KOTA BHARU, 20 Feb (Hrkh) – Seorang ulama dari Yaman, Syeikh Al-‘Allaamah Habib Omar Muhammad menganggap mana-mana konsep baru agama yang didapati bertentangan dengan syariah Islam sebagai terkeluar dari ajaran agama.
“Termasuk juga ia memberi ruang untuk orang Islam melakukan maksiat maka itu terkeluar daripada syariah,” katanya ketika ditanya seorang peserta bicara ilmu yang diadakan di sini, baru-baru ini
Menurutnya apa pun konsep yang dicetus mana-mana pihak, namun lebih penting ialah tidak bertentangan dengan syariah.
“Kalau bertentangan dengan syariah, tidak boleh diterima,” katanya.
Pada awalnya pengasas Pusat Pendidikan Islam ‘Dar Al-Musthafa’ Yaman itu enggan mengulas isu mengenai konsep Islam Hadhari kerana menganggap ada hubung kait dengan politik.
Baru-baru ini ulama dari Al Azhar yang dijemput menghadiri Multaqa Alumni Al Azhar dilaporkan menyokong konsep baru agama yang diperkenalkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu Islam Hadhari.
Bicara ilmu bertajuk ‘Al-Tariqh Al-Sufiyyah Sebagai Manhaj Dakwah Ahlus Sunnah Wal-Jamaah Dalam Menghadapi Arus Globalisasi’ tersebut dianjur Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.
Beliau merupakan tetamu khas yang diundangkan pada program tersebut.
Syeikh Habib Omar yang juga Pengasas Pusat Pendidikan Islam ‘Dar Al-Musthafa’, Bandar Tarim Hadramaut bagaimana pun berharap negeri serta pemimpin Kelantan terus diberi kekuatan iman.
“Sepanjang pengamatan saya menziarahi Kelantan, saya mendapati amalan keagamaan di negeri ini hidup dengan baik. Dengan kekuatan iman tersebut, negeri dan pemimpin mampu melaksanakan usaha penyebaran Islam secara meluas.
“Mereka yang menggunakan ilmunya untuk mematuhi perintah Allah s.w.t., nescaya Allah akan mengangkat martabatnya,” kata beliau.
Beliau juga memberitahu hasil penjelasan mengenai kesyumulan Islam menyebabkan orang Barat yang datang ke Pondok Darul Mustafa di Yaman akhirnya menarik minat mereka menganut Islam.
Menurutnya masyarakat barat menjelaskan manusia yang mengamalkan ideologi berteraskan kapitalis dan Komunis akhirnya dibenci masyarakat mereka sendiri.
“Namun ajaran Rasulullah saw semakin mendapat sanjungan dan diamalkan manusia kerana seruan baginda merupakan wahyu yang diturunkan dari Allah Taala,” katanya.
Mengenai usaha dakwah di era globalisasi sekarang beliau berkata, amalan Islam di dalam kehidupan seharian dan kebersihan jiwa boleh menarik perhatian orang lain.
“Kita hendaklah melayan manusia di sekitar kita dengan sentuhan jiwa dan akalnya. Melalui gambaran akhlak dan adat yang menitikberatkan Islam di dalam kehidupan seharian ia boleh menarik perhatian orang lain kepda Islam,” ujarnya. - mj
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan