Rabu, 6 Februari 2008

Inilah Akibatnya...

" Ramai tinggalkan kerusi ketika Perdana Menteri berucap "

KOTA BHARU, 5 Feb (Hrkh) – Arus perubahan politik rakyat semakin jelas kelihatan apabila ramai kakitangan awam membayangkan pendirian selepas kehidupan seharian tambah tertekan disebabkan urus tadbir negara yang silap.

Biar pun penjawat awam di Kelantan dikerah hadir pada dua program Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di sini semalam, namun mereka kelihatan seperti memprotes dalam senyap apabila ramai meninggalkan majlis ketika Perdana Menteri sedang berucap.

Guru-guru dan kakitangan kerajaan yang boleh dicam melalui tanda nama disemak di baju mereka, yang berada di bahagian belakang meninggalkan majlis.

Sedangkan sebelum itu ketika ucapan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin mereka masih berada di kerusi masing-masing.

Mereka mundar mandir di khemah lain yang merupakan tempat pameran produk pertanian tanpa mengendahkan mesej disampaikan Perdana Menteri.

“Semua guru di bawah Pejabat Pelajaran Daerah Kota Bharu dikerah hadir pada program perletakan batu asas Terminal Makanan Negara (Teman) di Tunjung.

“Manakala pegawai dan kakitangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) diwajibkan hadir pada program perjumpaan Perdana Menteri dengan warga Kelantan Selatan di Manek Urai, Kuala Krai,” kata seorang pegawai kerajaan.

Seorang guru yang sarat mengandung melahirkan rasa kesal kerana diarah hadir pada program Perdana Menteri di Tunjung, biar pun ia tiada kaitan langsung dengan program pendidikan.

Biar pun terhinjut-hinjut beliau dengan ditemani teman-teman guru lain terpaksa juga hadir pada program itu. Ada di kalangan mereka dibekalkan payung cap dacing bagi menyambut kedatangan Abdullah.

Banyak bas sewa khas dan kenderaan milik jabatan kerajaan persekutuan kelihatan di parker khas yang disediakan di sebelah tapak perasmian Teman.

Manakala guru-guru di luar daripada Kota Bharu difahamkan diminta menghantar 10 orang wakil dari setiap sekolah.

Kelihatan hadir sama di majlis itu yang diadakan di tengah bekas bendang padi tersebut termasuk isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed dan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Annuar Musa.

Bagaimanapun kemusykilannya Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin yang dikatakan bakal menggantikan tempat Annuar tidak pula kelihatan.

Bagi mengelakkan berulang seperti peristiwa pecah tanah projek pembinaan jambatan Sultan Yahya kedua pada Ogos, di mana tidak ramai hadir, pihak penganjur turut menjemput Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Azamli Jamaluddin sebagai wakil tunggal kerajaan negeri.

Manakala pemimpin kerajaan negeri termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Desa, Dr Nik Mazian Nik Mohamad pula tidak dijemput.

Biar pun program itu menggunakan peruntukan kerajaan Pusat, namun bendera Umno dipasang di sepanjang jalan menghala ke tempat program.

Teman merupakan sebahagian daripada kompenan pembangunan bandar baru Tunjung dirancang kerajaan negeri yang dikendalikan di bawah Perbadanan Menteri Besar.

Seorang guru yang enggan dikenali berkata, mungkin kakitangan awam melihat ucapan Perdana Menteri tidak mempunyai sebarang mesej sehingga mereka bangun dari tempat duduk.

“Perdana Menteri menceritakan agak berjela mengenai Menteri Besar Selangor yang mahu melaksanakan projek ternakan ikan keli tidak menarik perhatian umum.

“Beliau juga sering tersasul sehingga nama Annuar Musa pun tidak diingati sehingga mahu disebut Musa Aman,” katanya.

Teman sebenarnya sudah diuar-uarkan sejak lapan tahun ketika Datuk Seri Effendi Norwawi menjadi Menteri Pertanian. Kerajaan negeri sejak awal lagi menyediakan tapak bagi Teman.

Projek itu bakal dibangunkan di kawasan seluas 54 ekar dengan kos RM110 juta. Ia dijangka siap pembinaan pada hujung 2009. Projek itu merupakan pertama di negara ini.

Dan kini menjelang pilihan raya umum ke-12, baru pecah tanah projek itu dilakukan.
Bagaimanapun ramai mengadaikan ia akan menjadi seperti projek jambatan Sultan Yahya kedua selepas enam bulan pecah tanah dilakukan kerja-kerja pembinaannya tidak serius dilakukan.




Tiada ulasan: