Ahad, 2 Mac 2008

Rakyat Kelantan Bijak dan Matang

'Sejarah membuktikan rakyat Bachok terima calon luar '

BACHOK, 1 Mac (Hrkh) – Apakah benar rakyat Bachok tebal dengan sifat kedaerahannya sehingga menolak orang luar yang ingin datang menabur khidmat kepada mereka.

Sebenarnya itu bukan prinsip orang Bachok. Buktinya pada pilihan raya umum 1959 Timbalan Yang DiPertua PAS, Dr Zulkifli Mohamad memenangi Parlimen Bachok. Begitu juga dengan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abu Bakar Hamzah juga menang di Bachok. Mereka bukan anak jati Bachok. Tidakkah ini membuktikan calon luar bukan isu di Bachok. Dan kehadiran Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa bakal mencatat lagi nostalgia tersebut.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Mohd Amar Abdullah berkata, dalam konteks politik Kelantan tidak berbangkit soal calon luar kerana apa yang penting khidmat dan mesej rakyat disuarakan di Parlimen.
“Kalau mempunyai wakil rakyat tempatan pun tetapi tidak mampu mengetengahkan masalah rakyat ia tidak mempunyai sebarang makna.
“Sedangkan calon yang diketengahkan PAS di Bachok sekarang Insya-Allah mampu memberi khidmat dengan baik dan ilmunya boleh rakyat tumpang,” katanya pada satu program di sini, semalam.
Beliau juga membidas janji pemimpin Umno yang mahu mewujudkan Taman Tamadun Islam sekiranya diberi mandat rakyat Kelantan, sedangkan 13 negeri lain yang dikuasai parti itu tidak pun dilaksanakan impian tersebut.
"Jika benar hendak membuat Taman Tamadun Islam, kenapa tidak wujudkannya di 13 negeri yang sudah 50 tahun diterajui BN. Kenapa mahu tunggu menang di Kelantan dahulu baru nak membela Islam," katanya.
Beliau juga berkata, sepanjang empat tahun Parlimen Bachok dikuasai Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Dr Awang Adek Hussin tidak nampak pun pembangunan seperti yang diuar-uarkan.
Sementara itu, Ustaz Nasharuddin ketika berucap di majlis yang sama berharap rakyat Bachok membantu meramaikan bilangan ahli parlimen di kalangan PAS dan KeADILan di parlimen bagi mewujudkan keseimbangan seperti pada 1999.
"Semasa parlimen penggal 1999 bersidang, ahli parlimen pembangkang berjumlah 27 orang berjaya menghalang kenaikan harga barang, harga minyak dan banyak lagi tindakan kerajaan yang tidak memberikan keuntungan," katanya.
Nasharudin juga berkata, media arus perdana kini sanggup dilacurkan Umno untuk mengekalkan kuasa mereka.
"Media yang ada hari ini sudah memberi gambaran kepada tahap sebenar demokrasi di Malaysia yang semakin teruk sekarang," katanya.
Oleh itu, beliau berharap orang ramai tidak mudah terpengaruh dengan siaran RTM dan TV3 sehingga 9 Mac ini.

Tiada ulasan: