Khamis, 13 Mac 2008

Exco Wanita

Pelantikan Wan Ubaidah sebagai Exco bukti PAS hargai kaum wanita


KUALA LUMPUR, 13 Mac (Hrkh) - Pelantikan exco wanita dalam kabinet Kerajaan PAS Kelantan adalah bukti pengiktirafan dan kepercayaan yang dijanjikan sebelum ini telah dilaksanakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kijang, Wan Ubaidah Omar yang dilantik memegang jawatan exco wanita pertama bagi kabinet baru Kerajaan Negeri Kelantan semalam melahirkan rasa terkejut dan terharu dengan kepercayaan yang diberikan kepadanya yang mewakili wakil rakyat wanita di negeri itu.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Tuan Guru Menteri Besar atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memegang amanah sebagai exco wanita dalam kabinet kerajaan negeri yang baru dibentuk," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau yang merupakan mantan ahli Dewan Negara berhasrat untuk melaksanakan amanah yang diberikan sebaiknya.

"Insha Allah saya akan cuba melaksanakan amanah yang diberikan ini dengan sebaik mungkin untuk membantu kepimpinan Tuan Guru Menteri Besar membangunkan negeri ini untuk menerajui perubahan dan mencapai keberkatan," katanya.

Tiga muka baru dilantik exco

Wan Ubaidah adalah antara tiga muka baru exco kerajaan negeri Kelantan yang mengangkat sumpah malam semalam, 11 Mac selain Adun Wakaf Bharu, Che Abdullah Mat Nawi dan Adun Temangan, Dr Fazli Dato' Hassan.

Wan Ubaidah Omar, 52, dan Che Abdullah Mat Nawi, 48, masing-masing berkelulusan Master dalam Pentadbiran Perniagaan di Universiti Amerika Syarikat, sementara Dr Fazli, 40, pula berkelulusan Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan memperolehi PHD dari Universiti Birmingham.

Ustaz Ahmad Yakob kekal TMB

Pada majlis yang sama, Tuan Guru Dato' Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan di Istana Negeri Kubang Kerian, sementara Adun Pasir Pekan Ustaz Ahmad Yakob kekal sebagai Timbalan Menteri Besar.

Turut mengangkat sumpah bagi jawatan exco Kelantan ialah ADUN Salor, Dato' Hj Husam Musa, ADUN Bunut Payong, Dato' Takiyuddin Hassan, ADUN Kemahang, Mej (B) Md Anizam Abd Rahman, ADUN Panchor, Nik Mohamad Amar Nik Abdullah, ADUN Kota Lama, Dato' Anuar Tan Abdullah, ADUN Bukit Panau Abdul Fatah Mahmood.

Portfolio bagi semua exco yang dilantik akan diumumkan oleh Menteri Besar dalam jangka masa terdekat

Tiada ulasan: