Khamis, 13 Mac 2008

Punca Kekalahan BN

Sikap, sistem dan dasar yang diamalkan punca kekalahan BN - Agus

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Hrkh) - Sikap, sistem dan dasar yang diamalkan oleh Umno-BN selama ini telah menyebabkan wujudnya 'silent protest' yang terlalu ramai dan merbahaya.
Perkara tersebut disuarakan oleh Ketua Jabatan Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Mohammad Agus Yusof ketika dihubungi Harakah.

"Kemarahan rakyat telah menimbulkan 'tsunami' daripada golongan rakyat bawahan yang sangat merbahaya kerana ia sukar untuk dijangka oleh pemerhati dan penganalisis politik tanah air," katanya.

Ditanya mengenai sejarah politik tanah air, Agus mengatakan bahawa ia merupakan kali pertama berlakunya fenomena atau revolusi seumpama ini.

"Fenomena 1999 adalah satu perkara yang berbeza kerana pada ketika itu, orang telah dapat menjangkakan berlaku suatu gelombang kebangkitan rakyat selepas pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Tetapi kali ini agak berbeza kerana wujud ketidak puasan hati lantaran kelemahan dasar-dasar kerajaan yang gagal meyakinkan rakyat membuktikan kemampuan mereka mentadbir negara ini," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengulas keputusan pilihan raya ke-12 yang sangat mengejutkan semua pihak.

"Ia menunjukkan bahawa rakyat secara diam di semua peringkat telah menghukum kerajaan sebelum ini yang telah gagal berperanan sebagai sebuah kerajaan," katanya lagi.

Agus menyenaraikan faktor yang menyumbang kepada revolusi pengundi, dengan menjelaskan faktor peningkatan kos hidup selari dengan kenaikan harga barang keperluan menghimpit kehidupan mereka di samping pencabulan media yang ketara dan berat sebelah dalam memberikan laporan, terutamanya ketika suasana pilihan raya baru-baru ini.

Selain itu, beliau menegaskan sikap pemimpin kerajaan Umno-BN yang membodohkan keintelektualan rakyat dalam isu yang mudah juga menyebabkan kemarahan rakyat.

"Denial syndrom' atau sindrom menafikan kepada setiap suara dan luahan rasa rakyat telah menimbulkan kemarahan rakyat. suara rakyat bukan untuk diatasi tetapi untuk dijawab.

"Malangnya, mereka menjawab dengan alasan yang tidak masuk akal," jelasnya.

Tambahnya, jurang pemikiran antara pemimpin dan rakyat juga menjadi faktor rakyat berasa tidak senang dengan sikap kerajaan.

"Rakyat kini telah sedar dan faham erti dan praktikal demokrasi yang sepatutnya dilaksanakan di dalam sesebuah negara, sekali gus mereka mahu menunjukkan kepada kerajaan Umno-BN bahawa mereka lebih arif dan tidak boleh diperbodohkan," tegasnya.

Pada masa sama, ujar Agus kesilapan yang dilakukan oleh Umno-BN yang membuat persempadanan semula pada pilihan raya ke-11, telah mewujudkan kawasan campuran pelbagai kaum yang sukar dan tidak mampu untuk ditangani oleh Umno.

"Umno tidak mampu bertahan, malah keutuhan formula muafakat yang dibina di dalam pakatan BN juga kian rapuh," jelasnya lagi.

Mengulas mengenai pembentukan kabinet kerajaan pusat yang baru, beliau berpendapat bahawa kabinet yang ada perlu mengganti mana-mana ahli yang tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan.

"Pengalaman sahaja tidak cukup, yang penting tahu dan menjalankan amanah yang diberikan rakyat kepada mereka," ujarnya.

Exco Wanita

Pelantikan Wan Ubaidah sebagai Exco bukti PAS hargai kaum wanita


KUALA LUMPUR, 13 Mac (Hrkh) - Pelantikan exco wanita dalam kabinet Kerajaan PAS Kelantan adalah bukti pengiktirafan dan kepercayaan yang dijanjikan sebelum ini telah dilaksanakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kijang, Wan Ubaidah Omar yang dilantik memegang jawatan exco wanita pertama bagi kabinet baru Kerajaan Negeri Kelantan semalam melahirkan rasa terkejut dan terharu dengan kepercayaan yang diberikan kepadanya yang mewakili wakil rakyat wanita di negeri itu.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Tuan Guru Menteri Besar atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memegang amanah sebagai exco wanita dalam kabinet kerajaan negeri yang baru dibentuk," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau yang merupakan mantan ahli Dewan Negara berhasrat untuk melaksanakan amanah yang diberikan sebaiknya.

"Insha Allah saya akan cuba melaksanakan amanah yang diberikan ini dengan sebaik mungkin untuk membantu kepimpinan Tuan Guru Menteri Besar membangunkan negeri ini untuk menerajui perubahan dan mencapai keberkatan," katanya.

Tiga muka baru dilantik exco

Wan Ubaidah adalah antara tiga muka baru exco kerajaan negeri Kelantan yang mengangkat sumpah malam semalam, 11 Mac selain Adun Wakaf Bharu, Che Abdullah Mat Nawi dan Adun Temangan, Dr Fazli Dato' Hassan.

Wan Ubaidah Omar, 52, dan Che Abdullah Mat Nawi, 48, masing-masing berkelulusan Master dalam Pentadbiran Perniagaan di Universiti Amerika Syarikat, sementara Dr Fazli, 40, pula berkelulusan Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan memperolehi PHD dari Universiti Birmingham.

Ustaz Ahmad Yakob kekal TMB

Pada majlis yang sama, Tuan Guru Dato' Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan di Istana Negeri Kubang Kerian, sementara Adun Pasir Pekan Ustaz Ahmad Yakob kekal sebagai Timbalan Menteri Besar.

Turut mengangkat sumpah bagi jawatan exco Kelantan ialah ADUN Salor, Dato' Hj Husam Musa, ADUN Bunut Payong, Dato' Takiyuddin Hassan, ADUN Kemahang, Mej (B) Md Anizam Abd Rahman, ADUN Panchor, Nik Mohamad Amar Nik Abdullah, ADUN Kota Lama, Dato' Anuar Tan Abdullah, ADUN Bukit Panau Abdul Fatah Mahmood.

Portfolio bagi semua exco yang dilantik akan diumumkan oleh Menteri Besar dalam jangka masa terdekat

Perintis Kemenangan Rakyat

Almarhum Fadzil Noor perintis sebenar kemenangan rakyat 8 Mac
Oleh : Faisal Tehrani Thu Mar 13, 08
UNTUK penggerak dan peneraju gerakan Islam di Malaysia, siri kuliah 'Aqidah dan Perjuangan' oleh Ustaz Fadzil Noor yang kemudian dibukukan oleh Dewan Pemuda Pas Pusat adalah satu monumen; seakan-akan manifesto perjuangan yang mesti dibaca.
Lapan tahun Presiden PAS, dan Ketua Pembangkang yang berkaliber Dato' Fadzil Mohd Noor sudah pergi meninggalkan kita.

Lapan tahun itu sebenarnya masih terlalu muda kerana hanya minggu lalu kita mengecapi 'kejayaan' yang sebetulnya dirintis oleh almarhum. Tanpa menafikan Anwar Ibrahim sebagai pemangkin kejayaan Barisan Rakyat baru-baru ini, ustaz Fadzil Noor adalah insan yang pertama memungkinkannya.

Buat mereka yang masih muda dan tidak pernah mendengar nama beliau, ustaz Fadzil atau Ali bin Mohd Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah. Moyang arwah adalah Tuan Guru Hj Idris yang lebih dikenali sebagai Tuan Syeikh Idris Al-Jarumi yang merupakan seorang ulama’ terkenal di Kedah asal Patani.

Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi Setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978). Semasa memimpin ABIM, 'aspirasi rakyat yang baru kita kenal manisnya 8 Mac lalu' telah pun diharung dengan penuh kepahitan oleh Ustaz Fadzil Noor.

Sebelum Tian Chua, Mohamad Sabu, dan pimpinan Hindraf pandai berdemonstrasi ustaz Fadzil telah turut terlibat dalam demonstrasi membela rakyat miskin di Baling, Kedah pada tahun 1974. Ketika Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA di Kamunting dari tahun 1974 hingga 1976, Ustaz Fadzil Noor menjadi Pemangku Presiden ABIM.

Al-marhum telah menjadikan perjuangan membela rakyat sesuatu yang sebati. Dan itu bukan hanya kata-kata kerana Ustaz Fadzil Noor pernah ditahan dua kali oleh pihak polis. Kalau tidak silap saya hujung tahun 1970an, ketika beliau sedang berucap dalam suatu majlis ceramah di Kg Seberang Takir, Terengganu, tiba-tiba pihak polis mengumumkan bahawa ceramah tersebut adalah perhimpunan haram.

Turut hadir dalam ceramah itu adalah Ustaz Abdul Hadi Awang, Mustafa Ali dan Ustaz Fadhullah Shuaib. Tanpa menghiraukan amaran tersebut, Ustaz Fadzil Noor meneruskan ceramahnya. Beliau tidak lain tidak bukan adalah aspirasi dan inspirasi pimpinan Barisan Rakyat hari ini yang beria-ia memperjuangkan perhimpunan aman di bawah satu sistem demokrasi yang adil.

Oleh kerana kedegilan Ustaz itu polis telah menahannya berserta penceramah lain. Mereka bermalam di lokap. Dan penangkapan itu telah meledakkan kemarahan di Kuala Trengganu jauh lebih lama sebelum berlaku peristiwa Batu Buruk tahun lalu.

15,000 orang ahli dan penyokong PAS telah berkumpul di luar kawasan balai polis Kuala Terengganu bagi mendesak pemimpin mereka dibebaskan segera. Hasil perundingan dengan pihak polis Ustaz Fadzil Noor dan pemimpin yang ditahan dalam lokap tersebut dibebaskan tanpa sebarang tindakan.

Beliau juga ditahan oleh pihak polis dalam satu ceramah di Jerlun, Kedah. Seingat saya ia berlaku ketika peristiwa pertelingkahan antara pimpinan PAS dan UMNO mengenai Muassasah Darul Ulum. Ustaz Fadzil Noor telah ditahan semasa berceramah bersama-sama YDP PAS Kawasan Jerlun pada waktu itu, dan dikenakan ikat jamin. Kes tersebut dibawa ke mahkamah tetapi digugurkan setengah jalan berikutan kematian Hj. Shaari.

Mengapa saya katakan Ustaz Fadil sebagai perintis kemenangan rakyat 8 Mac lalu?
1. Barisan Rakyat Mendapat Semangat Beliau

Tatkala Tuan Guru Yusof Rawa uzur dan terpaksa melepaskan jawatan Yang Dipertua PAS, Ustaz Fadzil Noor telah memikul beban paling besar, mara ke hadapan untuk mengambil alih kepimpinan di tengh-tengah tragedi Memali. Dalam sejarah kebangkitan rakyat bagi konteks Malaysia (yang dikecapi manisnya generasi baru 8 Mac lalu), peristiwa Memali adalah suatu peristiwa hitam yang merupakan penindasan kuasa angkuh.

Sebagai antara pembantu Prof Zulkifli Muhammad sebelum itu ustaz sudah pun secara terbuka menerima idea PAS bersekutu dengan kaum-kaum bukan Melayu. Kita semua tahu Prof Zulkifli adalah pemimpin PAS pertama yang mencadangkan agar PAS menerima kaum Cina dan orang bukan Islam sebagai ahli bersekutu PAS.

Dengan idea dan wawasan ustaz Fadzil lah maka beliau menggerakkan pakatan CCC, di mana PAS mulai berjinak-jinak dengan kaum bukan Islam. Barisan Rakyat yang disifatkan oleh Haji Husam sebagai buta warna (kerana rakyat tidak mengira apa ia merah, hitam atau hijau) 8 Mac lalu beroleh manfaatnya dari kerja-kerja awal ustaz inilah.

2. Kebijaksanaan Politik Melampaui Zaman

Idea tahaluf siyasi adalah suatu kebijaksanaan politik yang dikemukakan oleh ustaz Fadzil Noor di mana beliau menunjukkan contoh dengan mewujudkan pakatan bersama Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh dalam Angkatan Perpaduan Ummah.

Kalau tidak kerana tahaluf siyasi ini, hampir sukar untuk PAS memerintah Kelantan pada tahun 1990 dan menguasainya sehingga 8 Mac lalu.

Kebijaksanaan politik beliau jugalah yang membolehkan gejala reformasi ekoran pemecatan Anwar Ibrahim dicetuskan. Jika pemimpin PAS tidak campur tangan serta terlibat 'membantu' Anwar Ibrahim, sukar untuk Anwar mendapat momentum reformasi yang terus ditunggangnya sehingga 2008.

Ini menunjukkan Ustaz Fadzil memilih essence Islam iaitu membantu dan menghulur tangan kepada 'golongan yang tertindas'. Tanpa mengendahkan suara-suara bantahan dalam PAS yang resah, bimbang, dan gerun dengan hubungan akrab Anwar dengan 'Amerika Syarikat', ustaz Fadzil melakukan tindakan nekad, iaitu melihat masa depan dari konteks tempatan.

Ustaz Fadzil adalah orang yang menubuhkan GERAK, dan dengan GERAK itulah beliau merintis penubuhan Barisan Alternatif yang merupakan satu tahaluf siyasi ke arah pembentukan Malaysia Baru. Waktu itu, Anwar sudah berada di dalam penjara.

Wan Azizah 'terkontang-kanting' untuk menjaga momentum reformasi yang makin merosot menjelang turunnya Mahathir. Jika tidak kerana ustaz Fadzil yang merintis kerjasama ini, Parti Keadilan sudah lama hanyut dan berkubur. Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor, GERAK dilancarkan pada 27 September 1998 di Markaz Tarbiah, Taman Melewar. Puluhan ribu rakyat dan ratusan wartawan dari dalam dan luar negara hadir ke majlis pelancaran tersebut.

Dalam Muktamar PAS ke-45 pada Mei 1999, Ustaz Fadzil Noor menegaskan:

"Kejayaan PAS menggabungkan parti politik dan NGO dalam satu gerakan yang disebut Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia atau GERAK, cukup untuk membuktikan keupayaan kepimpinan PAS menerajui kebangkitan rakyat di negara ini"

Kerjasama Parti Keadilan dan PAS, membawa hasil yang begitu besar kepada PAS dan perjuangan Islam pada pilihanraya 1999. Kebijaksanaan tersebut membolehkan PAS mengekalkan kuasa di Kelantan dan berjaya menubuhkan kerajaan di Terengganu.
Juga kebijaksanaan ustaz telah melunakkan imej Islam sehinggakan YB Tian Chua yang ketika itu merupakan Naib Pengerusi Keadilan, yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting pernah berkata pada tahun 2001 bahawa tidak akan adanya ISA dalam sebuah negara Islam – menyarankan bahawa negara Islam adalah serasi sepenuhnya dengan demokrasi, kemajmukan, hak asasi manusia, hak wanita, kepelbagaian budaya, pembangunan dan pemodenan.

3. Pemimpin Tidak Lupa Sejarah

Sebagai pemimpin yang bijak pendekatan tahaluf siyasi yang dikemukakan oleh Ustaz Fadzil Noor itu sebenarnya tidak terbit dari vakum. Ia adalah kerana kepimpinan terbuka dan sederhana Tuan Guru Yusof Rawa, pimpinan sebelumnya.

Tiada siapa dapat menafikan Tuan Guru Yusof Rawa adalah pemimpin yang bertanggungjawab membuka ruang bagi pemimpin pelapis PAS dengan gagasan 'pakatan politik untuk memenangkan dakwah dan politik Islam' ini. Idea persekutuan dengan kaum Cina sehingga tertubuhnya CCC adalah hasil sokongan Tuan Guru Yusof Rawa.

Mengambil kira itu, Ustaz Fadzil Noor seorang pimpinan yang merenung sejarah dengan tekun di mana beliau tahu juga PAS adalah berakarumbi daripada perjuangan Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol. Hizbul Muslimin adalah usaha Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.

Ustaz Fadzil tahu keberanian dan sikap terbuka Ustaz Abu Bakar Al-Baqir yang bertanggungjawab merintis pelbagai tahaluf siyasi menerusi PEPERMAS, MATA, LEPIR dan seumpamanya dijadikan model baru bagi perjuangan PAS yang telah diterajui oleh Ustaz Fadzil Noor.

Ustaz Fadzil juga sedar beliau harus meminjam keberanian Dr. Burhanuddin Al-Helmy yang berjaya menggabungkan lebih 80 buah parti dan persatuan Melayu dalam sebuah gerakan bernama PUTERA. Gerakan PUTERA ini berusaha menuntut kemerdekaan daripada penjajah.

Idea PUTERA inilah yang memberi ilham kepada Ustaz Fadzil Noor untuk mewujudkan gabungan lebih 80 buah parti politik dan NGO melalui GMI untuk mendesak kerajaan memansuhkan undang-undang warisan penjajah, iaitu ISA. Jika tidak kerana apa yang dirintis oleh PAS ini, Bersih, gerakan untuk memberi kuasa kepada rakyat bagi menentang ketidakadilan dan penyewengan demokrasi belum tentu menjadi kenyataan. Bersih kemudiannya menjadi Barisan Rakyat yang menghukum parti tertentu dalam pilihanraya baru-baru ini.

4. Menjadikan Poros Islam Political Force

Kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam Umno satu masa dahulu menjadi luka buat penyokong gerakan Islam. Peranan mengenengahkan Islam itu terpaksa diambil alih oleh Ustaz Fadzil Noor.
Menyedari itu, PAS dibawah ustaz Fadzil juga menyedari bahawa untuk menjadikan Islam relevan di dalam masyarakat majmuk, inti pati Islam lah yang perlu diketengahkan. Falsafah dan bumbu Islam yang universal dan sentiasa munasabah sepanjang zaman perlu dijunjung.

Ustaz Fadzil adalah insan yang bertanggungjawab meminggirkan suara-suara Islam legalitas yang berwajah wahabi dengan penuh bijak untuk menjuarai Islam aktual berteraskan waqi atau keadaan setempat. Beliau telah bertanggungjawab untuk bersetuju Manifesto Bersama Barisan Alternatif dalam pilihanraya tahun 1999.

Untuk itu PAS bersetuju menggugurkan idealisme penubuhan negara Islam dalam konteks pakatan Barisan Alternatif kerana: a. Tidak berbangkit soal negara Islam dalam Manifesto; b. Tidak boleh memaksa ideologi PAS ke atas rakan dalam pakatan; c. Dalam komposisi rakyat negara ini, tidak ada parti boleh memerintah secara bersendirian; dan e. PAS perlu berkerjasama dengan rakan pakatan BA atas perkara- perkara yang sudah dipersetujui.
PAS telah bersetuju untuk memberi tumpuan kepada isu-isu yang membabitkan soal keadilan, demokrasi, kebebasan, penyelewengan kuasa, rasuah dan sebagainya sebagai agenda utama untuk perjuangan pakatan Barisan Alternatif.

Tidak ada kebijaksanaan dan keberanian Datuk Fadzil Noor yang dapat ditandingi oleh pemimpin Barisan Rakyat hari ini. Beliau telah melihat dengan bijak bahawa retorik dan cogan kata tidak penting tetapi 'isi'lah yang menjadi keutamaan.

Dengan persefahaman untuk memperjuangkan keadilan, demokrasi, kebebasan, penyelewengan kuasa, rasuah dan sebagainya bersama DAP; parti kiri berteras kaum itu secara tiada sedar telah menerima essence Islam. DAP 'diasuh' memahami yang negara Islam secara praktiknya adalah negara berkebajikan yang berteras agama, yang agama itu pula membela hak asasi dan menyebelahi golongan tertindas.

Penutup

Perjuangan PAS dan Ustaz Fadzil Noor dalam menggerakkan pemurnian semula penyelewengan demokrasi termasuk pelbagai akta yang menyekat dan mencabul hak asasi rakyat di negara ini adalah tunggak kejayaan rakyat baru-baru ini.

Rakyat yang melakukan perubahan 8 Mac lalu mesti kenal bapa kebangkitan ini: Ustaz Fadzil Noor. Pemimpin yang ada sekarang, baik sebesar manapun beliau hanyalah penerus sahaja. Tanpa usaha al-marhum ustaz, hampir tidak terfikir Barisan Rakyat berada di kedudukan ini.

Untuk jasa dan sumbangan ustaz Fadzil Noor kerana menggerakkan barisan rakyat, yang hasilnya dituai oleh sebahagian besar rakyat pada 8 Mac lalu, moleklah jika pembaca beragama Islam menghadiahkan al-fatihah untuk al-marhum.

Isnin, 10 Mac 2008

Keputusan PilihanRaya Umum ke 12

Image Hosted by ImageShack.us


Image Hosted by ImageShack.us


Image Hosted by ImageShack.us

Tsunami di ambang fajar baru

Analisis - Politik Malaysia malam ini bergegar kuat susulan kemenangan besar-besaran parti pembangkang di banyak kerusi, termasuk merampas Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Perak.
Sewaktu mengumumkan ketewasannya, pemangku presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon berkata BN tewas sekurang-kurangnya 30 kerusi di Pulau Pinang daripada 40 kerusi.
Kerusi-kerusi yang dimenangi BN pada 2004 dengan majoriti lebih 15,000 undi jatuh dengan mudah ke tangan pembangkang di Selangor dan Wilayah Persekutuan -- malah dengan majoriti yang besar.
Kerusi-kerusi yang selama ini sukar ditembusi pembangkang Melayu di Lembah Klang hari ini tumbang di tangan calon-calon wanita pembangkang - Titiwangsa dan Lembah Pantai (Kuala Lumpur) dan Kota Raja (Selangor). Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali dan Dr Siti Mariah Mahmud, dua tokoh wanita PAS yang dianggap progresif, menang di Titiwangsa dan Kota Raja.
Sementara Nurul Izzah, anak mantan timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengalahkan orang kuat wanita Umno di Lembah Pantai -- suatu keputusan yang hampir-hampir mustahil di atas kertas.
Malah PAS yang tidak pernah dikaitkan dengan Johor, kali ini menang di dua kerusi negeri, Maharani dan Sungai Abong. DAP pula menguasai kerusi-kerusi Bentayan, Mengkibol, Senai dan Skudai.
Selain mengekalkan Kelantan dengan majoriti lebih besar -- 40 daripada 45 kerusi -- dan merampas empat lagi negeri, parti-parti pembangkang menjatuhkan tiga tokoh besar parti komponen BN. Pemimpin teratas MIC, Gerakan dan PPP - masing-masing tumbang di Sungai Siput (Datuk Seri S Samy Vellu), Batu Kawan (Koh Tsu Koon) dan Taiping (Datuk M Kayveas).
Malah semua barisan utama MIC, yang menjadi sasaran kemarahan komuniti India seperti tergambar melalui gerakan Hindraf, berguguran satu demi satu di semua kerusi, dari Perak ke Negeri Sembilan.
Presiden, timbalan presiden dan dua naib presidennya kalah; begitu nasib ketua pemuda dan ketua wanitanya.Perhimpunan para pemimpin utama negara, yang selalunya diadakan di bangunan PWTC tidak dihadiri sebarang pemimpin utama BN walaupun lebih kurang 80 wartawan, termasuk televisyen, menunggu sejak dua jam terawal.
Selalunya Perdana Menteri, sebagai pengerusi BN, akan mengumumkan kemenangan parti ini secara langsung di TV apabila jumlah kerusi parlimen calon-calonnya mencecah majoriti mudah. Dijangkakan pada awalnya, seperti lazim, majoriti mudah diperolehi pada 11 malam.
Bagaimanapun hanya pada 2:50 pagi, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bersama timbalannya Datuk Seri Najib Razak dan naib presiden Umno Datuk Seri Rustam Ali muncul di depan media. Kumpulan wartawan yang menunggunya lebih enam jam lebih ramai daripada penyokong BN di bangunan tersebut -- sesuatu yang tidak pernah kelihatan sebelum ini dalam sejarah 50 tahun kemerdekaan.
Koh, bekas ketua menteri Pulau Pinang, dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melahirkan rasa terkejutnya dengan kemenangan luar biasa dan di luar jangkaan. Nik Aziz, di sidang medianya di pejabat perhubungan PAS negeri, menggesa semua pemimpin pembangkang agar "tidak membalas dendam" dan "menjaga baik-baik kemenangan" ini.
Dalam suasana penuh kejutan, muram dan keletihan itu, tiba-tiba muncul persoalan wajarkah Abdullah melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri. "Saya tidak tahu siapa yang tekan saya," kata Abdullah apabila ditanya sama ada beliau ditekan agar meletakkan jawatan susulan ketewasan banyak kerusi BN.
"Saya tidak akan meletakkan jawatan." "Tsunami politik", ungkapan penasihat DAP Lim Kit Siang, akhirnya berjaya menafikan dua pertiga BN dengan angka menarik, setakat ini, 31 kerusi parlimen kepada PKR, 28 DAP dan 25 PAS.
Semua parti ini tentunya bergembira tetapi kegembiraan luar biasa dikecapi PKR apabila melonjak daripada satu kerusi yang nyawa-nyawa ikan di Permatang Pauh.Tidak pernah wujud lanskap politik seumpama ini di Malaysia -- tidak pada era reformasi 1999, tidak sewaktu perpecahan Umno menjelang 1990 dan tidak juga keresahan 1969.
Hari ini seseorang yang membuka mata, dan dengan penuh sedar cuba memahami, dia sebenarnya telah melangkah ke sebuah dunia baru yang tidak pernah dikenalinya -- sama ada menawarkan harapan indah atau cabaran membingungkan.

Harapan Subur Kembali

Harapan baru untuk rakyat Malaysia, ayuh berganding bahu - Anwar

KOTA BHARU, 10 Mac (Hrkh) - Pada 8 Mac melalui kertas undi, rakyat telah mendengar suara hati mereka dengan sepenuh tekad bahawa masa untuk perubahan sudah tiba, kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Rakyat Malaysia telah bersuara. Ini adalah detik bersejarah, yang luar biasa dalam sejarah negara kita.

"Hari ini lebaran baru telah dibuka. Rakyat telah mengundi dengan berani dan terbuka untuk melangkah ke satu era di mana kerajaan yang dibentuk mestilah bersifat terbuka dan mengiktiraf semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa, dan budaya adalah satu rakyat yang bersatu.

"Rakyat telah meluahkan tanpa sebarang ragu bahawa mereka tegas mahukan akauntabiliti, ketelusan dan kedaulatan undang-undang.

"Hari ini, perpaduan dan persefahaman bersama antara rakyat telah menang.
Justeru kata Anwar, bermula dengan kemenangan itu, bermakna akan memulakan gerak kerja untuk membina masa depan yang lebih cerah untuk rakyat Malaysia, dengan saling berpimpin tangan dan berganding bahu ke bahu.

"Inilah harapan baru untuk Malaysia!," tegas Anwar.

'Ibrah Buat Pak Lah

Rakyat sudah bersuara, Abdullah wajar berundur

Keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU-12) sudah ketahui umum. Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa dengan kehilangan majoriti dua pertiga. Ini adalah merupakan kali pertama dalam sejarah, BN gagal mendapat majoriti dua pertiga.

Lebih parah lagi keputusan PRU-12 menyaksikan BN kehilangan empat negeri iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah disamping terus gagal menawan Kelantan sejak 1990.

Rakyat Malaysia yang keluar mengundi pada 8 Mac lalu telah memberikan satu tamparan hebat kepada BN yang mempunyai 14 parti komponen itu sejak ia memerintah 50 tahun lepas.

Keputusan PRU-12 juga boleh diibaratkan satu gelombang umpama tsunami yang menimpa BN dan cukup untuk membuatkan pemimpin BN resah gelisah menghadapi kebangkitan rakyat.
Kebangkitan rakyat ini juga menyaksikan beberapa pemimpin kanan parti komponen BN serta beberapa orang Menteri dan Timbalan Menteri tersungkur.

Berbeza dari pilihanraya sebelumnya, kali ini pemimpin BN tidak lagi mendabik dada dan angkuh. Malah kebanyakkan dari pemimpin BN enggan bertemu dan menjawab soalan wartawan. Abdullah sendiri hanya membuat kenyataan media selama lima minit dan enggan melayan pertanyaan wartawan yang telah lama menunggu beliau di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Suasana di PWTC pada malam pengiraan undi itu agak muram. Abdullah yang tiba beberapa jam kemudian juga kelihatan tidak ceria berbeza ketika beliau menunggu keputusan pada tahun 2004.

Stesen-stesen televisyen juga terpaksa membuat rancangan analisa pilihan raya bersama beberapa tokoh yang turut terkejut dengan kekalahan teruk BN.

Analaisa-analisa dibuat mengenai kekalahan BN dan stesen TV pula seolah cuba membuat lawak dengan cuba untuk melambat-lambatkan keputusan di negeri-negeri yang BN tewas.

Malang bagi stesen-stesen TV tersebut kerana rakyat lebih awal mengetahui keputusan pilihanraya dengan menggunakan akses internet dan sistem pesanan ringkas (SMS).

Usaha untuk menipu rakyat dan melambatkan keputusan tidak berjaya hinggakan ada para penganalisa politik yang dijemput menyindir tindakan bodoh stesen TV tersebut.

BN hanya memperolehi 137 kerusi parlimen berbanding 222 kerusi yang dipertandingkan. Kabinet baru sukar untuk dibentuk biarpun BN masih menjadi kerajaan kerana ramai pemimpin utama BN tewas.

Khairy punca kekalahan?

Akibat dari kekalahan teruk BN dalam PRU-12 ini, ramai pemimpin BN mula menunding jari ke arah menantu kesanyangan Abdullah iaitu Khairy Jamaluddin yang menang kerusi parlimen Rembau selepas tiga kali kiraan.

Pemimpin BN tidak hanya menyalahkan kegagalan Abdullah tetapi turut melepaskan marah mereka kepada Khairy yang selama ini bergitu berkauas hingga menjadi bongkak dan angkuh.
Keputusan PRU-12 membuktikan bahawa rakyat menolak kepimpinan ala samseng yang dibawa oleh Khairy. Keputusan PRU-12 juga membuktikan rakyat menolak pemimpin yang kerap tertidur seperti Abdullah.

Ahli-ahli Umno secara jelas menyatakan kekalahan teruk BN ini adalah disebabkan oleh campur tangan Khairy yang melampau dalam pentadbiran bapa mertuanya.
Abdullah pula selama empat tahun lalu membuat kesilapan kerana tidak mengambil kira nasihat yang diberikan oleh Majlis Tertinggi Umno sebaliknya lebih mengutamakan nasihat dari anak beliau Kamaluddin dan dari suaminya Nori, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Tiada Bin seperti tercatat dalam kad pengenalan beliau).

Selain Kamaluddin dan Khairy, Abdullah turut membiarkan individu seperti Kalimullah mencampuri urusan pentandiran negara dan Umno. Ini menyebabkan ahli Umno dan rakyat Malaysia marah lalu menunjukkan protes mereka dalam PRU-12.

Masalah yang paling besar didakwa orang-orang Umno ialah campur tangan Khairy meletakkan orang-orangnya dalam senarai calon BN sehingga mengetepikan ramai incumbent.

Akibat daripada campur tangan ini, orang-orang Umno memboikot calon BN, jentera pilihan raya tidak digerakkan dan mereka enggan keluar mengundi calon pilihan Khairy.

Bukan hanya ahli Umno yang menolak calon pilihan Khairy malah rakyat Malaysia juga turut menolak calon pilihan menantu Abdullah itu. Mereka tidak mahu kerajaan Malaysia dikuasai oleh budak hingusan yang berlagak seperti samseng yang angkuh.

Lihat saja di Kelantan, keanggkuhan Khairy dengan kempen ‘Pade Doh 18 Tahun PAS’ dan ‘2008 Tahun Merawat Kelantan’ serta tindakan Khiary bersama pemimpin Umno lain yang mengecam kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz dibalas dengan kekalahan teruk.

Rakyat Kelantan membalas kempen Khairy dan Umno dengan kempen mereka sendiri ‘Pade Doh 50 Tahun BN’ serta ‘2008 tahun merawat pemimpin BN’. Akibatnya BN hanya memperolehi enam kerusi sahaja berbading 22 ketika PRU11 2004 yang lalu.
Rakyat sudah lakukan protes

Selama ini jika ada rakyat yang membuat demonstrasi jalanan, Abdullah dan pemimpin BN akan segera memberi nasihat agar tidak melakukan protes dijalanan tetapi menggunakan cara yang betul untuk meluahkan marah mereka.

Keputusan PRU-12 ini boleh dianggap rakyat menurut nasihat Abdullah dan pemimpin BN agar menggunakan saluran yang betul untuk menunjukkan rasa tidak puas hati mereka.
Rakyat sudah bersuara mengikut kehendak Abdullah dan pemimpin BN. Rakyat tidak lagi turun ke jalanraya hingga menyebabkan kerajaan terpaksa mengarahkan ribuan anggota polis mengawal mereka.

Rakyat sudah menyatakan protes mereka melalui pilihan raya. Kini Abdullah, Khairy, Najib dan pemimpin BN perlu mendengar suara rakyat kerana mereka yang mahukan rakyat bersuara melalui pilihan raya.

PRU-12 sudah selesai. Rakyat Malaysia sudah menjalankan kewajipan mereka dan rakyat juga sudah bersuara dengan jelas. Sewajarnya Abdullah Ahmad Badawi menerima keputusan PRU 12 dengan cara meletak jawatan./wann.

'TSUNAMI' lagi

Kemenangan besar pembangkang, 'tsunami' melanda Umno/BN - Nik Aziz

KOTA BHARU, 9 Mac (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan kemenangan besar pembangkang di lima buah negeri di Semenanjung Malaysia sebagai 'Tsunami' yang melanda Umno/BN.

Beliau yang mengadakan sidang medianya di Pejabat Perhubungan PAS Kelantan malam tadi berkata, kemenangan ini satu kemenangan rakyat, namun beliau meminta rakyat agar bertenang dan bersyukur.

Katanya lagi, gelombang sokongan yang ditunjukkan rakyat begitu mengkagumkan hingga kemenangan ini sebagai satu yang amat mengejutkan.

"Memang mengejutkan.PAS akan memeruskan perjuangan dasar-dasar Islam," ujarnya.
"Ini satu kemenangan khususnya selepas kita bermunajat, menangis, titisan airmata itu dan ianya menjadi bom jangka yang Allah turunkan kepada Umno/BN kerana faktir-faktor taghut.
"Semoga Allah memberi rahmat atas anugerah ini," katanya.

Sidang media Tuan Guru Nik Aziz dibanjiri hampir hampir 80 wartawan dari dalam dan luar negara yang membuat liputan khas berhubung pilihan raya umum terutamanya di Kelantan.
Sejak dari selepas Isyak, perkarangan pejabat Perhubungan PAS Kelantan dikerumuni kira-kira 10,000 penyokong PAS selepas mengetahui keputusan (ketika itu) tidak rasmi bahawa PAS berjaya membentuk kerajaan di Kelantan.

Gembira dengan kemenangan itu laungan takbir bergema, terutama selepas pengesahan daripada Tuan Guru Nik Aziz mengenai kemenangan itu.

Ia lebih manis selepas penyokong PAS turut dikhabarkan dengan kemenangan PAS di Kedah, membentuk kerajaan dengan KeADILan dan DAP di Perak serta Selangor.

Khairy Punca Kekalahan

Khairy bertanggungjawab kekalahan BN - Dr M

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Hrkh) - Menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin mempunyai peranan yang besar sehingga menyebabkan kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya semalam.

Ketika ditanya apakah penyebab kekalahan BN, Malaysiakini memetik Dr Mahathir berkata:
"Saya fikir menantunya (Khairy Jamaluddin) ada peranan besar.

"Anak muda ini yang tidak pernah mencapai apa-apa sebelumnya tetapi jelas Perdana Menteri lebih bersedia mendengar daripadanya berbanding polis, anggota Cawangan Khas dan angkatan tentera, yang lebih dekat dengan masyarakat akar umbi.

"Mereka terlalu percaya pada laporan akhbar mereka sendiri sehingga mereka tidak dapat mendengar (sumber-sumber) yang lain. Mereka membuang apa sahaja yang mereka tidak gemar".

Mengenai kejayaan pembangkang, Dr Mahathir berpendapat, akan wujud ketidakstabilan untuk seketika apabila pembangkang menembusi banyak lagi negeri.
"Akan wujud ketidakstabilan untuk seketika. Jika pembangkang pandai, mereka boleh memperbaiki keadaan itu," katanya.

Mengenai kemampuan para pemimpin BN sekarang, Dr Mahathir tidak fikir mereka boleh mengurus ekonomi.

"Tidak, saya tidak fikir mereka boleh mengurusnya. Walaupun mereka mempunyai ramai orang dan banyak wang, mereka tidak dapat berbuat apa-apa".

Beliau bersetuju pemimpin veteran seperti Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah boleh membantu Umno.

Ketika ditanya adakah mereka perlu melawan dan memaksa Abdullah meletakkan jawatan, Dr Mahathir berkata: "Saya tidak bercakap soal pemberontakan tetapi (kita) mesti beri tekanan.
"Dan jika tekanan itu diabaikan oleh Pak Lah, maka ia akan menjadikan perkara ini suatu ketegangan".

Tindakan Sewajarnya Buat Pak Lah

Koh Tsu Koon ajar PM supaya berundur

KOTA BHARU, 9 Mac (Hrkh) - Seolah-olah mengajar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi apa yang sepatutnya dilakukan, Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, beliau sedia meletak jawatan sebagai pemimpin parti Gerakan berikutan kekalahan besar parti itu dalam pilihan raya umum ini.

Ketika tekanan semakin meningkat supaya beliau berundur, Abdullah enggan meletakkan jawatan meskipun Barisan Nasional (BN) mengalami penolakan terburuk rakyat.

Tidak seperti Abdullah, Dr Koh malah meminta supaya disegerakan pemilihan parti untuk membolehkan ahli-ahli Gerakan membuat keputusan mengenai kepimpinan.

"Saya memikul tanggungjawab sepenuhnya (kerana kekalahan itu). Ini juga bermakna pilihan saya sendiri ialah menawarkan diri untuk meletak jawatan.

"Bagaimanapun, saya memegang jawatan sebagai pemangku presiden parti, dan agak janggal jika saya mengundurkan diri. Siapa yang akan menjadi pemangku presiden (parti) dan memimpin parti. Maka, kita perlu mengadakan pemilihan parti," Bernama memetik beliau.
Agensi berita nasional itu juga melaporkan Abdullah berkata, tidak timbul soal beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kerana beliau masih mendapat sokongan padu terutama daripada pemimpin Umno.

Malah, kata Abdullah, beliau akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara esok untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di kediaman rasmi Perdana Menteri, Sri Perdana di sini, sebagai mengulas desas-desus kononnya beliau ditekan untuk meletakkan jawatan.

"Saya tidak akan meletakkan sebarang jawatan kerana tidak berasa tertekan," katanya sehari selepas memimpin Barisan Nasional (BN) mendapat mandat baru pada pilihan raya umum semalam.

Beliau juga berkata para pemimpin Umno menyatakan sokongan terhadap beliau selaku Perdana Menteri.

Ahad, 9 Mac 2008

5 Negeri Untuk BA

Terima kasih Malaysia, BA menang lima negeri!

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Hrkh) - "Terima kasih kepada seluruh rakyat Malysia.Saya begitu terharu dan tersentuh dengan pilihan yang dibuat mereka dan penghargaan wajar diberikan kepada rakyat Malaysia dan rakan-rakan yang mahukan perubahan dan era baru dalam negara."

Demikianlah kata mukadimah penuh semangat Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang mengadakan sidang media khas keputusan kejayaan Barisan Alternatif (BA) jam 1.10 pagi tadi di kediamannya tadi.

"BA telah berjaya menubuhkan kerajaan di lima buah negeri iaitu Kelantan,Kedah, Pulau Pinang,Perak dan Selangor," kata Anwar di hadapan lebih 50 wartawan dan jurugambar luar dan dalam negeri.

"Kita telah berjaya menafikan dua pertiga majoriti di Parlimen," katanya.
Kata Anwar setakat keputusan diperolehi, KeADILan telah memenangi lebih 30 kerusi Parlimen, PAS sejumlah 27 manakala DAP juga mendapat 27 kerusi namun keputusan muktamad dan rasmi masih ditunggu oleh pihaknya.

Turut hadir sama dalam sidang media itu ialah Timbalan Presiden KeADILan Dr Syed Husin Ali dan Ketua Penerangan KeADILan Tian Chua yang telah memenangi kerusi Parlimen Batu, Wilayah Persekutuan.

Anwar menjelaskan kejayaan itu adalah kerana rakyat telah memberikan mesej yang jelas mahukan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, telus dan mewakili suara pandangan semua kaum.

Katanya keputusan pada malam ini merupakan satu sejarah yang belum pernah berlaku dalam landskap politik negara dan berjanji BA akan melaksanakan mandat yang diberikan rakyat dengan sebaiknya.

"Esok insya-Allah, kita akan membina Malaysia baru secara bersama-sama dan masa depan Malaysia mula tercipta," katanya.

Ketika ditanya bagaimana perasaan beliau menghadapi kejayaan BA besar dan mengejutkan itu, Anwar berkata beliau benar-benar tersentuh dengan pilihan rakyat Malaysia itu.
"Saya bersyukur kepada Allah SWT. Dan merasa begitu bahagia kerana dikongsi bersama dengan semua kaum yang dianggap sebagai satu keluarga.

"Sesungguhnya, politik negara sudah tidak akan sama lagi sampai bila-bila,"kata Anwar.
Sementara itu, beliau meminta semua pihak khususnya para penyokong BA supaya bersikap bertenang dan tidak melakukan sebarang sambutan atas kejayaan BA dan ini turut dipersetujui oleh PAS dan DAP.

"Tiada sambutan dilakukan. Kerja akan diteruskan esok seperti biasa untuk membina Malaysia baru," katanya.

Kelantan Oh Kelantan

Gelombang 1990 melanda Kelantan sekali lagi

KOTA BHARU, 9 Mac (Hrkh) – Hampir pasti sejarah pilihan raya 1990 membadai semula di Kelantan apabila Umno dan Barisan Nasional (BN) hanya mengekalkan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dan dua kerusi parlimen.

Enam kerusi terbabit iaitu Kok Lanas (Dato’ Alwi Che Ahmad), Paloh (Dato’ Norzula Mat Diah), Pengkalan Kubur (Dato’ Noor Zahidi Omar). Bukit Bunga (Adhan Kechik), Nenggiri (Mat Yusof Abdul Ghani) dan Kuala Balah (Abdul Aziz Derashid).

Manakala bagi kerusi parlimen BN dianggap banyak pihak, tinggal seperti batu nisan iaitu di Gua Musang penyandangnya Tengku Razaleigh Hamzah dan Jeli (Dato’ Mustapa Mohamed).

PAS mencatat sejarah apabila tiga calon muslimat yang bertanding kesemuanya menang termasuk menang tanpa bertanding di kerusi Dun Kijang pada hari penamaan calon.

Kerusi-kerusi Parlimen yang dimenangi PAS dan KeADIlan iaitu di Pengkalan Chepa, Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman, Dato’ Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (Kota Bharu), Dato’ Kamaruddin Jaafar (Tumpat), Dato’ Ibrahim Ali (Pasir Mas).

Hajah Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang), Salahuddin Ayub (Kubang Kerian), Ustaz Nasharudin Mat Isa (Bachok), Abdul Aziz Kadir (Ketereh), Amran Abdul Ghani (Tanah Merah), Ustaz Mohamad Hussin (Pasir Puteh).

Saifuddin Nasution Ismail (Machang) dan Dr Mohd Hatta Ramli (Kuala Krai).
Kerusi-kerusi Dun yang dimiliki BN pada pilihan raya umum lalu di mana 18 daripadanya berjaya ditawan semula Barisan Alternatif (BA).

Kerusi-kerusi tersebut iaitu Wakaf Bharu (Che Abdullah Mat Nawi), Tendong (Dr Mohd Daud Mohamad), Pengkalan Pasir (Haji Hanifa Ahmad), Gual Periuk (Ustaz Mohamad Awang), Bukit Tuku (Haji Abdul Fatah Haron), Jelawat (Haji Abdul Aziz Kadir), Melor (Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh), Gual Ipoh (Wan Yusof Wan Mustapha).

Selising (Drs Saiful Baharin Mohamad), Semerak (Wan Hassan Wan Ibrahim), Air Lanas (Ustaz Abdullah Abdul Razak), Guchil (Tuan Zamri Ariss Tuan Zakaria, Manek Urai (Haji Ismail Yaacob), Mengkebang (Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman), Dabong (Arifabillah Ibrahim) dan Galas (Chek Hashim Sulaima).

Manakala kerusi yang dimenangi sebelum ini terus dipertahankan iaitu Kelaboran penyandangnya Mohd Zaki Ibrahim, Dato’ Ahmad Yakob (Pasir Pekan), Wan Ubaidah Omar (Kijang – menang tanpa bertanding), Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat (Chempaka), Ustaz Mohd Amar Abdullah (Panchor).

Rohani Ibrahim (Tanjong Mas), Dato’ Annuar Tan Abdullah (Kota Lama), Dato’ Takiyuddin Hassan (Bunut Payong), Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman (Chetok), Ustaz Nusuruddin Daud (Meranti), Dato’ Husam Musa (Salor), Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah (Pasir Tumbuh), Ustaz Mohamad Mustapa (Demit).

Ustaz Hassan Mohamood (Tawang), Dato’ Omar Mohamad (Perupok), Azamin Mohd Noor (Kadok), Abdul Fattah Mahmood (Bukit Panau), Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman (Kemahang).

Drs Zainuddin Awang Hamat (Limbongan), Dr Nik Mazian Nik Mohamad (Gaal), Haji Zulkifli Mamat (Pulai Chondong), Dr Mohd Fadzli Hassan (Temangan) dan Ustaz Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (Kemuning). -

Mahathir dan Kemenangan

Faktor Mahathir punca menang - Mohamad Sabu

KOTA BHARU, 9 Mac (Hrkh) - "Faktor Mahathir" adalah antara sebab kemenangan PAS dan parti-parti pembangkang lain di Kedah, kata Naib Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu.
"Faktor utama tidak dapat dinafikan lagi ialah kebangkitan pengundi-pengundi India dan Cina. Kebangkitan pengundi India dapat dilihat di beberapa kawasan seperti di Kulim dan Baling. Sikap mereka boleh dianggap faktor yang sangat penting.

"Kebangkitan pengundi Cina pula boleh dilihat kepada apa yang berlaku di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan misalnya, di mana calon kita, Mohd Nasir Mustafa menang," katanya.

Tetapi, kata Mohamad Sabu, satu lagi faktor penting ialah protes rakyat Kedah terhadap apa yang dilakukan oleh para pemimpin Umno kini terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Mengapa dalam banyak kawasan di Kedah, peratusan yang keluar mengundi begitu rendah? Saya menjangkakan mereka adalah pengundi-pengundi Melayu yang tidak mahu mengundi Barisan Nasional kali ini tetapi tidak juga bersedia memberikan undi kepada pembangkang.
"Akhirnya mereka mengambil keputusan tidak keluar mengundi," katanya.

Malah, kata beliau lagi, faktor Mahathir bukan sahaja menyumbangkan kemenangan di Kedah.
"Kritikan-kritikan Dr Mahathir sebenarnya banyak membantu kemenangan pembangkang di seluruh negara. Kita mengkritik kerajaan lebih dari beliau lagi, tetapi apabila orang yang mengangkat (Datuk Seri) Abdullah (Ahmad Badawi) sendiri memberikan undi tidak percaya kepadanya, bagaimana rakyat hendak percaya," katanya.

Mohamad Sabu tewas di kawasan Parlimen Kuala Terengganu, walaupun ketiga-tiga kawasan DUN di dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu dimenangi oleh PAS.

Diminta mengulas kekalahannya itu, Mohamad Sabu berkata, walaupun beliau kalah beliau tetap gembira kerana penat lelahnya boleh dianggap berbaloi dengan kemenangan ketiga-tiga DUN tersebut.

Beliau enggan mengulas lanjut mengenai kekalahannya itu.

Bagaimanapun, analisa awal jentera pilihan raya Kuala Terengganu menyifatkan kira-kira 900 undi pos dan faktor calon luar adalah antara punca kekalahan beliau.

Mohamad Sabu disepakati sebagai penggerak utama kebangkitan rakyat 10 November 2007 lalu. Beliau ialah Pengarah Jawatankuasa Perhimpunan Aman Rakyat anjuran Bersih itu.

Balasan Allah

"Abdullah tolak Islam punca Allah beri kekalahan kepada Umno/BN" - Nik Aziz
KOTA BHARU, 9 Mac (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat berkata, kemenangan yang diberi Allah kepada PAS, KeADILan dan pembangkang lain di Malaysia adalah kerana tindakan Umno/BN yang sudah cukup melampau.

Kata Tuan Guru, rakyat Kelantan masih mahu mempertahankan kerajaan Islam yang telahpun dijalankan PAS sejak memerintah 18 tahun lalu.

Rakyat Kelantan tidak mahu idealisme Umno yang hanya menumpukan kepada kebendaan, mengangggap rakyat buta huruf dan mahu memperbodohkan rakyat, katanya.

Beliau juga memberi mesej peribadinya kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berikutan kemenangan BA dan pembangkang lain di beberapa negeri termasuk Kedah dan Pulau Pinang.

Secara peribadinya mesej Tok Guru kepada Abdullah ialah "Inilah akibatnya jika manusia tak dengar kata Allah".

"Faktor kemenangan bagi saya sebab kita perjuang Islam, Umno sudah melampau hingga hina rakyat sendiri, hina demokrasi, jangan harap nak jalan Islam demokrasi yang dia kata dia perjuangkanpun diselewengkan," katanya.

Tuan Guru berkata, amat tidak munasabah PAS antara parti yang mempunyai ahli paling ramai, tetapai tidak diberi ruang oleh kerajaan untuk mendapatkan akses media, hak demokrasi dan kebebasan untuk kita selaku rakyat Malaysia.

'Kita tak ada surat khabar, tak ada televisyen, kita macam orang asing, ini kerja melampau sebabkan rakyat jelek kepada Umno," kata Tuan Guru Nik Aziz.

Justeru katanya akibat rakyat marah dan meluat kepada Umno/BN, pilihan raya kali ini rakyat menunjukkan sokongan kepada pembangkang dan ia amat mengejutkan.

"Rakyat Malaysia kini ramai yang berpelajaran, lulusan universiti tetapi pemimpin Umno memperbodohkan rakyat, anggap rakyat buta huruf," katanya.

Selain itu antara faktor lain yang menyebabkan rakyat menolak Umno/BN ialah, di Malaysia ini katanya Umno/BN menolak hidayah Allah, malah Umno mendakwa bahawa Islam punca perpecahan dan tidak memajukan.

Umno juga katanya menjadikan rakyat seperti lembu yang hanya dianggap dengan memberi wang (jika lembu diberi rumput), dan rakyat akan menyokong kononnya.

"Ini kerja yang menjelekkan masyarakat, Islam kata haram dia (Umno) tak peduli, demokrasi kata tak boleh dia (Umno) kata boleh," katanya./

Revolusi Rakyat

Ini adalah revolusi rakyat - Husam

KOTA BHARU, 9 Mac (Hrkh) - Kegagalan besar Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kali ini seperti satu revolusi, kata Naib Presiden PAS, Datuk Haji Husam Musa.

"Ini adalah revolusi rakyat. Rakyat bangkit dan bersatu. Mesej yang jelas kepada kerajaan ialah ‘Enough is enough’ (cukuplah!)”, beliau memberitahu pemberita.

Reuters pula memetik sumber yang rapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi berkata: "Apa yang berlaku ialah rasa tidak puas di mana-mana - India, Cina dan Melayu. Ribut ini datang serentak dan akan berlaku perubahan yang besar".

Awal-awal lagi sumber itu menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan mengalami kemerosotan terbesar sejak 1969 dan hanya akan mendapat majoriti mudah.

Pada tahun 1969, Perikatan (yang kemudiannya betukar nama kepada BN) tidak pula kehilangan sehingga lima negeri.

Reuters juga menyifatkan pilihan raya kali ini adalah satu referendum atau pungutan suara rakyat terhadap pemerintahan Abdullah.

Perdana Menteri bagaimanapun enggan melihat kebangkitan rakyat itu sebagai undi tidak percaya kepadanya.

"Saya tidak melihat itu (undi tidak percaya). Ini hanya pendirian rakyat yang mahu saya meningkatkan lagi kekuatan," kata beliau.

Mengenai wujud tekanan pihak dalam parti supaya beliau meletakkan jawatan, Abdullah berkata: "Tak tahu siapa yang tekan saya."

Abdullah tidak menolak kemungkinan keputusan pilihan raya ini memberi isyarat bahawa rakyat tidak berpuas hati dengan beberapa isu, termasuk kenaikan harga barang.

“Ini memberi mesej yang penting dan saya akan lihat isu berkenaan,” katanya.

Dengan tamparan sebegitu hebat, Perdana Menteri enggan bercaikap banyak dan beliau dipercayai akan membaca kenyataan yang disediakan oleh pembantu-pembantunya.

“Apa-apa pandangan mengenai keseluruhan keputusan pilihan raya ini, saya akan buat hanya selepas selesai keputusan semua kerusi,” katanya.

Menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin yang dilihat antara punca terbesar kekalahan BN dipetik oleh Bernama sebagai berkata: "Kami akan melawan semula".

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu dan Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon adalah antara pemimpin kanan BN yang kecundang. selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 diumumkan setakat jam 3 pagi ini.

Selain Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya, turut mengalami kekalahan ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin; Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin; dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Turut kecundang ialah 10 timbalan menteri termasuk Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk M Kayveas; Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Tan Chai Ho dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mah Siew Keong, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk G Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Fu Ah Kiow, Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Seri Chia Kwang Chye, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk S Sothinathan dan Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin.

Khamis, 6 Mac 2008

BN terkini!

Umno bergolak, BN cemas akibat pembangkang dapat sokongan!

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Hrkh) - Sejak pembubaran Parlimen pada 13 Februari lalu pelbagai insiden mengejutkan seluruh negara menyebabkan rakyat melihat kekalutan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang mula cemas dengan pengaruh pembangkang.

Rakyat juga sedang memerhati segala gelagat dan perilaku 'sumbang' mereka untuk menilai sebelum membuat keputusan dan menghukum mereka di peti undi pada 8 Mac nanti termasuk kewajaran memilih pemimpin bermasalah sebagai wakil rakyat.

Antara insiden yang memalukan dan menimbulkan tanda tanya ramai pihak tentang ketelusan Umno dan BN ialah:-

1.Perkenal Calon BN Kelantan yang bankrap untuk pilihan raya.

Calon BN di DUN Kijang, Mustopha Ahmed, telah ditolak pencalonannya kerana muflis dan penolakan itu memberikan kemenangan percuma kepada calon wanita PAS, Wan Ubaidah Wan Omar.

2.Bekas Exco Kedah dari parti Gerakan serta KeADILan.

Bekas Exco Kedah yang telah tiga penggal menjadi Adun (Gerakan) di Derga, Cheung Khai Yan menyertai KeADILan kerana beberapa alasan antaranya berlaku diskriminasi kepada parti itu termasuk tidak puas hati terhadap perjalanan BN Kedah.

3.Demonstrasi Umno Terengganu tidak puas hati dengan senarai calon

Lebih 400 membantah 21 Februari lalu terhadap pengguguran nama senarai calon oleh pucuk pimpinan BN yang diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato' Seri Idris Jusoh.

Bantahan itu datangnya daripada kumpulan yang dikatakan tidak puas hati dengan pencalonan Umno iaitu kumpulan penyokong bekas wakil rakyat Seberang Takir, Hj Mohd Shapian Ali.

Ini termasuk bantahan daripada kumpulan penyokong penyandang kerusi Parlimen Marang yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia Dato' Abdul Rahman Bakar dan penyokong Tengku Putera mengadakan demostrsi di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar.

4.Bantahan dan perebutan kuasa Umno Perlis

Wujud tiga puak Umno yang bersengketa di Perlis 'didalangi' antaranya oleh Dato' Seri Shahidan Kassim, Dato' Seri Azmi Khalid dan Dato' Radzi Sheikh Ahmad.

Akibat daripada itu terdapat juga protes daripada penyokong pihak tertentu yang mengadakan bantahan di kediaman rasmi Shahidan dan terdapat beberapa psoter dikoyakkan oleh penyokong Umno sendiri.

5.Protes terhadap pencalonan Setiausaha Politik PM Dato' Osman Desa di Sik, Kedah.

Umno Kedah mendapat kejutan besar semalam apabila dilaporkan ribuan ahli Umno berpiket di Sik, sebagai protes pada calon Parlimen Dato' Othman Desa dan turut ditujukan kepada calon Belantek, Tajuddin Abdullah kerana kedua-dua mereka didakwa bukan calonyang disetujui penyokong-penyokong Umno di sana.

6. Calon BN Dun Bukit Pinang, Kedah dipecat kerana pecah amanah

BN Kedah menerima tamparan hebat dan bakal kehilangan kepercayaan rakyat kerana calonnya di Dun Bukit Pinang, Omar Saad telah dipecat daripada Koperasi Guru-Guru Melayu Kedah termasuk jawatan yang disandangnya sebagai Setiausaha kerana didakwa pecah amanah.
Surat pemecatan koperasi itu telah dikeluarkan kepada beliau termasuk tujuh lagi yang lain yang didapati bersalah kerana melakukan tindakan salah guna kuasa membabitkan urusan pembelian tanah seluas 105 relung dan pemecatan tersebut berkuatkuasa pada 25 Disember lalu.

7.Isteri calon BN di Jitra kempen suruh pengundi undi PAS

Kredibiliti calon BN Kedah tercalar apabila calon N.06 Jitra, Dato' Saad Man yang berdepan dengan isteri sendiri yang berkempen di atas pentas PAS.

Ku Fatimah Ku Yaacob (isteri Saad) mengajak rakyat Kubang Pasu menolak calon BN itu atas alasan beliau adalah seorang yang tidak bertanggungjawab.,

8.Kisah cinta terlarang Menteri Besar Kedah dengan Puteri Umno Kedah

Kalangan penyokong Umno di Kedah, rata-rata mendesak agar kisah hubungan sulit antara Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Puteri Umno Negeri, Shahanim Mohd Yusuf yang sudah pun bersuami didedahkan segera.

"Kami dah meluat tengok sikap mengada-ngada Shahanim dan hairan mengapa Mahdzir menafikan hubungan sulit mereka berdua," tegas mereka.

Seorang tokoh perniagaan antarabangsa berbangsa Cina pula memberitahu, dia mempunyai cukup bukti tentang tempat dan tarikh pertemuan dua sejoli ini terutamanya di Macau termasuk nama hotel yang diinapi mereka berdua.

Dalam perkembangan yang sama, di serata negeri ini berbunyi bahawa vcd kisah cinta mereka berdua akan disebarkan, Harakah sendiri sering menerima panggilan telefon daripada mereka yang mahu tahu kesahihan cerita yang mereka dengar.

9.Rumah Mahadzir Khalid RM5 juta, pondok pengawal RM40,000 di Pedu

Rumah Mahadzir Khalid dianggarkan dalam lingkungan harga RM 4juta hingga RM 5 juta dan pondok pengawalnya berharga RM 40,000, dibina selepas baru berapa hari menjadi Menteri Besar.

10.BN guna 'taktik samseng' halang penyokong KeADILan

Calon KeADILan Parlimen Rembau, Badrul Hisham Shaharin yang mencabar Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mendakwa, poster kempen partinya telah dikoyak manakala di Rantau pula, penyokong BN bertindak agresif menghalang penyokongnya menaikkan poster kempen.

Ekoran itu, wakil dan penyokong Badrul telah membuat laporan polis pagi tadi di ibupejabat polis daerah Rembau.

11. BN guna pegawai kerajaan untuk kempen

BN tanpa segan silu dilihat menggunakan pegawai dan jentera kerajaan semasa kempen pilhan raya ini berikutan laporan TV3 dalam Buletin Utama 27 Februari lalu yang mana Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna menghantar pegawainya, Zulkifli Ibrahim, Penolong Penguatkuasa KPDNDHEP berkempen di atas pentas Barisan Nasional (BN) di Parlimen Titiwangsa bersama calon BN, Dato' Abdul Aziz Jamaluddin.

12. Calon PAS Parlimen Rompin ditawar RM200 ribu untuk tarik diri

Calon PAS bagi Parlimen Rompin (PO91) Mazlan Mohamed Yasin mengakui telah ditawarkan dengan jumlah wang yang banyak untuk beliau berundur diri daripada bertanding.
"Tawaran terakhir ialah RM200,000 untuk saya tarik daripada bertanding malah Dato' Seri Dr.Jamaluddin Jarjis juga ada menghubungi untuk bertemu namun saya tidak melayan sama sekali permintaannya."

13.Calon BN Parlimen Pokok Sena terima suapan RM84,000, upah buat tesis

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Pokok Sena, Dato' Paduka Rahman Ibrahim telah didakwa menipu Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk mendapatkan Ijazah Sarjana (Master) Sains Politik.

Penipuan yang dibuat ialah dengan cara mengupah pihak tertentu dengan jumlah puluhan ribu ringgit untuk membuat tesis bertajuk 'Politik Kepuakan Dalam Politik Kedah' bagi ijazah tersebut.

Didakwa turut menerima suapan sejumlah RM84,000 daripada Nelson Ho dan Grennway Services kerana berjaya mendapat kelulusan membawa masuk pekerja asing pada 2004
14.BN perguna mat rempit untuk burukkan imej pembangkang

Menurut Setiausaha Akhbar Presiden PAS, Roslan Shahir Mohd Shahir terdapat laporan daripada jentera pilihan raya PAS bahawa BN telah memulakan propaganda memburukan imej PAS.

Insiden dilaporkan di Slim River di mana sekumpulan mat rempit telah berkeliaran dan menaburkan VCD tertentu yang mana mesejnya adalah untuk melaga-lagakan PAS dengan pengundi bangsa Cina dan India.

Terdapat juga rancangan untuk merakam aksi mat rempit membawa bendera PAS dan KeADILan sambil membuat huru-hara di jalan raya.

Rakaman tersebut, katanya akan ditayangkan di stesen-stesen televisyen untuk memberi gambaran kepada pengundi bahawa PAS dan KeADILan menaja huru-hara.
Berikut adalah ringkasan kecelaruan Umno:-

1.Perkenal Calon BN Kelantan yang bankrap untuk pilihan raya
2.Bekas Exco Kedah dari parti Gerakan serta KeADILan.
3.Demonstrasi Umno Terengganu tidak puas hati dengan senarai calon
4.Bantahan dan perebutan kuasa Umno Perlis
5.Protes terhadap pencalonan Setiausaha Politik PM Dato' Osman Desa di Sik, Kedah
6.Calon BN Dun Bukit Pinang, Kedah dipecat kerana pecah amanah
7.Isteri calon BN di Jitra kempen suruh pengundi undi PAS
8.Kisah cinta terlarang Menteri Besar Kedah dengan Puteri Umno Kedah
9.Rumah Mahadzir Khalid RM5 juta, pondok pengawal RM40,000 di Pedu
10.BN guna 'taktik samseng' halang penyokong KeADILan
11. BN guna pegawai kerajaan untuk kempen
12. Calon PAS Parlimen Rompin ditawar RM200 ribu untuk tarik diri
13.Calon BN Parlimen Pokok Sena terima suapan RM84,000, upah buat tesis
14.BN perguna mat rempit untuk burukkan imej pembangkang

(Untuk mendapatkan fakta menarik dan berita lanjut, pembaca boleh mendapatinya di dalam keluaran khas Kempen 5 yang diedarkan percuma ke seluruh negara mulai Khamis 6 Mac 2008)

Kejahatan SPR yang tidak berkesudahan

SPR 'jahat', rakyat mesti ajar mereka!
KUALA LUMPUR, 6 Mac (Hrkh) - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semakin terserlah kebiadapan dan 'kejahatan ' mereka berikutan pelbagai insiden yang dilihat cuba bergabung dengan Umno dan Barisan Nasional untuk memastikan kemenangan berada di pihak mereka pada pilihan raya umum akan datang sekaligus 'membunuh' peluang Barisan Alternatif (BA) dan PAS untuk meraih kejayaan yang sama.

Seperti kata Pesuruhjaya PAS Kedah Ustaz Azizan Abdul Razak bahawa SPR dilihat begitu jahat kali ini lantaran strategi dan sabotaj terakhirnya ialah berhubung pengesahan duti setem.
"Nampaknya Kita 'bergaduh' bukan setakat dengan Umno sahaja tetapi SPR, " katanya
Manakala kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar meminta semua pihak mempunyai kewaspadaan yang tinggi kerana khuatir dengan pelbagai 'kejutan' yang bakal dilakukan oleh SPR pada hari pengundian.

"Kalau hari pencalonan tempoh hari SPR boleh buat macam-macam celaru, inikan pula pada hari pengundian, siapa yang tahu. Jadi bersiap sedia dan berwaspada!" katanya.
Berikut adalah senarai kepincangan SPR yang wajar dihukum dan dibuktikan oleh rakyat dengan cara membuat 'perhitungan' terakhir dan 'mengajar' mereka pada pilihan raya umum akan datang dengan memilih PAS dan BA sebagai isyarat jelas bahawa pembohongan dan muslihat SPR selama ini telah gagal!

1.Membatalkan penggunaan dakwat celup jari

Keputusan terkini iaitu (4 Mac) empat hari sebelum hari pengundi ialah SPR membatalkan penggunaaan dakwat kekal menggunakan alasan 'arahan awam' dan 'keselamatan' adalah dilihat untuk 'menghalalkan' penipuan di proses hari mengundi.
Pembatalan ini turut 'disepakati oleh Ketua Polis Negara Tan Sri MUsa Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Abd Ghani Patail

2.Pengesahan duti setem pada borang pencalonan pada saat akhir

SPR mengarahkan calon yang bertanding mendapatkan pengesahan duti setem yang mana surat arahan itu dikeluarkan pada jam 3.00 petang hari Khamis (21 Februari 2008) sedangkan pada borang tersebut sudah jelas tertera bahawa 'duti setem tidak diperlukan'.
Malah selama 11 kali pilihan raya umum yang lepas, tidak pernah diminta pegesahan duti setem dibuat, menurut Ustaz Azizan.

Akibat daripada itu kata Azizan, PAS Kedah telah mendapat pengesahan duti setem bagi 32 borang pencalonan di Perlis pada keesokan harinya memandangkan Kedah merupakan hari kelepasan am.

3.SPR tidak konsisten, keluar arahan berbeza dalam masa dua hari.

Kerana Umno juga terlupa dan tidak sempat mendapat pegesahan duti setem, SPR dilihat cuba menutupi kelemahn itu dengan mengeluarkan arahan (23 Februari) bahawa tidak perlu pengesahan duti setem sehari sebelum hari pencalonan.

4.Undi pos kini tidak lagi rahsia, telus kerana punya nombor siri

Terdapat nama anggota polis dan tentera dan nombor siri kertas undi dan dua borang sama di masukkan dalam karung yang sama.
Perkara ini dikesan di pusat pengagihan kertas undi di Stadium Tititwangsa bagi Parlimen Setiawangsa. Sebagai contoh anggota Zulkhairi Zainun No Kad T533580 dari 93 Rejimen Semboyan, Wilayah Persekutuan mempunyai nombor siri 3906.

Begitu juga bagi nombor siri 3954 untuk anggota Mohd Kamal Bin Keliwon (KP/T 53766) daripada rejimen sama mengalami situasi yang sama termasuk nombor siri yang lain seperti 11856, 3896, 3897 dan 2700,

5.SPR masukkan 1,031 pengundi pos di Belantek, Kedah

PAS Kedah mendedahkan tindakan SPR mewartakan sebanyak 1,031 pengundi di Daerah Mengundi 01 Kota Aur/DUN N23 Belantek/Parlimen P013 Sik, sekali pun ketika dipamerkan dalam DPT suku ke-3 2007 tidak menyenaraikan nama-nama tersebut.

Mengikut DPI (Daftar Pemilih Induk) 2003 sehingga DPT ke-2 2007, SPR tidak pernah merekodkan senarai 1,031 nama pengundi pos berkenaan, sehinggalah DPT 3 2007 dipamerkan.
Dalam DPI 2006, bagi Daerah Mengundi tersebut hanya mempunyai 500 pengundi sahaja. Bagaimanapun, 1,031 pengundi pos anggota tentera ini dibawa dari dua kem iaitu A Kompeni 19 RAMD Sungai Petani (Kem Induk/Tetap di Sungai Petani) dan A Kompeni Bn 304 AW (Kem Induk di Gerik, Perak.

6.SPR sahkan 8,666 pengundi berusia 100 ada dalam daftar pemilih

Seramai 8,666 pengundi berusia 100 tahun ke atas tersenarai dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) 2007 yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 5 Februari lalu dan akan diguna pakai pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Pengundi berkenaan paling ramai didaftarkan di Sabah iaitu 2,096 orang; diikuti Sarawak (1,458); Johor (976); Perak (959); Selangor (549); Pulau Pinang (442); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (367), Kedah (356) dan Wilayah Persekutuan Labuan (46).

Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali menjelaskan pengundi lebih 100 tahun dan mereka yang dipindah ke tempat lain dan tidak boleh atau tidak mampu ke sana untuk mengundi, dengan mudah saja boleh diambil tempat mereka oleh pengundi hantu.
7.SPR tolak bantahan dan celaru pada hari pencalonan

SPR tanpa rasa tanggungjawab telah menolak bantahan yang secara terang-terangan melanggari peraturan SPR sendiri dan menyebabkan suasana ceelaru.

i- Bantahan terhadap Dato' Seri Rafidah Aziz kerana lupa menandatangani borang pencalonan.

ii- Bantahan terhadap pencabar Dr Lo Lo Ghazali di Parlimen Titiwangsa, Dato'Aziz Jamaludin Mhd. Tahir yang tidak mempunyai pengesahan duti setem pada borang pencalonan.

iii- Bantahan terhadap calon Umno Dato' Ismail Kassim (Adik Shahidan) yang mencabar Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din di Parlimen Arau (P003) kerana tidak dapat mengemukakan bukti peletakan jawatan sebagai Senator.

iv- Mengumumkan calon-calon yang bertanding di Parlimen Hulu Langat tanpa memperkenalkan calon daripada PAS, buktinya berlaku di Stadium Kajang.

8.Bukti tentera ada dua nama dalam daftar pemilih SPR sebagai pengundi awam

Calon PAS parlimen Temerloh, Hashim Abdullah mendedahkan seorang anggota tentera mempunyai dua nama di dalam daftar pemilih, satu menggunakan kad pengenalan awam manakala satu lagi menggunakan kad pengenalan tentera yang membolehkanya mengundi secara pos dan mengundi di pusat pembuangan undi sebagai orang awam.

Anggota tentera tersebut bernama Nasarudin Sapiee, No. kad pengenalan 71011-06-5013 berasal dari Kampung Gantuk Hilir, Daerah mengundi 088/30/02 - Songsang. Saharuddin mengundi di pusat mengundi Sekolah Menegah Teknik, Temerloh.

Dengan menggunakan kad pengenalan tentera, Nasarudin adalah pengundi pos bagi daerah mengundi 132/31/07/405 - Pusasda Kem si Rusa bagi kawasan Dun Bagan Pinang dan parlimen 132- Teluk Kemang, Negeri Sembilan

9.Tidak daftar dan tidak pernah mengundi tetapi tersenarai dalam senarai SPR

Akhbar Malay Mail di bawah tajuk: 'Woman mysteriously registered as voter' telah mendedahkan Ang Lai Im, 36 telah menyedari bulan lalu bahawa beliau telah didaftarkan oleh SPR sedangkan beliau belum pernah melakukannya sebelum ini.

Bekas wartawan kanan News Straits Times itu atau nama sebenarnya Ahirudin Attan berkata beliau tidak pernah sama sekali mendaftar dan menunaikan kewajipan sebagai pengundi dalam mana-mana pilihan raya sekalipun.

"Saya tidak pernah ke Rapat Setia, alamat saya dalam Kad Pengenalan lama dan baru ialah di Puchong, Selangor dan saya tidak pernah tinggal di Perak dan kampung saya di Melaka," katanya yang mempersoalkan namanya yang tertera dalam semakan daftar pemilih online.

Menurut semakan daftar tersebut beliau telah didaftarkan untuk mengundi di Rapat Setia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Pulai dan bagi Parlimen Gopeng.

Harakah juga mendapat puluhan laporan yang diterima berkaitan nama pengundi yang dipindahkan secara senyap ke lokasi berbeza termasuk yang tidak pernah mendaftar sebelum ini.

Begitulah kata-kata manis penuh puitis Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman jelas mempermainkan rakyat dan sikap SPR ini menunjukkan suruhanjaya ini tidak berwibawa dan mempermainkan rakyat.

Rashid yang sebelum ini menyatakan penggunaan peti undi lutsinar, dakwat jari pengundi dan ketiadaan nombor siri pengundi pada kertas undi seperti yang diumumkan sebelum ini akan dilaksanakan pada pilihan raya umum kali ini.

"Tiada siapa tahu anda undi siapa," demikianlah janji 'manis' Rashid Abdul Rahman pada 14 Februari lalu yang jelas satu pembohongan!

Ahli Jawatankuasa Bersih yang juga Naib Presiden PAS Mohamad Sabu menegaskan ekoran tindakan SPR itu,sudah tiba masanya Rashid meletak jawatan dan rakyat mesti mengajar mereka dengan memilih PAS dan BA yang jelas mahukan sebuah pilihan raya yang bersih daripada muslihat SPR dan demokrasi pulih dalam negara.

Berikut adalah senarai yang dikenal pasti helah SPR untuk memastikan kemenangan BN dalam pilhan raya ke-12:-

1.Membatalkan penggunaan dakwat celup jari
2.Pengesahan duti setem pada borang pencalonan pada saat akhir
3.SPR tidak konsisten, keluar arahan berbeza dalam masa dua hari.
4.Undi pos kini tidak lagi rahsia, telus kerana punya nombor siri
5.SPR masukkan 1,031 pengundi pos di Belantek, Kedah
6.SPR sahkan 8,666 pengundi berusia 100 ada dalam daftar pemilih
7.SPR tolak bantahan dan celaru pada hari pencalonan
8.Bukti tentera ada dua nama dalam daftar pemilih SPR sebagai pengundi awam
9.Tidak daftar dan mengundi tetapi tersenarai dalam senarai daftar SPR

(Untuk mendapatkan fakta menarik dan berita lanjut, pembaca boleh mendapatinya di dalam keluaran khas Kempen 5 yang diedarkan percuma ke seluruh negara mulai Khamis 6 Mac 2008)

Selasa, 4 Mac 2008

Ala Samseng : Paksa Warga Tua

Calon BN kempen 'ala samseng' di Baling, paksa warga tua masuk Umno

BALING, 4 Mac (Hrkh) - Calon Parlimen Baling, Dato' Azeez Abdul Rahim bukan sahaja petah berbahasa Tamil dalam kempennya di parlimen tersebut tetapi juga kuat menggugut dan penipu.

Siaran televisyen baru-baru ini menunjukkan beliau sedang berkempen kepada masyarakat India dalam bahasa Tamil serta duduk bersama bermesra dengan masyarakat India di sebuah rumah usang.

Tetapi pada minggu lalu, Harakahdaily mendapat maklumat beliau menggunakan kaedah 'ala samseng' dengan cuba menggugut peniaga Cina agar terus memberi undi pada Barisan Nasional (BN) dengan merampas manifesto PAS 'Negara Berkebajikan' yang diserahkan oleh jentera PAS kepada peniaga sekitar Pekan Baling.

Perbuatan 'ala samsengnya'itu, menimbulkan kemarahan bukan sahaja pada jentera PAS dan Barisan Alternatif (BA) malahan masyarakat Tionghua juga yang tidak senang dengan sikap 'samseng'nya itu.

Sebelum hari pengundi iaitu semasa pergelutan siapa bakal menjadi calon di Baling beliau terpaksa pula berlakon menyelami hati pengundi, berbudi bahasa, manis mulut dan berhati terbuka. Tetapi, belum sempat pun menang di Baling kini terbuka pekung di dada siapa sebenarnya gerangan Dato' Azeez Abdul Rahim.

Berlainan pula ketika berkempen di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kupang dua hari lalu apabila konco -konconya cuba memperdayakan beberapa warga tua ahli PAS untuk menyertai Umno.
Hasil desakan hidup akhirnya, kedua-duanya telah mengisi borang Umno dan petang ini Dato' Azeez sendiri didakwa akan bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk mengistiharkan menyertai Umno kerana bosan dengan pembangkang.

Siaran rakaman itu akan dilaksanakan pada pukul 2.00 petang ini di rumah Ahmad Wahab di Kampung Charok Salang bagi membuktikan PAS semakin terdesak ekoran keluarnya ahli dan penyokong parti itu.

PAS Kubang Kerian nafi 200 penyokong sertai Umno

KOTA BHARU, 4 Mac – PAS Kubang Kerian menafikan seramai 200 penyokongnya di Pasir Tumbuh menyertai Umno seperti dilaporkan akhbar hari ini.Timbalan Yang Dipertuanya, Ustaz Abdul Rahman Yunus berkata, Abdul Salam Ismail yang dikatakan mengetuai penyokong PAS menyertai Umno tidak pernah dilantik sebagai Setiausaha Kerja PAS Kubang Kerian. Sebaliknya orang terbabit hanya dilantik sebagai pembantu kepada Dato’ Husam Musa ketika menjadi ahli Parlimen Kubang Kerian.
“Bagaimanapun Salam sudah lama berhenti berkhidmat sebagai pembantu kepada Husam kerana masalah membabitkan kewangan termasuk dana milik parti dan peruntukan anggota parlimen,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya Salam sudah lama memberitahu penduduk kampung dia akan menyertai Umno kerana sudah terpinggir daripada PAS kerana masalah tersebut.Kata beliau, selepas berhenti berkhidmat dengan Husam, Salam berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja dengan sebuah syarikat swasta.
“Orang kampung pun sudah lama tidak melihatnya dan dia baru kembali ke Kampung Tiong di Pasir Tumbuh."
"Mungkin disebabkan rasa terpinggir kerana tidak lagi didekati penduduk dia mengambil jalan untuk mempopularkan semula dirinya dengan mengisytihar menyertai Umno," katanya.
Oleh itu katanya, mungkin langkah mahu membersihkan namanya selepas terlibat dengan masalah kewangan dia cuba mendapat publisiti dengan menyerah borang menyertai Umno kepada Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Razak semalam.Abdul Rahman berkata, berdasar kepada wajah-wajah yang tertera dalam gambar bersama Salam yang dikatakan menyertai Umno tidak pernah dikenali sebagai ahli PAS. Jurucakap Dewan Pemuda PAS Kubang Kerian pula berkata, Salam terpaksa meninggalkan kampung selepas ramai pihak datang meminta meminta hutang daripadanya.
“Malah Haji Husam sehingga sekarang terpaksa menjelaskan hutang yang dibuatnya. Ini benar-benar mencemarkan imej keluarganya sendiri dan penduduk kampung Tiong. Dan layak sekali dia menyertai Umno,” ujarnya.

Wang Sogokan Lagi

Pengundi dinasihat lapor BPR, polis jika terima wang sogokan

KANGAR, 4 Mac (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang mengingatkan para pengundi agar tidak terpengaruh dengan sebarang sogokan dari Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum (PRU) 8 Mac ini.

Katanya, sebarang bentuk sogokan seperti wang ianya akan dikira sebagai rasuah sekiranya para pengundi mengambilnya.

Sebaliknya, beliau mengingatkan pengundi langkah terbaik ialah melaporkannya kepada pihak berkuasa seperti polis atau Badan Pencegah rasuah (BPR).
"Kalau ambil duit dan disuruh pangkah BN, itu rasuah.

"Lebih baik kita ambil nombor kad pengenalan dan rekodkan nombor siri duit tu dan lapor kepada BPR," katanya ketika berceramah di Dun Mata Ayer dekat sini malam tadi.

Beliau turut mengingatkan pengundi agar tidak bersumpah untuk mengundi BN sekiranya diberikan wang.

Ini katanya sumpah yang tidak boleh dipakai kerana menjurus kepada seorang itu cenderung kepada kezaliman.

"Kalau dia suruh sumpah jangan buat sebab sumpah ini mendorong kepada maksiat. Kalau tak sumpah kita dapat pahala sebab menjauhkan diri dari maksiat. Jangan kita cenderung kepada kezaliman," serunya.

Ditemui selepas ceramah, Ustaz Ahmad mengingatkan petugas PAS tentang provokasi yang bakal dibuat oleh BN dua-tiga hari sebelum hari pembuangan undi.

"Mereka akan gunakan Mat Rempit untuk menunggang motosikal membawa bendera PAS atau KeADILan sambil membuat kecoh. Juga ingat, mereka akan membuat provokasi sehingga tercetusnya ketegangan. Ini semua bertujuan menjejaskan imej PAS di mata orang ramai," jelasnya.

Ustaz Ahmad berada di Perlis sehari suntuk dalam rangka lawatannya membantu PAS Perlis berkempen sempena PRU kali ini.

Dalam lawatannya beliau sempat menghadiri lima program bertemu orang ramai, menyampaikan kuliah maghrib dan berceramah.

Muhyidin Sudah Lupa atau Sudah Menipu???

Hutang, Muhyidin lupa Johor lebih tinggi hutang berbanding Kelantan

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Hrkh) - Kempen Umno/BN kini semakin bercelaru dan penuh pembohongan apabila Naib Presidennya, Tan Sri Muhyidin Yassin membohongi rakyat dengan menyatakan kerajaan negeri Kelantan muflis kerana hutang dengan kerajaan pusat sejumlah RM1 bilion.

Kenyataan Muhyiddin ini amat menghina rakyat Kelantan dalam usaha mereka untuk menawan Kelantan, selepas mereka melihat rakyat Kelantan memberi sokongan padu kepada pentadbiran Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebelum ini Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Dato' Seri Mohd Najib Razak turut berbohong ketika melawat Kelantan dengan menyatakan rakyat Kelantan miskin, dan BN mahu merawat negeri yang ditadbir PAS itu.

Namun sebenarnya umum mengetahui bahawa negeri paling miskin bukanlah Kelantan, dan sejak PAS mengambil alih Kelantan 18 tahun lalu, kedudukan Kelantan dalam senarai negeri miskin telah berubah daripada tangga kedua kepada tangga ke enam.

Begitupun semalam, seorang Naib Presiden Umno (Muhyiddin) pula mengambil alih tugas sebagai pembohong untuk memancing undi rakyat Kelantan.

Muhyiddin dalam sidang media selepas majlis ramah mesra bersama petani Kada di Kota Bharu mengatakan bahawa kerajaan Kelantan sudah muflis kerana menanggung beban hutang dengan kerajaan pusat sebanyak RM1 bilion.

Apa yang diucapkan oleh Muhyiddin itu ternyata satu pembohongan besar kerana kerajaan Kelantan di bawah pentadbiran PAS hanya mempunyai hutang dengan kerajaan pusat sebanyak RM5 juta.

Kelantan hanya berada satu tangga di bawah Sarawak yang langsung tidak mempunyai hutang sedangkan negeri-negeri lain yang diperintah oleh BN mempunyai hutang melebihi RM100 juta.
Lebih teruk lagi Johor yang merupakan negeri kelahiran Muhyiddin mempunyai hutang sebanyak RM700 juta dan merupakan negeri paling banyak berhutang dengan kerajaan pusat.
Pembohongan yang dilakukan oleh Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin BN yang lain akan menyebabkan Kelantan akan terus kekal di bawah pemerintahan PAS selepas pilihan raya umum nanti.

Isnin, 3 Mac 2008

Anak-Anak Nakal???

UMNO Gunakan Anak-Anak Nakal Mengoyak Poster

Kuala Lumpur, 3 Mac - KeADILan membantah sekeras-kerasnya perbuatan sumbang sesetengah pihak Umno, terutama sekali sayap pemudanya, menggunakan anak-anak nakal bagi mengoyak poster-poster dan membuang bendera-bendera calon KeADILan di Permatang Pauh, Dr Wan Azizah Ismail.

Demikian kata Dr. Syed Husin Ali hari ini dalam suatu kenyataan media.
“Anak-anak nakal ini kebanyakannya terdiri dari mat rempit. Ketua dan Timbalan Ketua Pemuda Umno selalu melaungkan slogan yang mereka pilih, iaitu “Gempur”. Nyata sekali secara tidak langsung mereka menggalakkan ahli-ahli mereka supaya menggempur parti-parti lawan.
“Nampaknya, mengoyakkan poster dan membuang bendera parti-parti lawan adalah satu cara gempur yang mereka galakkan. Adakah ini jenis pelajaran yang hendak diberikan oleh Datuk Hishamuddin Hussein dan Khairi Jamaluddin kepada anak-anak nakal dari golongan mat rempit itu? Apakah jenis generasi akan datang yang hendak mereka bentuk?” tanya Dr. Syed.
KeADILan mendapat tahu bahawa tindakan mengoyak poster dan menurunkan bendera parti-parti lawan ini pernah berlaku juga di kawasan-kawasan lain di mana calon KeADILan bertanding. Bahkan ada anggota-anggota KeADILan yang dipukul dan dicederakan apabila cuba mempertahan poster dan bendera calon kami.

“Dalam beberapa kes mereka membuat laporan polis. Malangnya kadang-kadang pihak polis tidak mengambil tindakan bahkan ada kalanya tidak mahu menerima laporan. Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak polis ini sangat mengecewakan.” tegas Dr. Syed.
Beliau menggesa supaya pihak-pihak SPR dan Polis menjalankan tugas mereka dan bertindak profesional dengan tegas serta berkesan untuk memastikan bendera dan poster semua calon dari semua parti tidak dirosakkan oleh mana-mana pihak.

“Oleh kerana perbuatan nakal ini berlaku dengan agak meluas di Permatang Pauh, kami menyeru supaya perhatian khusus hendaklah mereka tumpukan ke atas kawasan itu” kata Dr. Syed.

Jika PAS menang, akan wujud universiti pondok dan Taliban" – kata TNC

Baru-baru ini, sekumpulan pelajar universiti Teknologi Malaysia (UTM) mungkin telah mengirim aduan kepada seorang Exco Pemuda PAS Johor Nazman Ibrahim tentang kes kempen Umno-BN di universiti tersebut pada 1 Mac lalu.

Lalu, berita itu disampaikan saudara Nazman. Menurutnya, bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato' Seri Mohd Khaled Nordin adalah individu yang telah pun memasuki kawasan universiti atas nama kementerian, diiringi pasukan konvoi bermotor.
"Masalahnya, mereka masuk dengan menonjolkan imej kepartian. Anak-anak muda pakai baju BN mengelilingi kawasan kampus tersebut," kata Nazman. Tidaklah diketahui anak-anak muda itu dibawa daripada kawasan dan bahagian mana.

Seorang pelajar UTM pada malam itu juga mengirim gambar-gambar TNC HEP, Khaled Nordin dan anak-anak muda Umno-BN kepada saya melalui Yahoo Messenger. Tapi, apa yang menarik perhatian saya bukanlah kempen Umno-BN.

Khaled Nordin itu memang orang politik. Beliau dan sesiapa pun yang bergelar politikus, akan menikus di balik bayang-bayang intelektual. Mereka menggunakan apa saja alat dan perkakas demi memelihara kelangsungan politik. Terkini, Khaled berselindung di sebalik universiti untuk berkempen, demikian seorang pelajar itu lagi kepada saya.

Demikian juga anak-anak muda rempit yang entah diupah dari kawasan dan bahagian BN itu. Kedua-dua kumpulan ini; Khaled sebagai politikus dan anak-anak muda itu bukanlah boleh diajak berbincang. Hanya pihak universiti boleh diajak berdebat secara sihat.

Yang penting, kenapa TNC HEP izinkan kehadiran bekas menteri dengan imej kepartian? Saya yakin, pelajar-pelajar termasuklah parti penasihat dan parti penegur (nama lain bagi pembangkang) tidak ambil kisah dengan kehadiran menteri di universiti, asalkan saja tak dibawa lambang parti yang boleh diterjemahkan sebagai kempen dalam universiti.

Kita boleh anggap, tanggap dan terjemahkan semua itu sebagai acara kementerian. Tiada masalah. Kementerian mengusung agenda kerajaan, bukan kepartian. Titik! Semua orang atau kebanyakan orang telah maklum dan 'settle' bab ini. Sekali lagi... Titik!
Yang masih belum selesai adalah soal makam dan darjah pemikiran TNC HEP yang berat sebelah, penakut bertuhankan Auku, menyembah pemerintah mutakhir ini serta mungkin buat selama-lamanya. Pemimpin universiti dulu, tidak ketara politiknya. Politik disimpan saja dalam perut. Tidak menunjuk-nunjuk. Pelajar dan pensyarah pun hormat mereka.
"TNC HEP menganggap universiti akan jadi universiti pondok. Kita akan menjadi seperti Taliban di Afghanistan," kata Nazman yang memegang Lujnah Perpaduan Nasional.
Dari apa yang saya faham, kenyataan itu mungkin berpunca daripada kiriman sms TNC. Atau, ia mungkin berpunca daripada hasil perbualan telefon antara pelajar dengan TNC itu.
Inilah isu yang wajib dikuliahkan iaitu tentang tahap pemikiran para pemimpin universiti. Sejak di bangku kuliah, saya tak peduli dengan siswa universiti yang suka berpesta. Tapi, saat TNC HEP dan Ketua Penolong Pendaftar tergedik-gedik menyanyi, oh ini dah lebih!
Pendek kata, apabila pemimpin universiti sudah rosak, jangan diharap anak-anak kampus itu menjadi lebih baik. Apa nak jadi dengan bangsa kita jika pemimpin universiti kita kini sudah terbabas, melebihkan agenda kepartian daripada agenda kerajaan? Rosak bangsa!
Apakah TNC tidak boleh berpesan kepada Khaled Nordin sebelum itu agar tidak dibawa segala lambang kepartian jika mahu masuk ke universiti? Bisik-bisiklah ke Dato' Khaled, "Saya pun orang Umno juga Dato' Khaled, tapi jangan ditunjukkan sangat logo parti tu."
Mak Lang Timah pun pandai jaga maruah Umno-BN

Buletin Utama 2 Mac baru-baru ini menyiarkan liputan berita mengenai Mak Lang Timah di Pendang. Beliau ini pernah menjadi calon di Sg Tiang dan rumahnya tak jauh daripada kawasan taman perumahan saya juga. Mak Lang Timah ini memang sangat masyhur. Tapi, dalam kenyataannya yang terbaru ketika ditemubual oleh wartawan Buletin Utama, apa kata Mak Lang Timah?

"Saya berkempen pun tidak menonjolkan imej parti. Saya tak bawa logo dacing atau pun orang di sini kata lambang kati. Kalau tidak, orang jadi takut," kata beliau.

Tambah Mak Lang Timah, beliau pergi ke mana-mana pun tak akan bawa logo parti agar penerimaan orang-ramai lebih banyak dan makin terbuka lagi. Demikianlah falsafah, dan pemikiran calon Umno-BN itu. Beliau memang ramai pengundinya berkat amalan itu.

Ertinya, beliau diundi kerana kekuatan peribadi dan bukan kerana parti. Adakah Khaled Nordin, para pensyarah dan pimpinan universiti yang ada cita-cita menjadi calon Umno-BN itu bergantung kepada nama partinya atau kekuatan akhlak dan nama peribadinya? Mereka yang bergantung kepada nama parti bukanlah pemimpin sejati.

Cubalah TNC beri nasihat begini kepada menteri-menteri. Mana mereka berani? Hatta, calon Umno-BN di kampung sendiri sedar bahawa rakyat dah takut kepada Umno-BN. Bukan kita kata. Calon BN sendiri mengaku, jangan bawa logo, nanti orang takut.

Saya fikir TNC HEP dan cendekiawan universiti kena selalu berikan nasihat positif serta panduan berguna kepada Dato' Khaled supaya meniru-niru gaya Mak Lang Timah. Tidak perlu membawa masuk logo dan lambang parti ke dalam universiti.

Nanti pensyarah dan pelajar semakin takut kepada Umno-BN dan ketakutan kepada parti itu mengatasi ketakutan mereka terhadap pelajar Taliban dan Afghanistan pula. Dan, jika sampai tahap ini, imej siapa lebih parah? Mereka dan keluaga Umno-BN mereka juga.
Putera Harry diajak berperang ke Afhanistan

Alkisahnya, Putera Harry, cucu kepada Ratu Elizabeth di England telah pun pergi berlatih atau berperang betul-betul di Afghanistan. Entah-entah dia diberi ruang berperang dengan puak-puak Taliban agaknya. Menurut laporan, sudah 10 minggu beliau berada di sana.
Asalnya, pemergian beliau dirahsiakan. Tapi, akhirnya sebuah laman sesawang telah pun mendedahkan laporan itu. Akibatnya, telah merebaklah berita tersebut.

"Saya bukannya wira," demikian kata Putera Harry.
Mungkin, beliau pun terpaksa hidup dalam suatu sistem pemerintahan yang memaksa beliau memasuki tentera. Jadi, putera itu enggan dirinya dianggap sebagai perwira walaupun terpaksa berentap dengan Taliban.

Berbicara mengenai Taliban, kita tidak dapat mengelak berbicara tentang Musharraf yang sering meletakkan puak itu sebagai sasaran guna meneruskan kekejamannya. Keadaan ini memaksa orang-orang ternama seperti Imran Khan untuk memasuki lapangan politik.
Imran, seorang pemain kriket akhirnya mengambil keputusan menubuhkan sebuah parti untuk melawan Musharraf. Dalam suatu temu bual ringkas di Newsweek, beliau berkata, negara-negara luar perlu lebih mengetahui kebejatan Pervez.

"Saya wujudkan yayasan sendiri bagi membela rakyat yang sukar mendapatkan rawatan di sini," demikian tulis beliau dalam sebuah rencananya dalam majalah antarabangsa itu ketika memperihalkan betapa hebatnya bejat si Musharraf ini.

Saat Benazir Bhutto dibunuh, Presiden Pakistan Pervez Musharraf menipu bahawa puak-puak Taliban itulah yang membunuh Benazir, walaupun satu dunia mengesyaki bahawa Musharraf itulah yang membunuh Benazir, iaitu pesaingnya dalam dunia politik.

Penipuan Musharaf mengenai pembunuhan Benazir ini lebih kurang sama dengan ucapan Najib di Ijok: "Apa kaitan kena-mengenanya antara saya dengan Altantuya?" Padahalnya kita cuma bertanya, gerangan siapa yang meluluskan penggunaan bom yang meledakkan tubuh wanita malang dari Monggolia itu?

Sebab apa pula dengan tiba-tiba Taliban membunuh pihak yang tidak pernah bersalah dan menindas mereka selama ini? Lebih baik Taliban membunuh Musharraf yang amat kejam itu daripada membunuh Benazir. Musharraf juga ada rekod buruk ke atas demokrasinya.

Satu dunia tahu bagaimana Musharaf telah melucutkan jawatan hakim yang membatalkan pilihan raya anjurannya sendiri. Ini rekod buruk demokrasi junta di mana tipu daya sering berlaku sepertimana Abdullah Ahmad Badawi menipu tentang tarikh pembubaran Dewan Rakyat terhadap kira-kira 27 juta rakyat Malaysia.

Jadi, siapa yang teruk? Taliban? Benazir? Musharraf? Najib? Abdullah Ahmad Badawi? Ini soalan yang perlu diperhalusi TNC HEP dan pimpinan universiti yang mengharapkan jawatan menteri atau menyimpan angan-angan tinggi menggunung sebagai calon BN.

Ini soalan yang perlu dijawab sebelum beliau terlalu melulu menuduh universiti kita akan menjadi universiti pondok, negara kita menjadi seperti Afghanistan di mana puak Taliban memerintah. Ini semua hipotesis yang perlukan kajian sebelum diangkat sebagai hukum dan teori.

Tetapi sebelum mengulas hipotesis jawablah dulu soalan tentang tipu daya bekas Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi ketika membubarkan Parlimen. Ini tidak perlukan teori dan hipotesis apa-apa. Baik atau tidak tindakan menipu kira-kira 27 juta rakyat Malaysia?
Sumber Harakah