Khamis, 28 Februari 2008

" BN Ancaman Besar Kepada Rakyat Kelantan"

KOTA BHARU, 28 Feb (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Datuk Haji Husam Musa bimbang calon-calon Barisan Nasional (BN) Kelantan akan menjadi "ancaman yang besar" kepada negeri itu.
Bercakap dalam sidang media hariannya di sini sempena pilihan raya umum kali ini, beliau berkata, hampir kesemua calon BN terdiri dari para peniaga.
"Mereka akan dahului diri sendiri (untuk merebut projek-projek pembangunan dan peluang-peluang darinya). Ini ancaman yang besar (kepada Kelantan)," katanya ketika menekankan bahawa calon-calon BN itu tidak diyakini oleh rakyat Kelantan sendiri.
Beliau juga menolak gembar-gembur BN mengenai pembangunan sambil menyifatkan mereka yang dipilih dari parti itu tidak membawa apa-apa perubahan kepada negeri Kelantan.
"22 ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) BN (yang menang dalam pilihan raya 2004 lalu di Kelantan) gagal membawa apa-apa perubahan di kawasan yang mereka wakili," tegas beliau.
Mengambil contoh diskiriminasi dalam penyampaian Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAM), beliau juga mengingatkan bibit perpecahan yang akan menular dengan lebih parah jika BN dibiarkan berkuasa.
"Rakyat yang layak diketepikan, ini membawa bibit perpecahan (di kalangan rakyat)," kata beliau mengenai bantuan yang sepatutnya disampaikan oleh Jabatan Pelajaran tetapi diambilalih oleh ahli-ahli politik BN.
Perkara itu, katanya, akan merosakkan perpaduan dan keharmonian yang begitu dirasai di negeri ini hasil usaha "kerajaan Tok Guru" (Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat).
Sambil memetik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang merayu para pemimpin Umno di Kelantan bersatu-padu, Husam yakin BN tidak akan dapat membawa perpaduan di Kelantan.
"Kalau sama-sama Umno pun 'cah keting,' macam mana nak satukan rakyat?" beliau mempersoalkan.
Ketika ditanya mengenai dakwaan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin tentang jangkaan pelaburan RM112 bilion dalam program Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang meliputi Kelantan, Husam bertanya: "Lima koridor (yang dilancarkan Perdana Menteri sebelum ini) memerlukan lebih dari RM1 trilion, mana nak cari duit? (Ini satu) fantasi".

Tiada ulasan: