KUALA LUMPUR, 5 Feb (Hrkh) - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terus membiarkan diri mereka dipergunakan Umno-BN dengan projek Baktisiswa Perdana di semua 45 Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan.
Berdasarkan maklumat yang diterima Harakahdaily, modus operandi program tersebut bermula serentak dengan program 'roadshow' atau jelajah Menteri KPT, Dato' Mustapa Mohamed yang diadakan di seluruh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam satu program 'Sesi Dialog bersama Menteri Pengajian Tinggi' yang melibatkan seluruh pelajar dan kakitangan tertinggi universiti.
Pengisian sesi dialog tersebut hanyalah penerangan mengenai isu-isu semasa yang menjelaskan kelemahan kerajaan dan Umno-BN seterusnya memberikan imej yang buruk kepada pembangkang menjelang pilihan raya yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Walau bagaimanapun, semua Naib Canselor dan Timbalan-timbalan mereka diwajibkan menghadiri majlis perasmian program Baktisiswa Perdana tersebut oleh Mustapa di Universiti Malaysia Kelantan pada 6 Februari yakni esok.
Menurut sumber-sumber, program anak angkat yang dinamakan Baktisiswa ini telah dimulakan awal sejak cuti semester yang lalu pada bulan Disember secara berperingkat.
Katanya, setiap IPT diminta menghantar sejumlah pelajar yang tidak ditetapkan, sehingga boleh mencecah seratus orang yang telah dipilih oleh pihak Majlis Perwakilan Pelajar(MPP) ataupun Persatuan Aspirasi bagi menyertai program tersebut.
Kebanyakan daripada peserta adalah mereka yang berasal daripada Kelantan dan Terengganu.
Sumber turut menyatakan, mereka (MPP ataupun Aspirasi) merupakan pihak yang dilantik oleh pihak KPT untuk mengendalikan proses penyaluran tenaga pelajar ke program tersebut. Taklimat awal mengenai tugasan yang akan dijalankan di kawasan yang telah ditetapkan dibuat di kampus sebelum bertolak ke Kelantan.
Namun, tarikh mula program tersebut bagi sesetengah IPT tidak sama yang menyebabkan mereka tidak mengetahui lokasi dan tarikh ia dijalankan. Jika ada yang mempunyai tarikh yang sama, mereka tetap tidak mendapat maklumat mengenai gerak kerja dan kedudukan masing-masing.
Kesemua ini telah dirancang oleh KPT yang dipengerusikan sendiri oleh menterinya, tanpa menggunakan sebarang surat-menyurat bagi mengelakkan strategi ini dapat 'dihidu' oleh pihak tertentu khususnya pembangkang. Semua arahan-arahan dibuat secara terus daripada Mustapa dalam mesyuarat timbalan-timbalan Naib Canselor.
Program yang dibuat dalam Baktisiswa Perdana ini merangkumi aktiviti kemasyarakatan sebagai platform mereka 'bermain dengan psikologi' penduduk kampung. Di sesetengah tempat, para pelajar ini ditugaskan untuk menjalankan aktiviti culaan bagi membantu gerak kerja bilik gerakan Umno-BN.
Majlis-majlis yang bersifat dialog menjadi tempat Ahli Dewan Undangan Negeri(Adun) berucap serta medan mengumpulkan orang-orang kampung untuk mendengar 'gula-gula' mereka khususnya penjelasan beberapa isu semasa khususnya bagi menghadapi PAS dalam pilihan raya nanti.
Penduduk kampung yang terlibat juga didakwa disogokkan dengan wang serta hadiah yang kononnya bagi menggambarkan keprihatinan Adun kawasan itu.
Manakala bagi Dun yang dikuasai PAS, Ketua Umno Bahagian akan turun mengisi program yang dijalankan.
Setiap keluarga didakwa diberikan wang sebagai ole-ole kepada keluarga terbabit, di samping barang-barang keperluan termasuk bahan-bahan mentah makanan.
Terdapat juga sesetengah keluarga yang mendapat dua orang anak angkat disebabkan kegagalan pihak penganjur mendapatkan bilangan keluarga yang diminta.
Selain itu, menurut sumber lagi, orang-orang kampung yang terlibat memang teruja menerima kehadiran anak angkat yang terdiri daripada pelajar universiti. Tugas anak angkat pula dikhususkan memberi penjelasan mengenai isu-isu semasa sambil mengambil hati keluarga angkat, seterusnya memanjangkan hubungan tersebut setelah mereka selesai program tersebut.
Tujuan utama mereka adalah untuk merapatkan hubungan serta menanamkan keyakinan penduduk kampung tersebut kepada setiap apa yang dikatakan oleh anak angkat masing. Tambahan pula, anak-anak angkat tersebut membawa keluarga angkat masing-masing untuk mengikuti program-program yang dianjurkan oleh Adun BN.
Bagi pengurusan pemilihan keluarga angkat pula, pihak Umno-BN kawasan yang diketuai oleh Ketua Bahagian masing-masing telah menetapkan bilangan dan lokasi rumah keluarga angkat yang akan diduduki oleh pelajar terbabit. Kebanyakan keluarga yang dipilih merupakan keluarga yang berada 'atas pagar'.
Harakahdaily sebelum ini pernah melaporkan mengenai program tersebut yang telah bermula seawal bulan Disember lalu.
Program seumpama itu diadakan di beberapa tempat di Kelantan yang mewajibkan setiap universiti menghantar 10 mahasiswa Kelantan untuk program culaan anjuran Umno-BN.
Setelah curiga dengan maklumat yang disampaikan menerusi surat, akhir-akhir ini setiap arahan dan makluman kepada pegawai bahagian Hal Ehwal Pelajar dibuat secara lisan yakni tidak menggunakan sebarang surat ataupun notis bagi mengelakkan maklumat tersebut daripada bocor.
Program-program baktisiswa dan operasi khidmat masyarakat telah dibuat Umno-BN pada tahun lepas di beberapa kawasan tertentu di Kelantan khususnya di Jeli dengan menggunakan nama KPT untuk tujuan yang sama bagi memastikan penguasaan Umno-BN di Kelantan pada pilihan raya akan datang.
Akhir-akhir ini, pemimpin-pemimpin tertinggi Umno-BN kelihatan begitu 'aktif' turun ke negeri pantai Timur, Kelantan dan Terengganu dalam misi mengekang kemaraan PAS yang meletakkan sasaran untuk mengekalkan kuasa di Kelantan serta merampas kembali Terengganu. -
Selasa, 5 Februari 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan