KOTA BHARU, 20 Feb (Hrkh) – Ketika Umno Terengganu sudah mengumumkan senarai calonnya hari ini, namun Umno Kelantan pula masih terkial-kial bagi mengisytiharkan barisan calonnya
Biar pun Pengerusi Perhubungan Umno negeri-negeri sudah mengadap Presiden Umno, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, namun masalah dalaman yang berlaku merumitkan lagi keadaan.
Sehingga kini semakin jelas Dato’ Zaid Ibrahim tidak tersenarai bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kota Bharu.
Sebaliknya pemangku Ketua Bahagian, Dato’ Fatmi Che Salleh yang lebih rapat dengan Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Najib Razak pula dikatakan bakal menggantikan tempat Zaid.
Fatmi pula dianggap semakin terdesak selepas kempen melalui ceramah-ceramah politik tidak mendapat sambutan.
Beliau sekarang terpaksa menggunakan khidmat Pos Malaysia bagi menghantar surat rayuan kepada setiap pengundi di Parlimen Kota Bharu.
Menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi BN Kota Bharu beliau merayu pengundi memilih calon BN.
Fatmi yang sehingga kini dikatakan masih gagal menduduki bangunan pejabat Umno Bharu di Jalan Sultanah Zainab kerana dikuasai Zaid.
Ini menyebabkan beliau terpaksa menggunakan pejabat bangunan Umno Lama di Jalan Tengku Chik.
Sebelum ini Fatmi difahamkan menganjur ceramah di Jalan Telipot dan Jalan Kuala Krai yang hanya dihadiri segelintir penyokong Umno.
“Kawasan Dun Bunut Payong lebih ramai pengikut Zaid, ini menyebabkan tidak ramai ahli dan penyokong Umno yang keluar apabila Fatmi datang.
“Malah ketika berceramah di Jalan Telipot beliau mengadakan program mengacau bubur asyura yang hanya dihadiri budak-budak dan tidak ramai orang dewasa yang datang,” kata seorang penduduk.
Beliau juga memberitahu ketika ceramah diadakan di Jalan Kuala Krai, ramai pemimpin peringkat cawangan balik ketika program belum selesai.
Manakala Ketua Puteri Umno Kota Bharu, Khazuni Othman dijangka diturun di Dun Tanjung Mas.
Di Bunut Payong pula dijangka dicalonkan Ketua Pemuda Umno Kota Bharu, Rosmadi Ismail dan Kota Lama diwakili calon daripada MCA.
Rosmadi disebut banyak pihak sebagai orang yang mendapat tender membina jambatan Sultan Yahya Petra kedua sebelum dijual kepada Redland.
Ramai pemerhati politik melihat tanpa kehadiran Zaid menyebabkan Umno Kota Bharu makin tidak bermaya.
Difahamkan Zaid tidak akan duduk diam kerana disingkir secara hina, di mana jawatan yang dimenanginya tidak diberi kembali selepas tempoh penggantungannya berakhir.
Menurut satu sumber sebagai kempen bagi menarik perhatian pengundi, Umno Kota Bharu dikatakan akan mengedarkan borang rumah mesra kepada rakyat berpendapatan rendah.
“Sedangkan borang tawaran rumah pada pilihan raya lalu sudah diagih namun rumah yang dijanji tidak pun kelihatan biar pun BN menang di Kota Bharu,” beritahu seorang penduduk.
Selain itu tawaran insurans bagi menjamin masa depan penduduk miskin sedang giat dikempen sekarang.
Di Tumpat, ramai melihat kelibat anak kepada Dato’ Dasuki Ahmad, Dr Asyrat Wajdi, pensyarah UIA yang disebut-sebut sebagai calon BN di Parlimen Tumpat.
Baru-baru ini beliau bersama Timbalan Ketua Bahagian Tumpat, Mohamad Nor Yaakub mengadakan perjumpaan dengan penduduk di Pulau Beluru.
Pada majlis itu setiap penduduk yang hadir pada perjumpaan yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru diberi kain pelikat.
Di Pasir Mas bekas anak didik Datuk Ibrahim iaitu Johan Che Pa dikatakan bakal menentang Ibrahim bagi merebut kerusi parlimen.
Di Rantau Panjang pula Ustaz Mohd Affendi Yusof akan diturunkan bagi kerusi Parlimen.
Rasa tidak puas hati di kalangan ahli Umno juga kini merebak ke Ketereh apabila Dato’ Alwi Che Ahmad yang disebut-sebut sebagai calon untuk diketengahkan dalam kabinet tidak menjadi kenyataan apabila haknya diragut Dato’ Annuar Musa.
Parlimen Ketereh dianggap kawasan selamat kerana mempunyai paling banyak undi pos di Kelantan iaitu sebanyak 3,457 orang.
Alwi difahamkan akan menggantikan tempat Annuar di Dun Kok Lanas.
Krisis di Jeli juga semakin merebak apabila Adhan Kechik dikatakan digugur kerana hubungan dengan ketua bahagian Jeli, Dato’ Mustapa Mohamed telah lama renggang.
Sumber lain pula memberitahu Ketua Umno Bachok, Dato’ Dr Awang Adek Hussin dijangka bertanding di dua kerusi iaitu Parlimen dan Dun Perupok pada pilihan raya ini.
“Ia sebagai persediaan menjadi Menteri Besar sekiranya BN menang di Kelantan,” katanya.
Namun ramai berpendapat Awang tidak mungkin dapat mengulangi kejayaan Mustapa sebelum ini yang memenangi Dun Air Lanas dan parlimen Jeli pada pilihan raya umum lalu.
Kata mereka pengaruh Timbalan Menteri Kewangan itu sudah merosot sekarang kerana banyak janji tidak menjadi kenyataan biar pun disebut berulang kali Umno mempunyai banyak wang. - mj
Rabu, 20 Februari 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan