KOTA BHARU, 19 Feb (Hrkh) – Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan sekali sekala wajar digunakan perkataan yang agak keras bagi menyedarkan manusia.
“Maka orang yang tolak Islam bermakna dia tolak anugerah Allah. Dan kalau tolak anugerah Allah maksudnya setaraf dengan makhluk haiwan.
“Saya tidak guna perkataan political animal tetapi masih menggunakan perkataan orang. Tidak guna istilah animal (binatang) hanya sekadar saya sebut orang utan,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.
Baru-baru ini ketika bercakap kepada pemberita di Kedah Tuan Guru Nik Abdul Aziz dilaporkan berkata, PAS Kelantan bukan berdepan dengan sebuah parti politik di negeri itu pada pilihan raya ini sebaliknya orang utan yang tidak tahu undang-undang.
Menteri Besar berkata, tujuan menyebut istilah tersebut bagi membolehkan kawan-kawan dalam Umno berfikir mengenainya dan jangan mudah cepat melatah.
“Ini kerana sekali sekala kita beri nasihat dan sekali sekala kita kena rotan kalau tidak endah juga. Ada masa kita nasihat dan ada masanya kita rotan. “Saya sudah nasihat dan kalau tidak dengar juga terpaksalah kita rotan,” ujarnya.
Beliau mengakui menggunakan istilah tersebut kerana ada manusia berdegil enggan mengikut peraturan yang ditetapkan Allah Taala.
“Memanglah saya ada menyebut mengenai perkara itu. Bagi menghidupkan manusia Allah Taala mencipta bumi, buat langit, buat udara, buat air hujan, dan segala biji-bijian untuk manusia.
“Tujuan segalanya itu bagi membolehkan manusia mengabdikan diri kepadaNya. Islam turun dari langit untuk manusia dan bukannya haiwan,” tambah beliau. Menurutnya istilah itu tidak kasar pada pengertian sebenar.
“Sekali sekala perlu juga digunakan bahasa yang agak kasar. Allah Taala dalam al Quran menyebut al an' aam’ yang bermaksud binatang.
“Allah sebut orang yang menolak al Quran macam binatang. Saya hanya sekadar sebut orang utan. Masih berlapik lagi menggunakan istilah orang,” katanya.
Bekas pensyarah kanan di fakulti pengajian Islam UKM, Dr Mohammad Daud berkata, tidak menjadi kesalahan apabila digunakan perkataan orang utan bagi merujuk mereka yang enggan mematuhi peraturan agama.
Katanya, istilah orang utan lebih kurang sama dengan orang Badwi yang tinggal di padang pasir di negara-negara Arab kerana mereka kurang bertamadun.
Kata beliau adalah wajar menggunakan istilah itu bagi merujuk kumpulan manusia yang engkar terhadap perintah Allah Taala. - mj
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan