Khamis, 6 Mac 2008

Kejahatan SPR yang tidak berkesudahan

SPR 'jahat', rakyat mesti ajar mereka!
KUALA LUMPUR, 6 Mac (Hrkh) - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semakin terserlah kebiadapan dan 'kejahatan ' mereka berikutan pelbagai insiden yang dilihat cuba bergabung dengan Umno dan Barisan Nasional untuk memastikan kemenangan berada di pihak mereka pada pilihan raya umum akan datang sekaligus 'membunuh' peluang Barisan Alternatif (BA) dan PAS untuk meraih kejayaan yang sama.

Seperti kata Pesuruhjaya PAS Kedah Ustaz Azizan Abdul Razak bahawa SPR dilihat begitu jahat kali ini lantaran strategi dan sabotaj terakhirnya ialah berhubung pengesahan duti setem.
"Nampaknya Kita 'bergaduh' bukan setakat dengan Umno sahaja tetapi SPR, " katanya
Manakala kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar meminta semua pihak mempunyai kewaspadaan yang tinggi kerana khuatir dengan pelbagai 'kejutan' yang bakal dilakukan oleh SPR pada hari pengundian.

"Kalau hari pencalonan tempoh hari SPR boleh buat macam-macam celaru, inikan pula pada hari pengundian, siapa yang tahu. Jadi bersiap sedia dan berwaspada!" katanya.
Berikut adalah senarai kepincangan SPR yang wajar dihukum dan dibuktikan oleh rakyat dengan cara membuat 'perhitungan' terakhir dan 'mengajar' mereka pada pilihan raya umum akan datang dengan memilih PAS dan BA sebagai isyarat jelas bahawa pembohongan dan muslihat SPR selama ini telah gagal!

1.Membatalkan penggunaan dakwat celup jari

Keputusan terkini iaitu (4 Mac) empat hari sebelum hari pengundi ialah SPR membatalkan penggunaaan dakwat kekal menggunakan alasan 'arahan awam' dan 'keselamatan' adalah dilihat untuk 'menghalalkan' penipuan di proses hari mengundi.
Pembatalan ini turut 'disepakati oleh Ketua Polis Negara Tan Sri MUsa Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Abd Ghani Patail

2.Pengesahan duti setem pada borang pencalonan pada saat akhir

SPR mengarahkan calon yang bertanding mendapatkan pengesahan duti setem yang mana surat arahan itu dikeluarkan pada jam 3.00 petang hari Khamis (21 Februari 2008) sedangkan pada borang tersebut sudah jelas tertera bahawa 'duti setem tidak diperlukan'.
Malah selama 11 kali pilihan raya umum yang lepas, tidak pernah diminta pegesahan duti setem dibuat, menurut Ustaz Azizan.

Akibat daripada itu kata Azizan, PAS Kedah telah mendapat pengesahan duti setem bagi 32 borang pencalonan di Perlis pada keesokan harinya memandangkan Kedah merupakan hari kelepasan am.

3.SPR tidak konsisten, keluar arahan berbeza dalam masa dua hari.

Kerana Umno juga terlupa dan tidak sempat mendapat pegesahan duti setem, SPR dilihat cuba menutupi kelemahn itu dengan mengeluarkan arahan (23 Februari) bahawa tidak perlu pengesahan duti setem sehari sebelum hari pencalonan.

4.Undi pos kini tidak lagi rahsia, telus kerana punya nombor siri

Terdapat nama anggota polis dan tentera dan nombor siri kertas undi dan dua borang sama di masukkan dalam karung yang sama.
Perkara ini dikesan di pusat pengagihan kertas undi di Stadium Tititwangsa bagi Parlimen Setiawangsa. Sebagai contoh anggota Zulkhairi Zainun No Kad T533580 dari 93 Rejimen Semboyan, Wilayah Persekutuan mempunyai nombor siri 3906.

Begitu juga bagi nombor siri 3954 untuk anggota Mohd Kamal Bin Keliwon (KP/T 53766) daripada rejimen sama mengalami situasi yang sama termasuk nombor siri yang lain seperti 11856, 3896, 3897 dan 2700,

5.SPR masukkan 1,031 pengundi pos di Belantek, Kedah

PAS Kedah mendedahkan tindakan SPR mewartakan sebanyak 1,031 pengundi di Daerah Mengundi 01 Kota Aur/DUN N23 Belantek/Parlimen P013 Sik, sekali pun ketika dipamerkan dalam DPT suku ke-3 2007 tidak menyenaraikan nama-nama tersebut.

Mengikut DPI (Daftar Pemilih Induk) 2003 sehingga DPT ke-2 2007, SPR tidak pernah merekodkan senarai 1,031 nama pengundi pos berkenaan, sehinggalah DPT 3 2007 dipamerkan.
Dalam DPI 2006, bagi Daerah Mengundi tersebut hanya mempunyai 500 pengundi sahaja. Bagaimanapun, 1,031 pengundi pos anggota tentera ini dibawa dari dua kem iaitu A Kompeni 19 RAMD Sungai Petani (Kem Induk/Tetap di Sungai Petani) dan A Kompeni Bn 304 AW (Kem Induk di Gerik, Perak.

6.SPR sahkan 8,666 pengundi berusia 100 ada dalam daftar pemilih

Seramai 8,666 pengundi berusia 100 tahun ke atas tersenarai dalam Daftar Pemilih Induk (DPI) 2007 yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 5 Februari lalu dan akan diguna pakai pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Pengundi berkenaan paling ramai didaftarkan di Sabah iaitu 2,096 orang; diikuti Sarawak (1,458); Johor (976); Perak (959); Selangor (549); Pulau Pinang (442); Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (367), Kedah (356) dan Wilayah Persekutuan Labuan (46).

Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali menjelaskan pengundi lebih 100 tahun dan mereka yang dipindah ke tempat lain dan tidak boleh atau tidak mampu ke sana untuk mengundi, dengan mudah saja boleh diambil tempat mereka oleh pengundi hantu.
7.SPR tolak bantahan dan celaru pada hari pencalonan

SPR tanpa rasa tanggungjawab telah menolak bantahan yang secara terang-terangan melanggari peraturan SPR sendiri dan menyebabkan suasana ceelaru.

i- Bantahan terhadap Dato' Seri Rafidah Aziz kerana lupa menandatangani borang pencalonan.

ii- Bantahan terhadap pencabar Dr Lo Lo Ghazali di Parlimen Titiwangsa, Dato'Aziz Jamaludin Mhd. Tahir yang tidak mempunyai pengesahan duti setem pada borang pencalonan.

iii- Bantahan terhadap calon Umno Dato' Ismail Kassim (Adik Shahidan) yang mencabar Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din di Parlimen Arau (P003) kerana tidak dapat mengemukakan bukti peletakan jawatan sebagai Senator.

iv- Mengumumkan calon-calon yang bertanding di Parlimen Hulu Langat tanpa memperkenalkan calon daripada PAS, buktinya berlaku di Stadium Kajang.

8.Bukti tentera ada dua nama dalam daftar pemilih SPR sebagai pengundi awam

Calon PAS parlimen Temerloh, Hashim Abdullah mendedahkan seorang anggota tentera mempunyai dua nama di dalam daftar pemilih, satu menggunakan kad pengenalan awam manakala satu lagi menggunakan kad pengenalan tentera yang membolehkanya mengundi secara pos dan mengundi di pusat pembuangan undi sebagai orang awam.

Anggota tentera tersebut bernama Nasarudin Sapiee, No. kad pengenalan 71011-06-5013 berasal dari Kampung Gantuk Hilir, Daerah mengundi 088/30/02 - Songsang. Saharuddin mengundi di pusat mengundi Sekolah Menegah Teknik, Temerloh.

Dengan menggunakan kad pengenalan tentera, Nasarudin adalah pengundi pos bagi daerah mengundi 132/31/07/405 - Pusasda Kem si Rusa bagi kawasan Dun Bagan Pinang dan parlimen 132- Teluk Kemang, Negeri Sembilan

9.Tidak daftar dan tidak pernah mengundi tetapi tersenarai dalam senarai SPR

Akhbar Malay Mail di bawah tajuk: 'Woman mysteriously registered as voter' telah mendedahkan Ang Lai Im, 36 telah menyedari bulan lalu bahawa beliau telah didaftarkan oleh SPR sedangkan beliau belum pernah melakukannya sebelum ini.

Bekas wartawan kanan News Straits Times itu atau nama sebenarnya Ahirudin Attan berkata beliau tidak pernah sama sekali mendaftar dan menunaikan kewajipan sebagai pengundi dalam mana-mana pilihan raya sekalipun.

"Saya tidak pernah ke Rapat Setia, alamat saya dalam Kad Pengenalan lama dan baru ialah di Puchong, Selangor dan saya tidak pernah tinggal di Perak dan kampung saya di Melaka," katanya yang mempersoalkan namanya yang tertera dalam semakan daftar pemilih online.

Menurut semakan daftar tersebut beliau telah didaftarkan untuk mengundi di Rapat Setia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Pulai dan bagi Parlimen Gopeng.

Harakah juga mendapat puluhan laporan yang diterima berkaitan nama pengundi yang dipindahkan secara senyap ke lokasi berbeza termasuk yang tidak pernah mendaftar sebelum ini.

Begitulah kata-kata manis penuh puitis Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman jelas mempermainkan rakyat dan sikap SPR ini menunjukkan suruhanjaya ini tidak berwibawa dan mempermainkan rakyat.

Rashid yang sebelum ini menyatakan penggunaan peti undi lutsinar, dakwat jari pengundi dan ketiadaan nombor siri pengundi pada kertas undi seperti yang diumumkan sebelum ini akan dilaksanakan pada pilihan raya umum kali ini.

"Tiada siapa tahu anda undi siapa," demikianlah janji 'manis' Rashid Abdul Rahman pada 14 Februari lalu yang jelas satu pembohongan!

Ahli Jawatankuasa Bersih yang juga Naib Presiden PAS Mohamad Sabu menegaskan ekoran tindakan SPR itu,sudah tiba masanya Rashid meletak jawatan dan rakyat mesti mengajar mereka dengan memilih PAS dan BA yang jelas mahukan sebuah pilihan raya yang bersih daripada muslihat SPR dan demokrasi pulih dalam negara.

Berikut adalah senarai yang dikenal pasti helah SPR untuk memastikan kemenangan BN dalam pilhan raya ke-12:-

1.Membatalkan penggunaan dakwat celup jari
2.Pengesahan duti setem pada borang pencalonan pada saat akhir
3.SPR tidak konsisten, keluar arahan berbeza dalam masa dua hari.
4.Undi pos kini tidak lagi rahsia, telus kerana punya nombor siri
5.SPR masukkan 1,031 pengundi pos di Belantek, Kedah
6.SPR sahkan 8,666 pengundi berusia 100 ada dalam daftar pemilih
7.SPR tolak bantahan dan celaru pada hari pencalonan
8.Bukti tentera ada dua nama dalam daftar pemilih SPR sebagai pengundi awam
9.Tidak daftar dan mengundi tetapi tersenarai dalam senarai daftar SPR

(Untuk mendapatkan fakta menarik dan berita lanjut, pembaca boleh mendapatinya di dalam keluaran khas Kempen 5 yang diedarkan percuma ke seluruh negara mulai Khamis 6 Mac 2008)

Tiada ulasan: