Isnin, 3 Mac 2008

Anak-Anak Nakal???

UMNO Gunakan Anak-Anak Nakal Mengoyak Poster

Kuala Lumpur, 3 Mac - KeADILan membantah sekeras-kerasnya perbuatan sumbang sesetengah pihak Umno, terutama sekali sayap pemudanya, menggunakan anak-anak nakal bagi mengoyak poster-poster dan membuang bendera-bendera calon KeADILan di Permatang Pauh, Dr Wan Azizah Ismail.

Demikian kata Dr. Syed Husin Ali hari ini dalam suatu kenyataan media.
“Anak-anak nakal ini kebanyakannya terdiri dari mat rempit. Ketua dan Timbalan Ketua Pemuda Umno selalu melaungkan slogan yang mereka pilih, iaitu “Gempur”. Nyata sekali secara tidak langsung mereka menggalakkan ahli-ahli mereka supaya menggempur parti-parti lawan.
“Nampaknya, mengoyakkan poster dan membuang bendera parti-parti lawan adalah satu cara gempur yang mereka galakkan. Adakah ini jenis pelajaran yang hendak diberikan oleh Datuk Hishamuddin Hussein dan Khairi Jamaluddin kepada anak-anak nakal dari golongan mat rempit itu? Apakah jenis generasi akan datang yang hendak mereka bentuk?” tanya Dr. Syed.
KeADILan mendapat tahu bahawa tindakan mengoyak poster dan menurunkan bendera parti-parti lawan ini pernah berlaku juga di kawasan-kawasan lain di mana calon KeADILan bertanding. Bahkan ada anggota-anggota KeADILan yang dipukul dan dicederakan apabila cuba mempertahan poster dan bendera calon kami.

“Dalam beberapa kes mereka membuat laporan polis. Malangnya kadang-kadang pihak polis tidak mengambil tindakan bahkan ada kalanya tidak mahu menerima laporan. Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak polis ini sangat mengecewakan.” tegas Dr. Syed.
Beliau menggesa supaya pihak-pihak SPR dan Polis menjalankan tugas mereka dan bertindak profesional dengan tegas serta berkesan untuk memastikan bendera dan poster semua calon dari semua parti tidak dirosakkan oleh mana-mana pihak.

“Oleh kerana perbuatan nakal ini berlaku dengan agak meluas di Permatang Pauh, kami menyeru supaya perhatian khusus hendaklah mereka tumpukan ke atas kawasan itu” kata Dr. Syed.

0 ulasan: