat penting dalam menjulang kembali PAS dan memberikan tamparan hebat kepada strategi UMNO/ BN yang berhasrat menawan PAS dalam PRU 12 ini.

Akibat dari prestasi yang membanggakan ini beliau mengundang musuh dan serangan dari pelbagai penjuru terus menerus dilancarkan. Seakan terdapat serangan dari dalam PAS sendiri yang tidak dapat menerima hakikat hasil kejayaan yang dilakarkan oleh beliau untuk menjulang PAS. Walaupun usaha itu berjaya dipatahkan dengan pelbagai hujah dan fakta, namun serangan demi serangan terus dilancarkan.

Mungkinkah halatuju politik Kelantan mencari arah baru untuk kali ke seterusnya? Rata rata penganalisa politik masih meletakkan kelebihan kepada PAS untuk terus bertapak di Kelantan, khususnya dengan kesanggupan Tuan Guru untuk terus bertanding pada PRU akan datang.

Adakah faktor lebih besar yang boleh membawa kepada kekalahan PAS di Kelantan selain daripada serangan dan pertarungan politik sesama sendiri? Diharapkan ianya tidak dijawab dengan keputusan pilihanraya umum ke 12 nanti.

Tiada ulasan: